SEBENARNYA aku telah lama mengenalinya. Ianya bermula semasa aku bersama-sama rakan sekerja terpilih untuk menjalani kursus PPSMI. Group kecil kami terdiri daripada Kak Fazilah (telah kembali ke rahmatullah), Ramlah Musa, Jamalina dan aku.
Puan Hartini, kami memanggilnya Cikgu Tini. Seorang guru Bahasa Inggeris, berdarah India beragama Islam. Gaya bahasa yang santai namun sampai. Walaupun penyampaiannya dalam Bahasa Inggeris, sesekali Bahasa Melayunya terzahir jua.
Kenangan manis bersama Cikgu Tini dan kumpulan di bawah bimbingannya masih kuingat lagi. Kami menjadi akrab. Banyak yang aku belajar dalam tempoh yang agak lama. Memahirkan diri dalam BI demi diaplikasikan di dalam kelas nanti, itulah amanah yang diberi.
Kami menyahut cabaran dan panggilan tersebut. Meskipun ada dalam kalangan kami kurang mahir berbahasa Inggeris, itu tidak menjadi penghalang bagi kami untuk terus menggali ilmunya. Sikap saling membantu menjadikan kami senang dengan kursus yang dihadiri. Puan Hartini tidak pernah lokek untuk memudahkan urusan.
Masa berlalu meninggalkan detik tersebut. Bertahun-tahun rasanya aku tidak bertemu Puan Hartini. Namun Allah menemukan kami (aku dan Puan Tini) di dalam PERKIM. Alhamdulillah. Pertemuan ini menjadikan aku makin menyimpan hasrat untuk mengenalinya, sementelah kami sering bersama dalam pelbagai program yang diadakan.
Kelihatan tenang orangnya. Namun ada rahsia di sebaliknya yang tidak aku ketahui. Aku mengambil kesempatan untuk sesekali bertegur sapa dengannya. Ingatan dan pertemuan kali kedua ini agak terkesan bagiku. Aku melihat ketabahan beliau dalam menuntut ilmu dan bermasyarakat dalam keadaan usia yang makin meningkat. Hinggalah kelihatan dirinya bertongkat tatkala menghadiri beberapa program kebelakangan ini.
Kemalangan yang menimpanya telah menyebabkan beliau terpaksa menerima rawatan di hospital. Beberapa hari kemudian beliau menghembuskan nafas terakhir. Seraut wajahnya yang tenang dan kesabarannya menempuh ujian, meninggalkan kesan di hatiku. Mudah-mudahan Allah menempatkan dirimu bersama-sama para solihin.
Terima kasih Puan Hartini binti Abdullah. Jasamu tetap kukenang.
(Perkongsian foto dari Fb Perkim Manjung)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan