Khamis, 26 Julai 2018

MENANTI DI BARZAKH

Lagu itu kembali mengisi ilusiku......alunan nasyid yang mengasyikkan. 
Dan bertenggek sayu di hatiku...... mengenang pemergian seorang lagi sahabat anakku
Yang terlibat dalam kemalangan di Temerloh malam itu....

Tatkala melewati berita yang masuk di 'group wasap' MANJUNG VOLUNTEERS.....aku teruja dengan kad pengenalan yang ditularkan lantas segera memanjangkan ke group wasap famili.  Menatap alamat yang tertera di IC tersebut barangkali anak-anakku boleh membantu membuat pengecaman.

Dan benarlah seperti yang tergerak di hati kecilku........ sahabat Kak Alang sebenarnya. Tidak lupa juga aku turut memanjangkannya di group lain dengan hasrat untuk membantu.  Dan tidak lebih dari itu.  Ini kerana berita itu benar-benar baru terjadi.  Lebih-lebih lagi aku mendapatkannya daripada sahabat baikku dalam group berkenaan.  Terima kasih Kak Parizah....

Bermula dari situ bertalu-talu info masuk......soalan demi soalan, pertanyaan demi pertanyaan bertaut.  Dan akhirnya membuka laluan mudah untuk mengenali si dia yang sama seusia Kak Alang.  Baru 22 tahun....

Sahabat sekerjaku turut membantu.  Sementelahan pula saudaranya tinggal tidak jauh daripada rumah bonda mangsa kemalangan tersebut.  Setelah sahih berita itu, barulah khabar dimaklumkan.  Itupun dengan penuh hati-hati......  Maklumlah khabar yang kurang baik.  

Dan penuh sebak......khabar diterima menjadikan hati seorang ibu tidak keruan.  Begitulah rakanku mengisahkan......

Dan keesokannya dalam ruang waktu yang ada, kami berkunjung ke rumahnya.  Jenazah belum sampai, masih di hospital menurut bondanya...... dalam wajah sayu.  Ada saudara yang menguruskannya di sana.  Hati ibu mana yang tak remuk, namun pemergian anak yang bongsu ini diterima penuh redho.  Sebelum ini anak ke-2 telah meninggal dunia pada tahun 2010 (seingat aku tatkala mendengar luahan hatinya.... antara dengar dan tidak).

Allah ya Allah........ anak-anak terlebih dahulu meninggalkan dunia fana ini.  Bonda yang melahirkannya masih dipanjangkan usia.... Maha Kuasa Allah.....  Pilu menyelubungi suasana.  Kami mohon berundur diri setelah  hampir lima belas minit bersama.

Dan lewat petang hari yang sama, sekali lagi kami menjengah tetapi kali ini di tanah wakaf.  Kelihatan ramai kenalan Kak Alang turut sama hadir.  Aku mencari tempat agak jauh kerana kurang enak dengan asap rokok yang menggila.  Tambahan semput kerapkali datang kebelakangan ini.

Setelah talkin berakhir....... kenalan yang hadir menabur segenggam dua hirisan pandan di pusara.  Dan terakhir sekali kelihatan si ayah datang menepuk pusara anakanda tercinta.  Daun pandan turut ditabur.......dengan wajah sugul.  

Apabila tujuh langkah berlalu.....malaikat akan mendatangi.  Moga arwah bersemadi dalam tenang dan damai di taman barzakh.  Dan kami yang masih bernyawa ini bakal menjadi jenazah jua suatu hari nanti.  Hanya Allah sahaja yang mengetahui tarikhnya yang tepat ......

Sabtu, 14 Julai 2018

MEREKA YANG PERGI

RAMADHAN yang baru melabuhkan tirainya membawa kenangan indah, berbaur duka.  Terima kasih Ya Allah mengizinkan aku menikmati Ramadhan-Mu penuh makna.  Mungkinkah Ramadhan ini yang terakhir buatku?

Terasa sangat Ramadhan ini amat indah kerana jatuhnya sebaik-baik kita selesai menghadapi pilihan raya.  Dengan kemenangan Pakatan Harapan, seiring rasa gembira ........kita sambut Ramadhan kali ni rasanya dengan lebih bermakna.  Penuh rasa tenang dan ceria.

