Isnin, 18 Disember 2023

JOM KITA BERBENGKEL... belasah jer!!!

 

BERPELUANG turut serta berbengkel pada 9 Disember 2023 yang lalu, begitu mengujakan. Meskipun kami sekadar terdiri daripada kumpulan kecil, ia amat bermakna bagi setiap yang hadir. Mengenali PenaWan dan bertentang mata dengan beberapa orang kuatnya, terasa diri begitu kerdil. Namun keakraban dan kemesraan yang ditunjukkan begitu besar ertinya.

Dr. Umi selaku penceramah sudi berkongsi pengalaman berharga beliau kepada kami yang hadir. Penerangan secara bersahaja dan santai ...tapi sampai. Memang mengasyikkan! Dalam kalangan kami terdapat  peserta yang dikategorikan sebagai opah atau nenek, termasuklah diri ini. Di dalam usia yang sedemikian, masih gigih menambah ilmu dalam bidang penulisan. Hebat mereka ni!

Dalam kalangan kami juga terdapat dua kumbang, iaitu anak muda yang hadir memecah tradisi kebiasaan. Memiliki idea cemerlang, lain daripada yang lain. Ringkasnya, mereka mempunyai sudut pandang yang berbeda. Jika PenaWan dapat melahirkan penulis sedemian, alangkah bertuah!

Kehadiran aku kali ini untuk menimba ilmu menulis dari sudut lain. Sesungguhnya sedikit sukar untuk menulis fakta. Jauh bezanya dengan penulisan kreatif yang bengkel dalam taliannya biasa kuhadiri. Fakta tidak boleh auta, itu sebenarnya. Banyak membaca adalah kuncinya. Sama ada penulisan kreatif ataupun penulisan fakta, masing-masing mempunyai peminatnya tersendiri.

Kesempatan bersama di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kg Dato Ahmad Said Tambahan 2 itu memberi pendedahan tentang aspek dan teknik penulisan. Perkongsian ilmu dan pengalaman daripada peserta juga amat menarik. Tidak sia-sia aku meluangkan waktu bersama Kak Dila datang dari jauh semata-mata untuk menambah ilmu. Alhamdulillah.

Terima kasih sahabat semua serta penceramah yang ramah lagi mesra menerima kami selaku anak murid seadanya. Aku membawa pulang tiga naskhah buku pada hari berkenaan. Sentuhan Muttaqin kami peroleh secara percuma, terima kasih Dr. Umi. Manakala Keajaiban Haiwan dan Kembara At-Tenni kubeli untuk menambah koleksi bahan bacaan di rumah. 

Semoga ilmu yang bermanfaat itu dapat digunakan dalam penghasilan karya berbentuk fakta dan penulisan kreatif. Selamat menulis sahabat semua!!!


Jemput klik di sini untuk melihat sekitar perbengkelan kami


Tiada ulasan: