Isnin, 18 Disember 2023

JOM KITA BERBENGKEL... belasah jer!!!

 

BERPELUANG turut serta berbengkel pada 9 Disember 2023 yang lalu, begitu mengujakan. Meskipun kami sekadar terdiri daripada kumpulan kecil, ia amat bermakna bagi setiap yang hadir. Mengenali PenaWan dan bertentang mata dengan beberapa orang kuatnya, terasa diri begitu kerdil. Namun keakraban dan kemesraan yang ditunjukkan begitu besar ertinya.

Dr. Umi selaku penceramah sudi berkongsi pengalaman berharga beliau kepada kami yang hadir. Penerangan secara bersahaja dan santai ...tapi sampai. Memang mengasyikkan! Dalam kalangan kami terdapat  peserta yang dikategorikan sebagai opah atau nenek, termasuklah diri ini. Di dalam usia yang sedemikian, masih gigih menambah ilmu dalam bidang penulisan. Hebat mereka ni!

Dalam kalangan kami juga terdapat dua kumbang, iaitu anak muda yang hadir memecah tradisi kebiasaan. Memiliki idea cemerlang, lain daripada yang lain. Ringkasnya, mereka mempunyai sudut pandang yang berbeda. Jika PenaWan dapat melahirkan penulis sedemian, alangkah bertuah!

Kehadiran aku kali ini untuk menimba ilmu menulis dari sudut lain. Sesungguhnya sedikit sukar untuk menulis fakta. Jauh bezanya dengan penulisan kreatif yang bengkel dalam taliannya biasa kuhadiri. Fakta tidak boleh auta, itu sebenarnya. Banyak membaca adalah kuncinya. Sama ada penulisan kreatif ataupun penulisan fakta, masing-masing mempunyai peminatnya tersendiri.

Kesempatan bersama di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kg Dato Ahmad Said Tambahan 2 itu memberi pendedahan tentang aspek dan teknik penulisan. Perkongsian ilmu dan pengalaman daripada peserta juga amat menarik. Tidak sia-sia aku meluangkan waktu bersama Kak Dila datang dari jauh semata-mata untuk menambah ilmu. Alhamdulillah.

Terima kasih sahabat semua serta penceramah yang ramah lagi mesra menerima kami selaku anak murid seadanya. Aku membawa pulang tiga naskhah buku pada hari berkenaan. Sentuhan Muttaqin kami peroleh secara percuma, terima kasih Dr. Umi. Manakala Keajaiban Haiwan dan Kembara At-Tenni kubeli untuk menambah koleksi bahan bacaan di rumah. 

Semoga ilmu yang bermanfaat itu dapat digunakan dalam penghasilan karya berbentuk fakta dan penulisan kreatif. Selamat menulis sahabat semua!!!


Jemput klik di sini untuk melihat sekitar perbengkelan kami


Khamis, 14 Disember 2023

PEMERGIANMU CIKGU

SEBENARNYA aku telah lama mengenalinya. Ianya bermula semasa aku bersama-sama rakan sekerja terpilih untuk menjalani kursus PPSMI. Group kecil kami terdiri daripada Kak Fazilah (telah kembali ke rahmatullah), Ramlah Musa, Jamalina dan aku.

Puan Hartini, kami memanggilnya Cikgu Tini. Seorang guru Bahasa Inggeris, berdarah India beragama Islam. Gaya bahasa yang santai namun sampai. Walaupun penyampaiannya dalam Bahasa Inggeris, sesekali Bahasa Melayunya terzahir jua.
Kenangan manis bersama Cikgu Tini dan kumpulan di bawah bimbingannya masih kuingat lagi. Kami menjadi akrab. Banyak yang aku belajar dalam tempoh yang agak lama. Memahirkan diri dalam BI demi diaplikasikan di dalam kelas nanti, itulah amanah yang diberi.

Kami menyahut cabaran dan panggilan tersebut. Meskipun ada dalam kalangan kami kurang mahir berbahasa Inggeris, itu tidak menjadi penghalang bagi kami untuk terus menggali ilmunya. Sikap saling membantu menjadikan kami senang dengan kursus yang dihadiri. Puan Hartini tidak pernah lokek untuk memudahkan urusan. 

Masa berlalu meninggalkan detik tersebut. Bertahun-tahun rasanya aku tidak bertemu Puan Hartini. Namun Allah menemukan kami (aku dan Puan Tini) di dalam PERKIM. Alhamdulillah. Pertemuan ini menjadikan aku makin menyimpan hasrat untuk mengenalinya, sementelah kami sering bersama dalam pelbagai program yang diadakan.

Kelihatan tenang orangnya. Namun ada rahsia di sebaliknya yang tidak aku ketahui. Aku mengambil kesempatan untuk sesekali bertegur sapa dengannya. Ingatan dan pertemuan kali kedua ini agak terkesan bagiku. Aku melihat ketabahan beliau dalam menuntut ilmu dan bermasyarakat dalam keadaan usia yang makin meningkat. Hinggalah kelihatan dirinya bertongkat tatkala menghadiri beberapa program kebelakangan ini.

Kemalangan yang menimpanya telah menyebabkan beliau terpaksa menerima rawatan di hospital. Beberapa hari kemudian beliau menghembuskan nafas terakhir. Seraut wajahnya yang tenang dan kesabarannya menempuh ujian, meninggalkan kesan di hatiku. Mudah-mudahan Allah menempatkan dirimu bersama-sama para solihin. 

Terima kasih Puan Hartini binti Abdullah. Jasamu tetap kukenang. 


 (Perkongsian foto dari Fb Perkim Manjung)

Selasa, 5 Disember 2023

PERJUANGAN KITA BELUM SELESAI

Ahli majlis zon 9 Lekir bersama
puteri-puteri kesayangan En Tazalli

 
Foto bersama isteri tercinta dan sanak saudara



    

Pernah menggalas jawatan
YDP PIBG sekolah rendah dan menengah
Mengenalinya sudah lama, iaitu sejak anak-anaknya menjadi sebahagian daripada warga sekolah tempatku bertugas. Memiliki empat orang cahaya mata, yang mana dua daripadanya sebaya dengan abang ngah dan kak uda. Perwatakannya tegas, namun sikap tolak ansurnya menyenangkan semua.

Tatkala anak-anak menyambung pelajaran di sekolah menengah, jawatan yang sama mengekorinya juga. Sikap tanggungjawabnya disenangi semua pihak. Jawatan yang diamanahkan akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Begitu sikap yang ditunjukkan.

Jawatan disandang bukanlah untuk bermegah-megah atau dibangga-banggakan.  Begitulah sikap beliau yang diamanahkan dengan jawatan Yang Dipertua PIBG sekolah. Beliau mudah didekati, senang didampingi.

Karyawan Lekir - orang puisi


Dua naskhah buku puisi yang dihasilkan




    Minat beliau terhadap puisi tidak dapat disangkal. Berkat kerajinan dan istiqomahnya, maka dua naskhah buku telah diterbitkan. Himpunan puisi yang lahir dari hati juga pemerhatian yang teliti. Susun atur bahasa yang indah sentiasa mengalir segar. Tahniah buat pencinta seni sastera ini. 


Menghadiri undangan majlis dan kenduri
    Kehidupan bermasyarakatnya jelas kelihatan. Seringkali kelibatnya akan ditemui di mana-mana malah mudah bertegur-sapa dengan sesiapa sahaja.    

    Anak-anak sekolah menengah khasnya SMK Batu     10 menggelarnya 'transformer'.  Sebut sahaja nama itu, semua murid tahu. Andaikata beliau terserempak dengan anak-anak, ada kalanya beliau menumpangkan mereka hingga ke rumah meskipun terpaksa berpatah balik untuk pulang ke rumahnya sendiri.  Betapa pemurahnya beliau.           



Bersama masyarakat dalam perjuangan



    Tidak lupa juga perjuangannya dalam politik. Seorang yang memiliki kelebihan tetapi tidak menonjolkan diri ke hadapan. Pergerakan yang penuh strategi, memiliki idea yang bernas. Boleh bertindak selaku pengarah yang berkredebiliti. 

    Beliau bijak mengatur langkah, dan setiap tindak tanduknya lebih berhati-hati. Masih kuingat lagi... secara berseloroh beliau pernah menyatakan bahawa PRU yang akan datang belum tentu kita akan dapat bersama.

Foto kenangan PRU yang lalu
Salam akhir, moga tenang di sana
(1 Disember 2023 = 17 Jamadil Awwal 1445)


    Buat sahabat yang kukenali di arena politik dan di sudut puisi, selamat tinggal buatmu En. Tazalli atau mesra kami panggil Cekli Zalli. Seorang yang banyak pengalaman, dengan hidup penuh perjuangan. Mudah-mudahan Allah menerima dan menilai setiap usaha murnimu. Moga ia menjadi saham akhirat. Tahniah buat satu-satunya puteramu yang mengimami solat jenazahmu buat kali yang terakhir. Bertabahlah dan bersabarlah buat suri hati yang ditinggalkan bersama tiga puteri dan seorang putera. Walau dirimu telah tiada, perjuanganmu tetap kami teruskan. Cita-cita dan hasrat kita tetap sama. 

Perginya seorang sahabat pada jam 1.50 pagi di hari Jumaat penuh barokah...

Jumaat, 1 Disember 2023

Kapal Korek TT5

 PULANGNYA kami minggu lalu mencatat peluang keemasan yang ditunggu-tunggu. Alhamdulillah, rezeki mengintai sejarah yang masih belum terpadam. Kami sempat berkunjung ke Batu 6, Jalan Tanjung Tualang untuk melihat raksasa yang ditinggalkan sekian lama.

    Sepanjang berada di dalam kapal korek tersebut, kenangan lama mengimbau di ingatan. Terasa sebak mengenangkan suatu waktu dahulu, waktu itu aku sekadar melihatnya dari jauh sahaja. Itupun atas ihsan ayah yang sudi meluang masa membawa kami dua beradik 'round-round' sekitar tempat kerja ayah. Di dalam kapal korek itulah ayah bekerja. Ayah merupakan kepala lombong di lombong bijih di Kampung Pisang, Batu Gajah.

    Ayah bertanggungjawab terhadap rakan sekerja yang bertugas dalam kapal yang sama. Ayah merupakan orang kuat Union. Kehebatan ayah berhujah demi membela nasib pekerja lombong bijih tidak dapat dinafikan. Begitu dedikasi ayah melaksanakan tugasnya. Sebelum bekerja di Kampung Pisang, ayah bertugas di Batu Karang, Kampar. 

    Aku tertarik dengan penerangan yang diberikan oleh pemandu pelancong yang begitu muda usianya. Rupa-rupanya datuknya dahulu pernah bertugas atas kapal korek berkenaan.  Entah-entah ayah mengenalinya. Cuma pak cik yang masih kuingat ialah Pak cik Rais, Pak cik Yusof, Uncle Kok Hoi, Uncle Rajoo, Pak cik Wahab dan Pak cik Mat Yien.

    Ada dalam kalangan kawan-kawan ayah masih kuingat wajahnya kerana aku masih menyimpan beberapa keping gambar lama mereka. Gambar hitam putih tersebut menjadi bukti bahawa mereka pernah menyumbang tenaga dan berjasa kepada tanah air tercinta.