Namun Ramadhan kali ini jugalah ramai yang kehilangan orang tersayang, termasuk sahabat mayaku Otai Manjung.   Perginya suri hati dalam sepuluh Ramadhan terakhir, amat menyentuh hati mereka yang mengenalinya.

Aku sempat bersama dua orang sahabat mengunjungi bonda OM di rumahnya.  Berkisah tentang menantunya yang tersayang.......menjadikan hati kami sebak.  Rupanya sidia dari tanah seberang.....  Wajah isteri OM masih lagi kusimpan dalam telefon bimbitku.  Cantik orangnya.

Jiran-jiran yang turut hadir pada petang itu turut menceritakan tentang budi baiknya, kerajinannya, kesungguhannya dan paling ketara..... keenakan masakannya!!!  Barangkali selepas ini ada yang merindukan dan terkenang-kenangkan hasil air tangannya.  Apa tidaknya...... sahabat aku yang turut sama pada petang itu mengiakan kata-kata mereka.  Sementelahan pula dia pernah membeli makanan yang dijual oleh arwah.

.........setelah orangnya tiada, barulah tahu bahawa itulah isteri OM.  Itulah menantu Cikgu Umi. Dan aku kerapkali juga lalu d hadapan rumah itu.......tanpa mengetahui bahawa itulah rumah mereka....  Ah dunia ni kecil sahaja!!!    Dan akhirnya kehilangan itu menautkan silaturrahim buat kami yang ditinggalkan.

Salam takziah OM dan bonda Umi.......  Kehilangan insan yang disayangi di sepuluh Ramadhan terakhir ada hikmah di sebaliknya.  Mudah-mudahan lenamu penuh indah di taman barzakh dan bahagia pula menantimu di jannah.  Aamiiiin.....


Khamis, 1 Mac 2018

MEREKA YANG DIUJI

Perjalanan agak meletihkan....... membawa pulang anakanda yang baru sahaja tamat latihan industri di salah sebuah hotel di Shah Alam.  

Lewat malam itu kami singgah mengisi perut yang berkeroncong di kedai makan.  Sementara menunggu makanan yang dipesan siap, aku membuka whatsapp.... meneliti kalau-kalau ada info penting yang dihantar.  Lebih-lebih lagi info dari group rasmi rakan sekerja.

.............dalam membelek-belek itu, tiba-tiba mataku tertumpu pada wajah manis yang dihantar itu.  Mengamati sungguh-sungguh.  Hampir-hampir tidak mengenali siapa empunya diri.......yang kini telah menjadi "arwah".

Cuma namanya sahaja yang rasa cukup aku kenali...... bekas muridku.  Tak salah lagi.  Di sisinya kelihatan dua orang anak yang comel.... Naluri ingin tahuku membuak-buak.  Meluncur laju jemariku memberi respons tentang berita itu.  Khabar yang mendukacitakan...

Dan keesokan petangnya aku mengambil kesempatan menziarah yang tinggal.  Tika aku tiba, kelihatan khemah telah tersedia.  Si ibu sibuk bersama anak menantu perempuannya menyediakan masakan ........ barangkali juadah untuk kenduri tahlil nanti.

Salamku bersambut.  Aku dan ibu itu saling berpelukan.  Dan tanpa ditanya, dia memulakan bicara.  Kelihatan dua anak kecil yang ditinggalkan.  Sudah pasti kehilangan kasih ibu.  Ayah yang berwajah sugul berada di sisi anak-anak itu.  Sebak mula terasa....

Ibu yang barangkali usianya lebih sikit tua dariku itu mempelawaku hadir di kenduri tersebut yang akan bermula malam nanti...... Namun aku menolak dengan lembut.  Keletihan semalam masih lagi terasa.  Dan sebelum ke rumahnya aku telah pergi menziarahi sahabat lama yang kurang sihat.  Aku telah agak lewat tiba di situ.  Bila-bila sahaja azan Maghrib akan berkumandang.

Aku memandang anak-anak muda yang sibuk mengemas meja, menyudahkan susun atur kerusi dan memasang wayar persediaan bagi majlis malam nanti.  Sempat aku menegur mereka.  

