Jumaat, 23 Januari 2026

Kak Ina


 Tak sempat mengabadikan kisah kita, Kak Ina. Lama kita bersama di SKL, namun berpisah juga apabila aku bersama empat orang lagi terpaksa berpindah keluar kerana telah melebihi 15 tahun berkhidmat di SKL.

    Izan dan Che Wa ke SK St Francis, Zarimah ke SJKC Chen Hwa Simpang Dua, manakala aku dan Ina Kay ke SKGL. Januari 2021 kita berpisah, tahun itu juga engkau menamatkan perkhidmatanmu di SKL. Aku pula bersara setahun kemudiannya. Cukup setahun aku berkhidmat di sekolah terakhir.

    Rumah kediamanmu sekeluarga merupakan laluan utama. Memang selamanya laluan itulah yang kami gunakan untuk keluar atau masuk untuk ke Kg Tersusun Batu 7. Kerapkali juga terpandang kelibatmu sekiranya melalui jalan itu.

    Perkhabaran duka itu aku peroleh daripada rakan ngajiku sewaktu kami sama-sama bertadarus di bawah bimbingan Ustazah Faridah. Dia membisikkan kepadaku tentang pemergianmu. Aku memang tidak tahu tentang keadaanmu kerana baharu sahaja pulang dari kampung pada waktu itu. Mula-mulanya terpinga-pinga juga. Akhirnya akur dengan berita tersebut. Innalillahi wainna ilaihi rojiuun. Semoga Allah mengampunimu.

    Sebenarnya baru lagi aku melewati hadapan rumahmu, barangkali beberapa hari sebelumnya. Tergerak hatiku berbisik tentangmu.....lama sungguh tak ketemu. Apa khabar agaknya... monologku sendirian. Apa yang aku tahu ialah sejak bersara engkau banyak menghabiskan waktu menadah ilmu di pondok. Alhamdulillah. 

    Lewat petang aku sempat bersama kenalan dan saudara-maramu di tanah wakaf tersebut. Tidak sempat untuk menatap wajahmu buat terakhir kali. Hanya doa yang aku panjatkan agar engkau diberi pengampunan dan tergolong dalam kalangan mereka yang beramal soleh. Sebak merajai hati. Setelah Aja pergi, engkau pula meninggalkan kami. Tenanglah duhai sahabatku di sana, kami bakal menyusul apabila tibanya saat itu nanti.

    

Tiada ulasan: