Jumaat, 1 Disember 2023

Kapal Korek TT5

 PULANGNYA kami minggu lalu mencatat peluang keemasan yang ditunggu-tunggu. Alhamdulillah, rezeki mengintai sejarah yang masih belum terpadam. Kami sempat berkunjung ke Batu 6, Jalan Tanjung Tualang untuk melihat raksasa yang ditinggalkan sekian lama.

    Sepanjang berada di dalam kapal korek tersebut, kenangan lama mengimbau di ingatan. Terasa sebak mengenangkan suatu waktu dahulu, waktu itu aku sekadar melihatnya dari jauh sahaja. Itupun atas ihsan ayah yang sudi meluang masa membawa kami dua beradik 'round-round' sekitar tempat kerja ayah. Di dalam kapal korek itulah ayah bekerja. Ayah merupakan kepala lombong di lombong bijih di Kampung Pisang, Batu Gajah.

    Ayah bertanggungjawab terhadap rakan sekerja yang bertugas dalam kapal yang sama. Ayah merupakan orang kuat Union. Kehebatan ayah berhujah demi membela nasib pekerja lombong bijih tidak dapat dinafikan. Begitu dedikasi ayah melaksanakan tugasnya. Sebelum bekerja di Kampung Pisang, ayah bertugas di Batu Karang, Kampar. 

    Aku tertarik dengan penerangan yang diberikan oleh pemandu pelancong yang begitu muda usianya. Rupa-rupanya datuknya dahulu pernah bertugas atas kapal korek berkenaan.  Entah-entah ayah mengenalinya. Cuma pak cik yang masih kuingat ialah Pak cik Rais, Pak cik Yusof, Uncle Kok Hoi, Uncle Rajoo, Pak cik Wahab dan Pak cik Mat Yien.

    Ada dalam kalangan kawan-kawan ayah masih kuingat wajahnya kerana aku masih menyimpan beberapa keping gambar lama mereka. Gambar hitam putih tersebut menjadi bukti bahawa mereka pernah menyumbang tenaga dan berjasa kepada tanah air tercinta. 



    

Tiada ulasan: