Memaparkan catatan dengan label ANAK-ANAK PEMULIHAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ANAK-ANAK PEMULIHAN. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Jun 2022

JAH

 AKU tiba-tiba teringat kepadanya. Usianya sebaya dengan anak bongsuku. Bagaimanakah keadaannya sekarang? 

    Pertama kali menjejak kaki di tahun satu, kami kurang mengenali siapakah mereka. Kekadang apabila nama dipanggil pun, ada yang tidak menyahut. Diam membatu. Apabila diselidiki, barulah kami tahu ada  panggilan lain yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka di rumah. Patutlah tidak menyahut langsung.

    Kelakar sungguh anak-anak tahun satu. Bagi yang sudah biasa bersekolah tadika, mungkin mudah bagi guru berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka. Bagi yang tiada pengalaman itu, mungkin mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan guru dan kawan-kawan. Pendek kata siapa pun mereka, cikgu-cikgu yang mengajar tahun satu sudah lali dengan perangai anak kecil ini.

    Jah yang dapat dikesan pencapaian IQ yang agak rendah, akhirnya ditempatkan di PPKI. Itupun setelah menjadi muridku selama setahun. Kelihatan seringkali duduk di bangku batu di hadapan kelasku. Aku pula kerap menegurnya dengan ucapan salam. Namun untuk mendengar suaranya adalah sia-sia. Tidak pernah sekali pun dia menjawab salamku.

    Aku tidak pernah berkecil hati dengan sikapnya itu. Ibunya pernah menceritakan perihalnya ketika berada di rumah. Mulutnya akan lincah berbicara. Riuh bunyinya, sesekali memarahi adiknya. Namun suaranya itu terkunci tiba-tiba bila mana dia memasuki pintu pagar sekolah. Memang benar kata-kata ibunya itu. Terlalu sukar untuk mendengar suaranya ketika sesi PdP berlangsung. Namun dia boleh menyalin, cumanya tulisannya tidak kemas.

    Seingat aku, Jah berhenti sekolah awal. Rupa-rupanya dia tidak mahu ke sekolah di penghujung sekolah rendah di aliran PPKI. Kini usianya mencapai 19 tahun. Apakah yang dilakukannya sekarang? Anakku masih lagi berhempas pulas belajar, menadah ilmu yang diminatinya. Jah yang pernah sekelas dengannya telah lama meninggalkan alam persekolahan. 

    Moga Allah permudahkan urusanmu, Jah. Bilakah agaknya kita dapat bersua kembali? Hampir setahun ucapan salamku tidak bersambut.....tidak mengapa.  

Isnin, 23 November 2020

BELAJAR TETAP BELAJAR


 Apa khabar anak-anak semuanya, di waktu PKPB ini?

Kenangan bersama kalian untuk tahun 2020 ini terasa amat singkat sekali.  Tahun ini mencatat sejarah yang tak mungkin hilang dari ingatan. 

Tak siapa menyangka, tak siapa menduga, tahun yang bilangan hari belajar di sekolah paling sedikit. Dan kita akhirnya akur untuk mengikuti pembelajaran berbeda dari yang dulu.

Selesai PKP, kita mula menyambung persekolahan dalam suasana norma baharu.  Itupun tidak semua yang hadir mengikut ketetapan yang dimaklumkan.  Barangkali ada dalam kalangan penjaga yang masih diburu ketakutan.  


Dalam kita berjaga-jaga itu......... Kluster Lekir pula wujud.  Dan kita terpaksa akur bila mana sekolah terpaksa ditutup.  Dua minggu kita patuhi untuk tidak hadir ke sekolah.  Berkuarantinlah selama dua minggu itu.  Menanti kehadiran Pak Polisi!!! 

Ada yang merasai 'nikmat bergelang merah jambu' ......... sama ada guru mahupun murid-murid.  Kita sama-sama melalui detik-detik tersebut dengan penuh redho.  Menerima ketentuan Allah dengan penuh pasrah.  Dan akhirnya kita menang.  Syukur Alhamdulillah.

Kehadiran kian merosot bila mana sesi persekolahan mula dibuka.  Kerisauan yang terbit di hati para penjaga menjadikan keadaan kelas-kelas begitu lengang.  Pendek kata, kehadiran murid jatuh mendadak.

