Khamis, 1 Mac 2018

MEREKA YANG DIUJI

Perjalanan agak meletihkan....... membawa pulang anakanda yang baru sahaja tamat latihan industri di salah sebuah hotel di Shah Alam.  

Lewat malam itu kami singgah mengisi perut yang berkeroncong di kedai makan.  Sementara menunggu makanan yang dipesan siap, aku membuka whatsapp.... meneliti kalau-kalau ada info penting yang dihantar.  Lebih-lebih lagi info dari group rasmi rakan sekerja.

.............dalam membelek-belek itu, tiba-tiba mataku tertumpu pada wajah manis yang dihantar itu.  Mengamati sungguh-sungguh.  Hampir-hampir tidak mengenali siapa empunya diri.......yang kini telah menjadi "arwah".

Cuma namanya sahaja yang rasa cukup aku kenali...... bekas muridku.  Tak salah lagi.  Di sisinya kelihatan dua orang anak yang comel.... Naluri ingin tahuku membuak-buak.  Meluncur laju jemariku memberi respons tentang berita itu.  Khabar yang mendukacitakan...

Dan keesokan petangnya aku mengambil kesempatan menziarah yang tinggal.  Tika aku tiba, kelihatan khemah telah tersedia.  Si ibu sibuk bersama anak menantu perempuannya menyediakan masakan ........ barangkali juadah untuk kenduri tahlil nanti.

Salamku bersambut.  Aku dan ibu itu saling berpelukan.  Dan tanpa ditanya, dia memulakan bicara.  Kelihatan dua anak kecil yang ditinggalkan.  Sudah pasti kehilangan kasih ibu.  Ayah yang berwajah sugul berada di sisi anak-anak itu.  Sebak mula terasa....

Ibu yang barangkali usianya lebih sikit tua dariku itu mempelawaku hadir di kenduri tersebut yang akan bermula malam nanti...... Namun aku menolak dengan lembut.  Keletihan semalam masih lagi terasa.  Dan sebelum ke rumahnya aku telah pergi menziarahi sahabat lama yang kurang sihat.  Aku telah agak lewat tiba di situ.  Bila-bila sahaja azan Maghrib akan berkumandang.

Aku memandang anak-anak muda yang sibuk mengemas meja, menyudahkan susun atur kerusi dan memasang wayar persediaan bagi majlis malam nanti.  Sempat aku menegur mereka.  

Mana tidaknya....... Aku kenal sangat dengan beberapa orang adik beradik arwah yang pernah menjadi muridku jua.  Aku bertemu mereka di dua buah sekolah, di mana aku ditempatkan.  Kenakalan mereka, lebih-lebih lagi yang lelaki...... masih kuingat lagi.

Sedikit ceria menyinari suasana dalam kemuraman petang itu.  Mereka masih mengenaliku.  Terima kasih semua...... Namaku jelas disebut, sedangkan aku sekadar menerjah nama sahaja.  Sukar bagi menelah yang mana satu nama dan orangnya.  

Sebelum meninggalkan mereka, aku ucapkan salam buat semua.  Dibalas dengan ucapan "Terima kasih cikgu...".    Mereka kehilangan salah seorang adik-beradik perempuan yang menjadi penyeri dalam keluarga.  Dan aku sekadar berkongsi sedikit duka di atas pemergianmu.

Tiada ulasan: