Isnin, 26 Oktober 2026

Kau Pergi Jua


    Walaupun kami tinggal sekampung, dengan rumah yang kukira jaraknya tidak berapa jauh... kami jarang sangat bersua. Persaraanku memisahkan kami. Aku terputus hubungan dengannya. Empat tahun kemudian baru aku mengetahui duduk perkara sebenar. Pemergian yang tidak siapa menjangka. Sesungguhnya hanya Dia yang maha mengetahui. 

    Bermula episod duka kami di sekolah pada waktu itu apabila Zimah sering mengalami masalah kesihatan. Kadangkala hadir ke sekolah dengan wajah yang agak sugul. Ada waktunya suami datang menjemput apabila keadaan mendesak. 

    Meskipun penampilannya tidak berubah, tampak biasa, namun riak wajahnya mencerminkan resah yang ditanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Masalah kesihatan benar-benar menggugat tingkah lincah, ceria dan kerajinannya. Siapa yang tak kenal Azimah...seorang sahabat yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diamanahkan kepadanya.

    Dalam suasana begitulah aku bersara. Bibit-bibit permulaan Zimah berada di dalam kondisi kesihatan yang menurun.  Waktu itu juga negara masih berada di dalam zon penghujung Covid 19. Masih dalam situasi yang sentiasa berjaga-jaga. Sebarang kemungkinan boleh sahaja mencetuskan kemudaratan bukan sahaja kepada diri, malah masyarakat sekitar. Waktu itu kebimbangan memang berasas.

    Perkenalan kami sebenarnya bermula ketika sama-sama berada di bawah bumbung yang sama, di dalam PdP murid Pemulihan Khas. Zimah mengajar di SK Kg Baharu (L) pada ketika itu. Setiap kali unit Pemulihan Khas berprogram, kami akan bertemu. Kenal, namun tidak rapat sangat. Lembut orangnya. Manis dan ceria wajahnya.

    Tanpa diduga aku ditempatkan di sekolahnya pada tahun 2021, iaitu sewaktu aku hampir ke usia persaraan. Statusku mula berubah. Aku bukan lagi guru Pemulihan Khas. Aku mengajar BM untuk anak-anak tahap satu.  Kaitan kami agak rapat kerana murid-murid yang agak terkebelakang penguasaan subjek BM di kelasku, merupakan murid kelasnya. Kami saling mengenal pencapaian murid-murid berkenaan. 

    Semusim aku di situ. Akhirnya tatkala khidmatku telah berakhir, semuanya aku tinggalkan. Azimah yang tenggelam timbul hadirnya ke sekolah, tidak bersamaku di saat-saat akhir aku melambai pergi. Kami faham akan kesihatannya. Kami langsung terputus hubungan meskipun sesekali ingatan padanya muncul tiba-tiba. Namun semua rakan setugas saling mendoakan beliau.

    Tatkala aku bergelar YB (Yang Bersara), sedikit kesibukan melanda. Akhirnya menjadikan aku lupa bertanya khabar berita. Rupa-rupanya beliau mengalami kemurungan antara tahun 2022 hingga mencecah 2024. Sungguh aku tidak menyedari akan perkara tersebut. Dalam tahun 2024 itu juga perlahan-lahan kesihatannya mula beransur menunjukkan kemajuan. Sejak pulang dari umrah kehidupannya mula berubah. Dia menunjukkan perubahan positif. Semuanya dikongsikan oleh suaminya ketika aku mengunjungi keluarga ini. Ralit aku menghadam kisahnya.

    Suka duka dikongsi bersama. Sebak mendengar kisahnya yang sekian lama sepi dari duniaku. Apa sahaja yang diminta, sedia ditunaikan si suami. Sepanjang berada bersama keluarga walau ke mana sahaja mereka pergi, senyuman tidak lekang daripada bibirnya. Betapa aku membayangkan akan indahnya saat itu. Lebih mengharukan kerana engkau berusaha menjejak semula teman-teman lama. 

    Akhirnya engkau kembali bertugas, pasti ramai yang sedia menunggu kepulanganmu ke SKGL. Namun siapa sangka semua itu hanya sementara. Dalam pada meneruskan tugas mendidik anak-anak dan bersama rakan setugas menjalankan amanah, engkau pergi secara tiba-tiba. Khabar duka mewarnai segenap hati yang pernah bersama, seiring jalan denganmu. Berakhirnya perjalanan hidupmu dengan satu kepuasan. Apa yang kau ingini tertunai sudah. Hasrat dan impian murnimu terlaksana akhirnya. Alhamdulillah.

    Apabila setiap kali aku mengunjungi pusara ayahbonda, pasti aku akan singgah di pusaramu untuk menghadiahkan ummul kitab. Bersemadilah engkau dengan penuh ketenangan di taman barzakh, sahabatku Noorazimah binti Abdul Aziz. Momen indah bersamamu tetap kekal dalam ingatan.


kredit to Hijjaz
    
    


    

    

BERADABLAH

     Kasihan aku melihat meja di sebelah kami. Penuh dengan bekas makanan yang tidak berangkat. Ada tetamu yang hendak menggunakan tempat tersebut, maka dialihkan bekas-bekas tersebut ke atas bangku batu yang ada di sisi. 

    Atas rasa ingin membantu memudahkan mereka, aku secara sukarela memindahkan kesemua perkakas tersebut di tempat yang sesuai. Sebahagiannya kuletakkan di dalam besen yang tersedia tidak jauh dari singki, manakala selebihnya kumasukkan ke dalam plastik hitam yang turut disediakan di situ. Bukanlah hendak menunjukkan kerajinan, cuma atas dasar ehsan aku bertindak sedemikian. 

    Pihak katering telah menyediakan semuanya dengan lengkap, namun begitulah sikap segelintir dalam kalangan tetamu yang hadir. Apalah salahnya setelah selesai makan, kemaskan sendiri meja tersebut. Buang mana yang tidak perlu, dan letakkan pinggan serta cawan di tempat yang sesuai. Bukan susah manapun. 

    Bukanlah aku hendak mengungkit, tetapi kita biarlah beradab ketika menjadi tetamu. Semua telah disediakan, tinggal untuk kita duduk makan sahaja. Setelah selesai makan, angkat dan bawalah sendiri bekas makanan ke tempatnya. Biar orang lain selesa untuk duduk makan pula. Betullah kata orang, semuanya bermula di rumah. Kalau sudah terbiasa buat begitu di rumah masing-masing, pasti akan begitulah agaknya ketika berada di luar.

    Adab menjadi tetamu, begitulah sikap kita. Tidak berlama-lama untuk duduk makan hingga menjadikan meja itu hak kita sahaja. Kasihan melihat tetamu yang berdiri lama sambil menatang pinggan, tercari-cari tempat duduk. Sedangkan kita dengan selamba berborak gelak ketawa memanaskan kerusi. 

    Ada juga kedapatan tetamu yang tanpa disedarinya mengganggu hak peribadi tetamu lain. Boleh pula tanpa rasa segan menghidupkan rokok atau vape. Sudahlah kita di kelilingi jerebu, mereka selamba menambahkan jerebu lagi. Bangun dan beredar jauh daripada tempat tetamu yang sedang makan adalah lebih baik. Sikap mereka yang sdemikian menambah jerebu di hati kita. Sekiranya ada yang cekap, barangkali tanpa anda sedari foto anda akan naik di portal Lapor nanti. Oleh itu, beradablah. 


                                                 kredit to pembikin video.

Jumaat, 27 Mac 2026

Meriahnya Raya

 


 Rindunya lagu-lagu raya lama. Entah kenapa aku sukar untuk menerima lagu raya terkini yang dikatakan hangat tular di media sosial. Seni dan lenggok lagu raya lama sudah sebati dalam jiwaku. Bertahun lamanya berlalu, namun tidak sedikitpun mengurangkan minatku terhadap lagu-lagu tersebut. 

    Lagu-lagu itu bertahan begitu lama. Nostalgia sungguh! Ada sentimental value! Lagu raya 70-an, 80-an dan 90-an memang masih kuat tarikannya. Begitu hebat penangannya.