Murid kelasku sering tidak hadir ke sekolah.  Apabila melintasi kelas-kelas di mana anak muridku berada....... aku seringkali hampa.  Kelibat mereka tiada.  "Tak datang, cikgu...." ujar rakan sekelas mereka.  

Dengan jawapan itu, aku melangkah longlai ke kelasku.  Walaupun tiada sesi PdP, tugasan lain memang sedia menanti.  Fail perlu dicapai, disemak, dan data sentiasa mesti dikemaskini. Kedai buku tetap diurus juga.  Aku sentiasa menanti kehadiran pelanggan yang pelbagai ragam. 

"Hutang boleh, cikgu?"  tanya sesetengah pelangganku yang tidak cukup duit, tetapi terpaksa juga membeli alat tulis atau buku yang mungkin telah habis digunakan.

" Ok.......nanti cikgu tulis nama kamu di 'whiteboard', "  lantas pen marker hitam, merah ataupun biru menari-nari mencatat nama, nama kelas dan nilai hutang tersebut.  Mata mereka memerhati jemariku lincah mencatat.

" Esok saya bayar.... " ujar mereka selamba.

"Esok cikgu tak datang sekolah.  Kamu datanglah sorang......  Esokkan cuti," sambungku 

"Owh....okey cikgu.  Isnin saya bayar....."  ucapnya penuh yakin.

"Cakaplah in shaa Allah....." kuingatkan mereka.

Begitulah rutin harianku.  Kekadang ada sahaja rakan sekerja yang bermurah hati tolong melangsaikan hutang yang tercatat di papan putih itu.  Aku pun turut berebut peluang keemasan itu.  Bagi yang memang mengingati hutang mereka, di pertengahan jalan pun akan menahanku untuk melunaskan hutang tersebut.  

Dan kini...... anak-anak pemulihanku belajar di rumah bersama keluarga.  Tugasan tetap kuberi mengikut tahap penguasaan masing-masing.  Dan laporan tetap akan dibuat sebelum jam 4.00 petang.  Mereka mungkin dibantu oleh ayah,ibu, abang ataupun kakak.  Atau barangkali terkial-kial belajar sendirian.  Wallahuálam.

Sebaris doa tetap kuungkap buat semua yang cikgu kasih........
Cikgu hanya membantu dari sini.  Selebihnya bimbingan amat perlu daripada keluarga.  
Usaha sudah semestinya.  Doa adalah senjata.  Dan yang menentukan hanya DIA.



Jumaat, 27 Mac 2020

APA KHABAR SEMUA?

Apa khabar anak-anak? 
Agak lama bercuti....bermakna lamalah juga kita tidak bersua.

Bagi yang berada, bolehlah belajar melalui komputer.  Kalau ada internet...

Melalui telefon bimbit pun boleh,jika ada data.  Kemudahan begitu untuk yang berkemampuan.  Manfaatkan dengan cara yang betul.

Namun bagi mereka yang dhaif, serba kekurangan..... cikgu tidak memaksa kepada semua itu.  Cukup sekadar buku-buku sekolah yang ada.  Jawablah latihan yang ada di dalamnya.  

Bagi anak-anak didik cikgu yang belum mahir.....mohonlah bimbingan ibu, ayah, abang atau kakak yang ada di rumah tu.  Sedikit pun cukuplah dalam sehari.  Bak pepatah ....sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Teruslah istiqomah ataupun berterusan mengamalkannya.  Baca dan ulang semula.  Jangan jemu ya.  Amat cikgu harapkan agar tidak meninggalkannya terus.  Peruntukkanlah masa untuk membaca, walaupun sedikit tapi berterusan.  Luangkan juga masa untuk menjawab latihan bertulis dan mengira.

Waktu lapang yang lain boleh diisi dengan bermain, namun begitu carilah yang sesuai.  Yang boleh dilakukan di dalam rumah bersama adik beradik yang lain.  Tidak ada telefon bimbit ataupun permainan menggunakan komputer..... tidak bermakna kita tidak boleh bermain.

Anak-anak yang kreatif masih boleh bermain selambut atau seremban. Sambil bermain, boleh belajar mengira.  Kalau tidakpun bermain congkak, kemahiran mengira ada di situ juga. 

