Khamis, 26 November 2020

SELOKA RETRO PEMULIHAN KHAS




Batang jerami dibelah-belah
Dijemur rapi di tengah laman
Sifu kami Puan Nor Aziah
Ilmu dikongsi tidak disimpan

Dari Yan pergi ke Maran
Hujan rahmat sepanjang jalan
Kak Yati, Kak Yan, guru veteran
Lama berkhidmat banyak pengalaman

Tanam petola di tepi jalan
Kacang sepat jual di pekan
Sheda, Suhaila, berkongsi jawatan
Simpang Empat sekolah pilihan

Di kedai Cina mencari batu
Mata kail dan joran baru
Dikta Zarina jelitanya wajahku
Myra Smile senyum selalu

Jauh bercuti ke Changkat Belengkor
Di hujung kampung merayau-rayau
Yanti di Kayan Suriyani di Pangkor
Sorang di hujung sorang di pulau

Adik manis tawar-menawar
Mangga ranum pilihan di hati
Linda Hanef di Ayer Tawar
Linda Hanum di Sungai Wangi

Beratur semut di tepi cawan
Rasa manis, semanis kurma
Aida di Lumut Sabrila di Sitiawan
Sekolah ACS itulah tempatnya

Tanah pamah tempat bertani
Semaian di tapak teratur sekali
Cari Musalmah di Kg Dato' Seri
Di Dato' Ishak Rosiah menanti

Anak kucing di atas tembok
Sambil duduk tergaru-garu  
Ayu di Convent 'speaking' berabuk
Hakim yang arif  di Pengkalan Baharu

Makan mi berdehem-dehem
Tersedak rasa perit kerongkong
Reyha dan Umi  di TLDM
Suhaida, Darlina, di Seri Manjung

Di Mohd Saman Ain menanti
Jue tetap di Kampung Baharu
Nun di Kelantan Zulani kembali
Di dalam 'whatsapp' kita bertemu







Isnin, 23 November 2020

KT 24 97


     KT 24 97 Bawa Daku    Pulang

Melihat tajuknya sahaja....... aku segera membayangkan satu penerbangan.  Ingatanku berlabuh pada kisah ayah yang menaiki kapal terbang untuk menunaikan ibadah haji semasa hayatnya masih ada.  

Nombor pada bagasi hijaunya tertera KT itu.  Tapi aku telah lupa nombor penerbangannya itu.  Bertahun telah berlalu.....

Kini tatkala mataku tertancap pada judul buku ini, secara automatiknya KT itu padaku bermaksud sedemikian.  Sehinggalah tamatnya naskhah ini kuhadam...... rupa-rupanya sangkaanku meleset sama sekali.  Tidak tepat langsung!!!

Pembacaanku amat lancar pada petang itu.  Sesekali mutiara jernih bergenang di kelopak mata.  Menelusuri kehidupan penulisnya yang dibawa dengan bahasa nan indah.  Meskipun bukan sebangsa denganku.  Tahniah sahabat kerana berjaya membawa rentetan penulisanmu dengan begitu baik.  Menjentik rasa.

Juga sekalung tahniah........di atas perjuanganmu yang diadun dengan ketabahan dan kesabaran.  Diulit dengan redho.  Dianugerahkan insan-insan yang memahami.  Jua dikurniai ayahbonda yang merestui.  Dan Dia permudahkan segalanya, hatta dalam saat-saat genting sekalipun.

Dan kalimah suci itulah yang menjadikan kita bersaudara.....  Peganglah kejap tali perhubungan dengan Dia, juga hubungan sesama manusia.  Mudah-mudahan Dia tidak membolak balikkan hati yang telah dipilih ini.

Sesungguhnya Dia tidak memandang rupa, warna kulit, pangkat dan harta yang kita ada.  Kita dijadikan bersuku-suku dan berbangsa-bangsa, adalah untuk saling kenal-mengenal sesama kita.  Tidak ada lebihnya sesuatu kaum atau bangsa itu melainkan taqwa dan imannya.

Akhirulkalam Lyn........ mudah-mudahan di sini kita berjumpa.  Dan di sana pun kita dapat bersua.  In shaa Allah.  Teruskan menulis, kerana mungkin ia menjadi medan dakwah di dunia fana ini, juga bekalan kita di alam yang satu lagi.

BELAJAR TETAP BELAJAR


 Apa khabar anak-anak semuanya, di waktu PKPB ini?

Kenangan bersama kalian untuk tahun 2020 ini terasa amat singkat sekali.  Tahun ini mencatat sejarah yang tak mungkin hilang dari ingatan. 

Tak siapa menyangka, tak siapa menduga, tahun yang bilangan hari belajar di sekolah paling sedikit. Dan kita akhirnya akur untuk mengikuti pembelajaran berbeda dari yang dulu.

Selesai PKP, kita mula menyambung persekolahan dalam suasana norma baharu.  Itupun tidak semua yang hadir mengikut ketetapan yang dimaklumkan.  Barangkali ada dalam kalangan penjaga yang masih diburu ketakutan.  


Dalam kita berjaga-jaga itu......... Kluster Lekir pula wujud.  Dan kita terpaksa akur bila mana sekolah terpaksa ditutup.  Dua minggu kita patuhi untuk tidak hadir ke sekolah.  Berkuarantinlah selama dua minggu itu.  Menanti kehadiran Pak Polisi!!! 

Ada yang merasai 'nikmat bergelang merah jambu' ......... sama ada guru mahupun murid-murid.  Kita sama-sama melalui detik-detik tersebut dengan penuh redho.  Menerima ketentuan Allah dengan penuh pasrah.  Dan akhirnya kita menang.  Syukur Alhamdulillah.

Kehadiran kian merosot bila mana sesi persekolahan mula dibuka.  Kerisauan yang terbit di hati para penjaga menjadikan keadaan kelas-kelas begitu lengang.  Pendek kata, kehadiran murid jatuh mendadak.

Murid kelasku sering tidak hadir ke sekolah.  Apabila melintasi kelas-kelas di mana anak muridku berada....... aku seringkali hampa.  Kelibat mereka tiada.  "Tak datang, cikgu...." ujar rakan sekelas mereka.  

Dengan jawapan itu, aku melangkah longlai ke kelasku.  Walaupun tiada sesi PdP, tugasan lain memang sedia menanti.  Fail perlu dicapai, disemak, dan data sentiasa mesti dikemaskini. Kedai buku tetap diurus juga.  Aku sentiasa menanti kehadiran pelanggan yang pelbagai ragam. 

"Hutang boleh, cikgu?"  tanya sesetengah pelangganku yang tidak cukup duit, tetapi terpaksa juga membeli alat tulis atau buku yang mungkin telah habis digunakan.

" Ok.......nanti cikgu tulis nama kamu di 'whiteboard', "  lantas pen marker hitam, merah ataupun biru menari-nari mencatat nama, nama kelas dan nilai hutang tersebut.  Mata mereka memerhati jemariku lincah mencatat.

" Esok saya bayar.... " ujar mereka selamba.

"Esok cikgu tak datang sekolah.  Kamu datanglah sorang......  Esokkan cuti," sambungku 

"Owh....okey cikgu.  Isnin saya bayar....."  ucapnya penuh yakin.

"Cakaplah in shaa Allah....." kuingatkan mereka.

Begitulah rutin harianku.  Kekadang ada sahaja rakan sekerja yang bermurah hati tolong melangsaikan hutang yang tercatat di papan putih itu.  Aku pun turut berebut peluang keemasan itu.  Bagi yang memang mengingati hutang mereka, di pertengahan jalan pun akan menahanku untuk melunaskan hutang tersebut.  

Dan kini...... anak-anak pemulihanku belajar di rumah bersama keluarga.  Tugasan tetap kuberi mengikut tahap penguasaan masing-masing.  Dan laporan tetap akan dibuat sebelum jam 4.00 petang.  Mereka mungkin dibantu oleh ayah,ibu, abang ataupun kakak.  Atau barangkali terkial-kial belajar sendirian.  Wallahuálam.

Sebaris doa tetap kuungkap buat semua yang cikgu kasih........
Cikgu hanya membantu dari sini.  Selebihnya bimbingan amat perlu daripada keluarga.  
Usaha sudah semestinya.  Doa adalah senjata.  Dan yang menentukan hanya DIA.



Jumaat, 20 November 2020

SALAM TAHNIAH

Terjebak bersama insan-insan hebat di dalam kumpulan Peserta APR SAW....... terasa kerdilnya aku...

Antologi Puisi Rasulullah SAW..... menjentik hatiku untuk turut sama menyertai program ini.  Tanpa kusedari bahawa dalam kalangan peserta yang hampir dua ratus orang itu, ada nama-nama hebat yang telah lama berkecimpung di dalam dunia penulisan.

Salah seorangnya adalah Puan Noor Aisyah Maidin......   peserta bersama-samaku di dalam antologi puisi ini.  Beliau telah berjaya memenangi Hadiah Sastera Sabah 2018-2019, kategori Puisi.  Sekalung tahniah buat Puan Noor Aisyah.

Aku berkunjung salam malam itu.  Salam bersambut tika hujan di luar mulai turun.  Kami berbicara lewat pertemuan di aplikasi whatsapp.  Banyak yang dikongsikan.......terima kasih kuungkapkan atas kesudian memberiku kata-kata semangat dan sokongan agar aku terus menulis.

Sebenarnya aku menulis sekadar suka-suka.  Kekadang itu merupakan cara untuk melepaskan lelah daripada tekanan yang melanda.  Untuk pergi lebih jauh rasanya masih dalam perkiraan....

Celoteh bersamanya begitu mengasyikkan walaupun baru pertama kali berkenalan.  Rupa-rupanya kami sama-sama merupakan pelajar aliran sains suatu ketika dahulu.  Menulis sendirian tanpa ada guru di sebelah.  Tidak ada garis panduan.  Ringkasnya......belasah sahaja!!!

Mengenang kembali minat yang lebih kurang sama menerusi pembacaan buku-buku misteri dan penyiasatan Nancy Drew dan Hardy Boys...... terasa ada persamaan yang ketara di antara kami.

Melihat kulit buku hasil karyanya "Romantika Hujan"....... dingin terasa.  Di luar hujan semakin lebat.  Salam tahniah sekali lagi.....  Anugerah yang Allah beri, diadun sebaik mungkin.  Dan kegigihan itu Allah bayar dengan terbitnya antologi puisi dan cerpen.  

Terima kasih sahabat.......
Moga terus cemerlang di bidang penulisan.
Salam untukmu di Negeri Di Bawah Bayu.




Sabtu, 14 November 2020

Mujahid Iman Syahadah

 


Kami berkenalan secara tak sengaja........ barangkali ini yang dinamakan jodoh, pertemuan, ajal, maut......... Allah yang Maha menentukan.  Tapi semua yang berlaku adalah sebenarnya atas aturan Dia.  Bukan sengaja atau tidak sengaja.

Sedap nama penanya.... Mujahid Iman Syahadah.  Melayang seketika ingatanku pada Dr. Mujahid Yusuf Rawa.  Ahli politik yang agak disegani, anak seorang ulamak.  Ayahnya ialah Ustaz Yusuf Rawa.   Tersimpan sejarahnya sebagai salah seorang pengasas Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang.  Berasal dari Rao, Sumatera barat, Indonesia.

Mujahid yang kukenal ini adalah anak muda yang katanya baru bertatih di arena penulisan.  Namun gaya bahasanya menunjukkan ada potensi untuk menempa nama suatu hari nanti.

Mengenali orangnya yang sentiasa merendah diri, bahasa yang sopan, beradab dan berakhlak.  Mudah-mudahan pakej ini terus mewarnai kehidupannya walau terpaksa meredah cabaran yang menggila.  Dalam dunia yang penuh dengan tipu daya, janganlah hendaknya anak ini tewas dan menyerah kalah.

Anakanda Mujahid......
 
