Sabtu, 28 Januari 2023
MENUNGGU KERETA API
Ahad, 22 Januari 2023
BATU GAJAH OH BATU GAJAH
TERKENANG SEMASA DULU...
TAHUN BARU CINA muncul kembali. Aku terkenang suatu ketika dahulu, semasa aku kecil. Aku mengikut ayah ke rumah kawannya di Pusing dengan menaiki motosikal. Uncle yang merupakan rakan sekerja ayah itu menjemput ayah datang ke rumah. Mereka sama-sama bekerja di lombong bijih timah di Kampung Pisang.
Setibanya kami di rumah uncle, kelihatan pelbagai tanaman mengisi perkarangan rumahnya. Rajinnya uncle berbudi kepada tanah. Cemburu pula aku melihatnya. Ayahpun apa kurangnya. Di belakang dan tanah sebelah rumah yang kami sewa itu ayah dan emak penuhkan dengan tanaman ubi kayu dan keladi.
Makanan yang menjadi pilihan aku dan ayah ialah kacang dan limau. Ayah rancak berbual dengan uncle. Melihat kepada raut wajahnya, aku dapat mengagak bahawa usianya lebih tua daripada ayah. Sudah memiliki cucu pula. Namun masih kuat bekerja. Ayah berkawan dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira bangsa atau keturunan. Kelebihan ayah ialah mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Ada sahaja modal untuk dibualkan.
Gembiranya aku kerana sebelum meninggalkan rumah uncle itu, aku mendapat angpau. Terima kasih uncle!
Jumaat, 20 Januari 2023
KAMI ANAK-ANAK SKBG
Khamis, 19 Januari 2023
SEMOGA TENANG DI SANA
Terima kasih atas makluman yang mendukacitakan itu. Dalam kesibukan ulang alik dari Lekir ke Batu Gajah bermula awal tahun 2022, pasti akan teringat kepada Mak Cik Zahrah. Cuma sempat sekali aku sendirian mengunjunginya. Direzekikan pula bertemu Kak Long dan Ijan pada waktu tersebut.
Semenjak itu, tujuan utama balik ke BG semata-mata untuk melihat kerja-kerja baikpulih tersebut. Fikiran terkenang juga kepada jiran lama emak ini. Satu-satunya jiran paling hampir yang menjadi kawan emak berbual dan berkongsi cerita. Kebiasaannya hanya melalui laungan di tepi pagar. Biasalah ...orang kampung.
Aku masih teringat foto-foto lama tersebut, masih tersimpan dalam laci almari solek di rumah ayah. Gambar kenangan semasa ayah dan Tok Man (ayah Dilah) mengadakan majlis doa selamat sewaktu hendak mendirikan rumah kami. Satu-satu kurenung dalam-dalam. Sama-sama mendirikan rumah, yang ada sedikit persamaannya. Berkumpul dua keluarga yang sekadar namanya jiran. Dan ikatan itu akhirnya menjadi utuh asbab kami anaknya yang belajar dalam satu sekolah yang sama.
Rumah emakku dan Mak Cik Zaharah dipisahkan oleh rumah Kak Zan. Sepelaung sahaja. Memang akan jelas kelihatan sekiranya masing-masing keluar untuk membersihkan sekitar. Keramahan mereka makin terasa jika emak Kak Zan juga ada bersama.
Tanpa kami sedari bahawa Mak Cik Zahrah rupa-rupanya telah pergi meninggalkan dunia fana ini. Angan-anganku untuk bersua untuk kesekian kalinya terkubur begitu sahaja. Begitulah, akibat bertangguh-tangguh...akhirnya aku yang terkilan. Mudah-mudahan bondamu Dilah, dicucuri rahmat dan diampuni dosa-dosanya. Tenanglah Mak Cik Zahrah di taman barzakh. Mak cik terlalu baik dengan kami. Kenangan bersama mak cik mekar di taman hati.
Kuhadiahkan bacaan Al Fatihah buat ayah, emak, Tok Man dan Mak Cik Zahrah... Di dunia ini kita berjiran,Ya Allah temukanlah kami semula di sana nanti.
(terima kasih kepada pemilik video ini)
Selasa, 17 Januari 2023
RUMAH AGAM ITU...