Mana tidaknya....... Aku kenal sangat dengan beberapa orang adik beradik arwah yang pernah menjadi muridku jua.  Aku bertemu mereka di dua buah sekolah, di mana aku ditempatkan.  Kenakalan mereka, lebih-lebih lagi yang lelaki...... masih kuingat lagi.

Sedikit ceria menyinari suasana dalam kemuraman petang itu.  Mereka masih mengenaliku.  Terima kasih semua...... Namaku jelas disebut, sedangkan aku sekadar menerjah nama sahaja.  Sukar bagi menelah yang mana satu nama dan orangnya.  

Sebelum meninggalkan mereka, aku ucapkan salam buat semua.  Dibalas dengan ucapan "Terima kasih cikgu...".    Mereka kehilangan salah seorang adik-beradik perempuan yang menjadi penyeri dalam keluarga.  Dan aku sekadar berkongsi sedikit duka di atas pemergianmu.

Jumaat, 23 Februari 2018

ADUH KASIHAN.......

Tahun-tahun sebelum ini tak pernah pun jumpa anak murid sebegini rupa....

Agak mencabar tahun 2018 ini pabila aku diketemukan dengan anak yatim yang tidak pernah ke prasekolah atau ringkasnya TADIKA atau TABIKA.  Tahun lepas dia berada di tahun satu.  Setahun cikgu-cikgu tahun satu mengajarnya.  Lebih-lebih lagi guru kelasnya.  Tahniah buat cikgu tersebut di atas susah payahnya, kesabarannya dan kekuatannya dalam mendidik anak ini.

Dan aku turut mengiakan......betapa sukarnya membimbing anak ini.  Wajahnya kelihatan agak suram, namun kekadang terselit sedikit keceriaan.  Padaku tiada syarat untuk menolak kemasukan anak ini ke kelasku.  Memang amat-amat layak dan dialu-alukan kehadirannya.

Masih tiada satupun konstruk Literasi dan Numerasi yang dikuasainya....... hingga ke saat ni.  Vokal pun sukar untuk diingat.....hanya 'o' sahaja yang paling lekat di hatinya.  Bila diuji secara rawak.....'o' itu pasti betul!!!

Bila menulis huruf ' a' stail comic sense...... acapkali huruf ini akan terbalik jadinya.  Hinggakan aku terpaksa memegang tangannya waktu dia menulis.  Hinggakan kekadang enam tujuh kali terpadam-padam tulisan yang silap itu.  

Hanya kekadang sahaja betul huruf itu ditulisnya.  Dan selebihnya terpaksa dipadam.  Dan aku terpaksa memegang tangannya bagi membetulkan hala tulisan yang terbalik itu.  Rasanya aku terpaksa 'study' banyak tentang perkara ini.  Mencari solusi bagi menyelesaikan yang masih belum selesai.  Kasihan sungguh..... huruf pertama dah sangkut.

Bila diteliti......ada huruf lain yang boleh ditulis walaupun kurang cantik..... Dan ada juga huruf ditulis itu tidak masuk ruangan yang diperuntukkan bagi huruf berkenaan.  Kekadang melebihi garisan, ada kalanya pula ditulis terbalik.  Masalah tulisan turun naik.....aduhai.....

Cuma ada sedikit tingkah lakunya yang mencuit naluriku.....  Sebelum meninggalkan kelas pasti perkataan itu akan diucapkan untukku....bunyi lidahnya agak pendek tetapi jelas bagiku... "Terima kasih belajar saya cikgu.."    Terkesima aku jadinya.  Aku faham makna di sebalik kata-katanya itu....perkataan 'mengajar' sepatutnya menggantikan 'belajar'.  

Kekadang dia yang menyorongkan kerusi kawan-kawannya ke meja tanpa disuruh.  
Allahurobbi..... aku perlu buat sesuatu bagi membantunya.  Sesukar manapun membimbingnya, aku akan cuba.  Dapat atau tidak.... itu bukan urusan aku.  Yang penting usaha dan doa buat anak ini.  Yang dalam usia muda ditinggalkan ayah.  Dan berteduh penuh di bawah kasih seorang nenek yang amat bertanggungjawab dan pengasih.

In shaa Allah.... cikgu akan cuba......
Aku mohon bantuan-Mu Ya Rabb.