Adanya sahibba, monopoli,dam ular,dam haji..... yang kini dilupakan.  Main ramai-ramai seisi keluarga sambil mengeratkan tali kekeluargaan yang kian renggang disebabkan dunia siber di zaman serba canggih ini!

Bagi kakak dan abang yang boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik.......saat-saat beginilah adik-adik yang belum menguasai itu memerlukan khidmat anda. Tapi jika tiada adik-beradik lain, ibu dan ayahlah menjadi harapan untuk mencorakkan mereka.

Peluang terbuka luas bila mana kita diarahkan "Stay At Home".  Ia bukan bermakna makan, tidur, masak dan masak dan masak lagi.....dan makan, makan, dan makan lagi.  
Atau bergayut di telefon bimbit.....komputer, 'games', kaca tv.

Hubungan kita dengan Allah perlu ditingkatkan.  Sebelum ini kita sering menyebut "tak cukup masa", "sibuk", "tak sempat ", dan pelbagai alasan lagi.  Tapi sekarang Allah sudah berikan kita banyak masa di rumah.  Berbeza dengan barisan 'frontliners' di sana!!!

Jadi, bolehlah kita isikan bersama anak-anak dan keluarga.  Ayah yang tidak dapat ke masjid atau surau digantikan dengan menjadi imam di rumah.  Abang-abang yang dewasa pun boleh silih berganti memegang jawatan itu.  Kan bagus...

Benarlah, di sebalik ujian Allah ini.....jika dimanfaatkan sungguh-sungguh.... memberi impak besar terhadap memulihkan cara hidup kita yang sekian lama lari dari relnya.

Masih ada ruang untuk kita perbetulkan kesilapan yang ada.  Ataupun kita membuat penambahbaikan terhadap jadual hidup kita seharian.

Janganlah masa yang berharga ini kita sia-siakan begitu sahaja.  Fikirkan yang positif, sambil mendoakan yang positif juga buat mereka yang kini berada di barisan hadapan dalam menangani covid 19.

Doa itu adalah senjata orang mukmin.
Jom kita saling mendoakan buat semua, tanpa mengira apa bangsa sekalipun, apa negara sekalipun.

Buat anak didik yang dikasihi..... semoga Allah melindungi anda semua.  In shaa Allah, panjang umur murah rezeki....kita jumpa nanti di sekolah.  Semoga keadaan segera pulih seperti sediakala.



Salam sayang dari cikgu....
10.12 pagi
ktb7 lekir

Jumaat, 23 Februari 2018

ADUH KASIHAN.......

Tahun-tahun sebelum ini tak pernah pun jumpa anak murid sebegini rupa....

Agak mencabar tahun 2018 ini pabila aku diketemukan dengan anak yatim yang tidak pernah ke prasekolah atau ringkasnya TADIKA atau TABIKA.  Tahun lepas dia berada di tahun satu.  Setahun cikgu-cikgu tahun satu mengajarnya.  Lebih-lebih lagi guru kelasnya.  Tahniah buat cikgu tersebut di atas susah payahnya, kesabarannya dan kekuatannya dalam mendidik anak ini.

Dan aku turut mengiakan......betapa sukarnya membimbing anak ini.  Wajahnya kelihatan agak suram, namun kekadang terselit sedikit keceriaan.  Padaku tiada syarat untuk menolak kemasukan anak ini ke kelasku.  Memang amat-amat layak dan dialu-alukan kehadirannya.

Masih tiada satupun konstruk Literasi dan Numerasi yang dikuasainya....... hingga ke saat ni.  Vokal pun sukar untuk diingat.....hanya 'o' sahaja yang paling lekat di hatinya.  Bila diuji secara rawak.....'o' itu pasti betul!!!

Bila menulis huruf ' a' stail comic sense...... acapkali huruf ini akan terbalik jadinya.  Hinggakan aku terpaksa memegang tangannya waktu dia menulis.  Hinggakan kekadang enam tujuh kali terpadam-padam tulisan yang silap itu.  

Hanya kekadang sahaja betul huruf itu ditulisnya.  Dan selebihnya terpaksa dipadam.  Dan aku terpaksa memegang tangannya bagi membetulkan hala tulisan yang terbalik itu.  Rasanya aku terpaksa 'study' banyak tentang perkara ini.  Mencari solusi bagi menyelesaikan yang masih belum selesai.  Kasihan sungguh..... huruf pertama dah sangkut.