Walau mungkin perjalanan hidupmu penuh onak, meninggalkan leluka yang berserakan,  kumpullah kekuatan dengan semangat membara.  Jangan dibiarkan pengalaman silam menghantui diri.  Menangisi peristiwa lalu, bukanlah jalan penyelesaian.  

Teruskan mencipta sejarah melalui hasil tulisanmu.  Jika itu menjadi asbab sahabat-sahabat 'non-muslim' mu makin beralih kepercayaan kepada Sang Pencipta.... alhamdulillah.  Syukur umi panjatkan.

"Laluan hidup ini jangan dibiarkan lapuk diketuk sengketa dan penderitaan.  Putus asa jangan diamalkan, kerana ia adalah bibit pertama dari satu kematian..." kata-kata yang pernah berkumandang dalam siaran radio yang sering ummi dengar suatu ketika dahulu.  Ambil dan simpanlah sebagai perangsang.

Jika benar-benar ingin menjadi penulis, pagar jiwa dengan keberanian.  Tegakkan yang haq.  Tolak semua kebatilan.  Berkat didikan yang kau peroleh sepanjang pengajianmu, in shaa Allah ia boleh menjadi benteng dalam kehidupan.

Bergantung haraplah pada-Nya seratus persen.  Usaha dengan sungguh-sungguh, istiqomah.  Akhiri dengan tawakkal.  Jangan lupa satu-satunya senjata orang mukmin......iaitu doa.

Pesanan akhir umi, teruskan usaha murni itu.  Sesungguhnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang.  Berlarilah di padang ini, dengan penuh kesabaran.  Mudah-mudahan engkau bisa mengutip mutiara kasih dan rahmat Allah.  
eeeeee0*-=

Kami masih seperti yang dulu

 


Lama tak jumpa.......

Sesekali Allah izinkan kita bersua untuk kesekian kalinya.  Dalam norma baharu.  Alhamdulillah, puji bagi-Nya.  Di atas nikmat pertemuan maya begini.

Pada Kak Nor, Kak Rasiah, Kak Fadz, Kak Parizah, Kak Asma, Siti dan Hidayah........ sekuntum rindu terlerai sudah,  Sama-sama kita memaknai sebuah persahabatan dalam suatu wadah perjuangan.  

Mengimbau 2015 yang lalu.... dengan sedikit kekuatan,  bermulanya terjah kita sambil melewati kampung-kampung yang ada.  Sambil berkenalan, menjalin ukhuwah dan menghulur salam buat mereka yang memerlukan.

Sejak itu kita tidak lagi menoleh ke belakang,  Sama-sama menghayun langkah.  Menjengah mereka yang dhaif, yang diuji dengan penyakit, juga mereka yang dihimpit kemiskinan.  Kita membantu sekadar apa yang ada.

Dari hanya bertiga, kita akhirnya memperoleh sahabat yang sehati sejiwa
menyuburkan bibit-bibit kasih sayang itu walaupun bilangannya tidak banyak.  Saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.  Alhamdulillah.

Tak lupa pada Za yang tak pernah mengenal erti lelah.  Antara insan terawal yang tak pernah menolak untuk diajak sama bergerak.  Dia turut aktif menyertai pertubuhan NGO lain, yang kerap turun padang menyampaikan sumbangan.

Walaupun pandemik covid19 telah mewarnai kehidupan kita di saat ini, dengan pergerakan sedikit terbatas...... ada wakil yang tetap menyantuni mereka yang ditimpa musibah.  In shaa Allah, apa yang ada kami kongsikan bersama.

Isnin, 9 November 2020

2020

Syukur alhamdulillah........sampai juga kita di takah ini.  Tahun 2020.  Dulu pernah disebut WAWASAN 2020. 

Pengalaman dan sejarah terukir.  Siapa sangka kita berhadapan dengan ujian getir.  Di situ kita berkenalan dengan covid19, PKP, PKPB, pelbagai jenis kluster dan istilah-istilah perubatan.....

Belajar dengan Norma Baharu.  Guna GC, secara dalam talian atau 'online'.  Semuanya demi kelangsungan pendidikan.

Dan seperkara lagi..... ramai diberhentikan kerja.  Hingga terserlahnya insan-insan yang bermurah hati, bersimpati dengan nasib yang menimpa rakyat marhaen.  Tak kurang juga yang menidakkan dan memperlekeh keikhlasan insan yang sudi membantu.  Hingga mempersoalkan dari mana mendapat wang atau dana????

Manusia apakah itu.....cuba mendahului rancangan Tuhan!!!  Rezeki orang boleh pula disangsikan.  Sebenarnya siapa yang memberi rezeki???  Justeru, selidik dahulu sebelum menerjah sesuka hati.  Siasat dulu bagaimana terserlahnya rezeki mereka yang begitu banyak.

Bukankah ..."Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti akan Kutambah nikmat kepadamu, dan jika kamu kufur (mengingkari nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih."  Inilah kalam Allah di dalam Quran Al Karim.  

Di tahun ini jugalah, orang-orang yang menang diturunkan.  Dan mereka yang tewas memegang tampuk kuasa.  Tak sabarnya menunggu lima tahun.....  Kebobrokan apakah ini.  

Allahurobbi......golongan Ruwaibidhah makin menyerlah.  Tanda-tanda akhir zaman tampak kelihatan.  Jelas sejelas-jelasnya.  Apakah perlu yang terang lagi hendak disuluh????  

2020 yang ditunggu-tunggu........ begini hadirnya.  Begitulah dirancang.  Begitu manusia merancang.  Dengan hebatnya merancang.  Tapi lupakah ada lagi kuasa Yang Maha Hebat juga merancang?  Hingga tak upaya dan hilang upaya menahannya.

Hanya sedikit sahaja kita dijentik...... satu dunia terancam adanya.  WAWASAN 2020 hilang dari pandangan.......


  

Jumaat, 6 November 2020

TAM TAM

 Usai menghantar ringkasan mengajar di pejabat, aku bergegas menuju ke kereta.  Lantas menghidupkan enjinnya.  Di belakangku kereta Atika, belum lagi selesai urusannya di pejabat.  Aku terus menuju ke kelas dengan tujuan mengemas barang-barang yang bakal kubawa pulang.

Apabila aku melihat Atika telah selesai mengundurkan keretanya, giliran aku pula mengalihkan kereta.  Sebaik-baik kereta diundur, terasa bagaikan aku terlanggar sesuatu.  

Tiba-tiba .... jeritan Zack memecah suasana.

" Kak Ida langgar kucing...!!! "  jelas sekali kudengar.  Namun dari dalam kereta, aku tidak nampak pun kucing yang dimaksudkan oleh Zack itu.  Perlahan-lahan aku terus berundur dan mengambil posisi baru di sebelah kereta Atika.

Aku matikan enjin.  Segera bergegas melihat apa yang terjadi.  Tak terkata apa-apa.  Apa yang kudapati adalah kucing hitam itu bernafas turun naik.  Syahmi, anak Za dengan beraninya telah meletakkan Tam Tam di atas bangku batu di tepi bangunan kelas PPKI.

Memang aku perasan Tam Tam kelihatan agak tdak bermaya dua tiga hari kebelakangan ini.  Kucing itulah yang sering kelihatan bersama-sama Balqis, Rina, Syahmi dan Danish. Kadang-kadang Aqeef dan Aisy pun ada sekali.  Masih kuingat lagi...... waktu itu Tam Tam kelihatan lincah berlari ke sana ke mari.  Apabila dibelai oleh Balqis, anak ustazah Ju..... berkeliling mereka menyaksikan gelagat Tam Tam.

Kadang-kadang berlari dihambat mereka beramai-ramai sekadar suka-suka bermain bersama-sama.  Betapa kasihnya mereka kepada Tam Tam, walaupun kelihatannya hitam berkilat.  Itulah satu-satunya kucing di kawasan sekolah yang berwarna sedemikian.  Manja di tangan budak-budak itu.