Sabtu, 14 Januari 2023
TERIMA KASIH ATAS NIKMAT-MU
Khamis, 12 Januari 2023
KAMPUNG PISANG DALAM KENANGAN
TATKALA tiba di kampung itu... terasa bagai ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan menyelinap masuk ke hati. Bayangkan pada tahun 1960-an aku pernah dibesarkan di sini. Aku masih ingat pada beberapa nama jiran berdekatan rumah yang kami sewa itu. Nyah Lon, Abang Leman, Cikgu La, Pak Mior dengan kereta Morris Minornya, Mak cik Mai, dan beberapa orang lagi.
Masyarakat kampung kebanyakannya bekerja di lombong bijih timah yang berhampiran. Ada juga yang bekerja sendiri seperti tukang rumah, berkedai runcit dan membuat serta menjual kuih-kuih basah. Ada juga sebilangannya bekerja dengan kerajaan.
Kerap juga aku melihat kaum wanita membawa dulang berjalan beramai-ramai menuju ke lombong yang berhampiran. Mereka terbongkok-bongkok melakukan aktiviti melanda. Begitulah cara mereka memperoleh timah yang amat berharga. Tatkala terik mentari membahang, baharulah mereka beredar pulang. Timah automatik akan bertukar dengan nilaian wang sekiranya dibawa ke pekan.
Bayangkanlah... begitu mudah memperoleh wang. Pokok pangkalnya kena rajin sahaja. Kaum lelaki pula ramai yang bekerja di kawasan lombong bijih timah yang diusahakan oleh syarikat terkemuka. Di kawasan luas tersebut boleh dilihat kapal korek, palung-palung, serta rumah kongsi bagi sebahagian pekerja-pekerjanya. Di situlah ayah bekerja. Jawatan terakhir ayah ialah 'Kepala Lombong'.
Menariknya ialah, pekerja lombong menerima dua kali pembayaran gaji. Di tengah bulan ia dinamakan 'Belanja' manakala di hujungnya disebut 'Gaji'. Paling seronok apabila tiba Hari Merdeka, ayah akan membawa pulang bungkusan buah tangan untuk kami dua beradik. Semua anak pekerja lombong akan menerima habuan tersebut.
Sesekali ayah membawa kami memancing di situ. Detik-detik indah tatkala kami berjaya membawa pulang sebesen ikan hasil pancingan begitu mengujakan. Tetapi semua itu hanya tinggal kenangan... Hadirnya aku kali ini, ibarat sekadar pelawat yang menyaksikan 'kehilangan' momen indah satu ketika dahulu. Namun tersimpan kukuh di lipatan nubari.
'Rumah tuan' sudah tidak kelihatan. Lorong-lorong yang pernah kulalui bersama abang dan ayah tatkala berbasikal di sekitar lokasi tempat ayah bekerja, sudah 'lebuh'. Stesen kereta api telah mengambil tempatnya. Hanya pepasir memutih yang tetap gah seperti dahulu. Meluas air lombong kelihatan seperti tasik.
Gerotak kereta api yang pernah kami gunakan dahulu pun telah diganti kini. Terkenang-kenang saat aku melangkah di gerotak tersebut. Gayat sungguh. Lihat di bawah... air keruh menghilir. Tak dapat kubayangkan kalau tersilap langkah!
Sabtu, 7 Januari 2023
Rabu, 4 Januari 2023
KENANGAN MANIS 2022 SIMPAN DI SINI
2022 meninggalkan banyak kenangan manis, perlu disimpan jadi kenangan.
2022 juga disulami ujian, moga ia menjadi teladan agar diri lebih kuat mengharung cabaran.
![]() |
detik persaraan |
![]() |
berkumpul raya bersama emak di Taiping |
Terikat dengan PKP dan asbab kehadiran COVID-19..... akhirnya berpeluang berhari raya bersama sanak saudara/keluarga di rumah Kak Nyah dan Abang Shukor di Taman Kuning Sari, Taiping. Syukur Ya Allah.
![]() |
bersama keluarga Adik Zah |
![]() |
berkumpul cucu opah.........sepupu sepapat.... |