Kekadang jika aku terserempak dengan si hitam itu, kerapkali aku menegurnya dengan panggilan ' Cik Tam '.  Teringat pula di rumahku juga banyak haiwan kesayangan Rasulullah ini.  Pelbagai nama diberi oleh anak-anakku.  Mama Junior dengan dua ekor anaknya Blues dan Comot.  Kak Kabu dengan tiga ekor anak kecil.  Tikus dan Kelet yang kadang-kaang kupanggil 'pakcik'.  Makcik Siam bersama tiga ekor anak kecil yang seringkali menumpang makan di rumah.  Betapa ramai rakyat jelata itu menghiasi kawasan rumahku.

Dan sejak sekolah dibuka selepas cuti pkp........ haiwan seperti ini kelihatan berkeliaran di perkarangan sekolah.  Dan Nurin, yang merupakan juruteknik komputer sekolah sering kelihatan memberikan makanan kepada makhluk ini.  Moga dimurahkan rezeki Nurin yang amat mengasihi warga baru SKL ini.

Berbalik pada kisah Tam Tam tadi....... kelihatan badannya berombak.  Terjelepuk di atas bangku batu.  Berkerumun anak-anak menyaksikannya.  Tidak ada setitik darah pun kelihatan di badannya.  Zack memaklumkan bahawa aku terlanggar bahagian badannya.  Yardh yang telah lama berada di dalam kereta turut keluar melihat keadaan.  Seakan kesedihan menguasai suasana.

Apa lagi yang mampu kami lakukan.  Sekadar merenung ke arah makhluk yang tidak berdosa itu.  Dan akhirnya ia terjatuh dari bangku itu ......terbaring di lantai.  Bagaikan menunggu kehabisan sisa-sisa nyawanya.  Barangkali di sisi kami malaikat maut telah bersedia menjalankan tugasnya.

Aku terus melangkah ke kelas.  Mengemas, menyusun beg dan barang untuk dibawa pulang.  Petang itu aku ada janjitemu dengan doktor gigi.  Ya Allah....... kupohonkan keampunan-Mu.  Sesungguhnya perancangan-Mu adalah yang terbaik.   

Rupa-rupanya setelah enjin kereta kuhidupkan, Tam Tam mungkin masih berada di bawah keretaku.  Sedangkan kebiasaannya apabila berlaku keadaan begitu, kucing-kucing akan segera beredar kerana menyedari bahawa kenderaan akan bergerak.  Tapi itulah yang telah termaktub dalam tragedi tengah hari Khamis itu.  

Dua hari berturut-turut aku memakir kereta di luar pagar sekolah, tiada apa yang berlaku.  Tiba-tiba hari bertuah itu aku meletakkan kereta di dalam kawasan sekolah.......kejadian yang tidak diingini itu pula terjadi.  

Teringat kata-kata Ina K, " Selalunya masa Tam Tam sihat, ia tidur di atas kerusi dalam kelas 4 Sina" .   

Dan selepas ini kucing hitam itu tidak akan ada lagi bermesra bersama anak-anak rakanku.  Barangkali masih ada penggantikah Tam Tam yang baru?








Isnin, 2 November 2020

POPULARNYA KAMPUNGKU.....

Singgah sekejap......... kami berempat sempat menziarahi adik di 'smkbase' dalam perjalanan balik kampung di Batu  Gajah.  Lewat pertemuan itu, kami bersarapan bersama-sama.  Lama tak jumpa adik, akibat kuarantin yang mencecah 14 hari.

Terkurung dua minggu dengan gelang merah jambu di tangan.  Tiga kali abang polis datang menjenguk.  Begitulah rutin mereka menjejak kami yang terbabit.  Kami orang yang tidak bersalah....tetapi salah di mata orang kampung dan jiran tetangga.  

Sesekali aku melayan perasaan yang berat menyatakan bahawa mereka-mereka ini adalah tergolong dalam kalangan orang yang 'bodoh sombong'.  Memang pun......  Sudahlah tidak tahu banyak perkara tentang covid 19, tidak pula mahu bertanya. Malah lebih mendukacitakan lagi, mereka beranggapan bahawa orang yang bergelang merah jambu ini bersalah besar.

Bagaikan kami ini pembawa kuman yang bakal menjangkiti mereka.  Fikiranku mula menerawang pada cerita 'zombi' yang menjadi kesukaan anak-anak.  Pernah aku dipelawa... "Umi...umi nak tengok cerita zombi, tak? " .   Demi melayan mereka, aku pun duduk sama mengadap televisyen.  

Setelah lama bersama anak-anak...... sekelumit rasa takut pun tidak melekat padaku.  Tak heran pun.....  Akhirnya aku bingkas bangun meninggalkan mereka.  Tak masuk akal pun ceritanya.  Entahlah....tak berminat pun aku mengikutinya.  Buang masa rasanya.  

Mungkin begitu agaknya anggapan sebilangan besar mereka yang berfikiran dangkal tentang covid19 ini.  Mangsa covid 19 akan bangun dengan rupa yang menakutkan.  Mengejar mereka secara berjemaah.  Dan apabila mendekati mereka, kami akan menjangkitkan virus covid 19.  Dan akhirnya semua akan menjadi zombi........ 

Kah...kah....kah....Terasa nak ketawa pun ada.........

Walaupun kami disahkan negatif setelah menjalani ujian calitan, namun mata mereka telah dikelabui dengan gelang merah jambu itu.  Masing-masing terpenjara dengan kebodohan sendiri.  

Mahu kukhabarkan kepada mereka ini bahawa gelang begini bukan kami sahaja yang memakainya, malah Pak Menteri pun ada.  Bukan kami sahaja yang dikuarantin, malah sultan dan agung pun pernah dikuarantin sama.   Apakah kami ini semua orang salah?  Orang jijik?  Zombi yang ditakuti????????

Mengenangkan pengalaman rakan-rakan...... rasa kasihanku menebal.  Kasihan pada kawan-kawan yang 'terasa hati' seolah-olah dipulau.  Mana tidaknya ......dalam group whatsapp taman pun diceritakan ketakutan orang taman.  Ketidak tentuan arah hendak dituju, bagi mengelakkan daripada bertemu insan bergelang merah jambu.  Bagai mengalahkan ternampak ' Hantu Kak Limah' lagaknya.  Amat berjaga-jaga mereka.  Bimbang bertemu si gelang 'pink'.

Ada yang siap 'warning' pada jiran lain....."Berhati-hati dengan rumah nombor 200 ".   Allahu Robbi......    Kebodohan apakah ini????  Ketakutan yang menggila menyerang taman dan kampung kami!!!   Betapa hebatnya covid19 itu, sehinggakan mereka lupa bahawa ada satu kuasa lebih hebat dari segala-galanya.

Aku bersyukur kerana tidak sampai ke telingaku cerita-cerita tetangga yang ketakutan atau haru birunya mereka berdepan dengan 'kluster Lekir'.  Namun jauh di sudut hatiku, rasa kasihan dan empati bertenggek di ruang hati.  Kisah rakan sekerja yang terpaksa melalui detik-detik yang tidak pernah tergambar dalam sejarah hidup ini.

Lebih hebat lagi apabila disebut sahaja 'LEKIR' .......... ada unsur takut menyelimuti nubari mereka yang tidak mengerti.  Jangan pergi ke Lekir. Jangan rapat atau dekati orang Lekir.   Sesekali terasa bagaikan mahu ketawa gelihati memikirkan semua ini.  Apa kaitannya insan gelang merah jambu ini dengan covid 19?  Sudahlah disahkan negatif.  Masih lagi mereka takut.  

Akhirnya kawasan Lekir ini menjadi popular kerana pandemik covid 19, bukan popular kerana 'Hang Lekir'.  Sejarah ' Kluster Lekir ' membuka ruang luas untuk nama Lekir megah seantero Malaysia.  Tahniah warga Lekir, bangga dan bersyukurnya aku menjadi sebahagian warga LEKIR  yang lebih mesra dikenali dengan sebutan LEKIYOUR......

.........kita sama-sama berada di sini..... yang dahulunya disebut WAWASAN 2020
....tersenyum aku sendirian

Terima kasih Ya Allah, mengabulkan doa kami, menyelamatkan kami serta melindungi kami daripada ketakutan yang menggila.