Bila diteliti......ada huruf lain yang boleh ditulis walaupun kurang cantik..... Dan ada juga huruf ditulis itu tidak masuk ruangan yang diperuntukkan bagi huruf berkenaan.  Kekadang melebihi garisan, ada kalanya pula ditulis terbalik.  Masalah tulisan turun naik.....aduhai.....

Cuma ada sedikit tingkah lakunya yang mencuit naluriku.....  Sebelum meninggalkan kelas pasti perkataan itu akan diucapkan untukku....bunyi lidahnya agak pendek tetapi jelas bagiku... "Terima kasih belajar saya cikgu.."    Terkesima aku jadinya.  Aku faham makna di sebalik kata-katanya itu....perkataan 'mengajar' sepatutnya menggantikan 'belajar'.  

Kekadang dia yang menyorongkan kerusi kawan-kawannya ke meja tanpa disuruh.  
Allahurobbi..... aku perlu buat sesuatu bagi membantunya.  Sesukar manapun membimbingnya, aku akan cuba.  Dapat atau tidak.... itu bukan urusan aku.  Yang penting usaha dan doa buat anak ini.  Yang dalam usia muda ditinggalkan ayah.  Dan berteduh penuh di bawah kasih seorang nenek yang amat bertanggungjawab dan pengasih.

In shaa Allah.... cikgu akan cuba......
Aku mohon bantuan-Mu Ya Rabb.




Isnin, 30 Mei 2016

ADUH KASIHAN

Usai berdoa, kami memulakan pelajaran.  Tiga orang saja yang hadir hari ini.  Hatta kalau hanya seorang pun yang hadir, in shaa Allah aku akan teruskan juga.

Jadual kelas bermula jam 9.00 pagi dan berakhir jam 12.00 tengah hari.  Dua subjek sekaligus dalam tempoh 3 jam itu.  Agak sukar mengajar subjek Matematik berbanding dengan Bahasa Melayu.

Mengajar mereka bertiga dalam suasana santai, saling membantu dan memperbetulkan kesilapan kawan.  Teknik rakan sebaya kusemaikan kepada mereka.  Agar mereka tahu bahawa ilmu yang ada perlu dikongsi bersama.  Seterusnya manfaatnya juga diperoleh bersama.

Selesai kelas tambahan, aku menghantar Aishah pulang.  Semasa Aishah mahu menjejak kaki ke keretaku, Rizqan sempat bertanya perlahan kepadanya...... "Cikgu ni mak Aishah ke?".  Soalan itu jelas kudengar.

Walaupun tidak berbalas, Rizqan tetap tersenyum sambil mengunyah pisang goreng yang dibekalkan oleh ibunya.  Dia menunggu kakaknya yang bakal menjemputnya pulang.

Dan lewat petang tadi, ketika aku menemani anak bongsuku mencari barang keperluan asramanya di bandar.........  aku terpandang pakaian raya yang bergantungan.  Cantik-cantik belaka.  Walaupun Ramadhan belum menjelang.... keperluan hari raya sudah mewarnai pusat pakaian dan beli belah. 

Tiba-tiba aku teringat pada Aishah dan Rizqan....... lebih-lebih lagi pada Rizqan....  Semasa di kelas tadi tak habis-habis dia memuji kasut yang dipakai oleh Umar.......

 

Jumaat, 27 Mei 2016

RAGAM SEBELUM CUTI

Aishah kelihatan terkebil-kebil sendirian.  Memerah otak membina ayat mudah.  Lama kujeling.  Memerhati gelagatnya.  Sementara menyudahkan semakan terakhir hasil tulisan Rizqan, aku terdengar ...... "Ni macam mana, cikgu....." merayu bunyi suaranya.
  
Fathul di sebelah kiri juga memerlukan bantuan.  Dia kelihatan gelisah sambil bangun menyandar di dinding dengan wajah agak mencuka.  Di hadapanku Aishah yang duduk di baris yang kedua.  Memanggilku sedari tadi.  Mengharapkan pertolongan.  

Walaupun tidak ramai dalam kelas itu, agak sukar mengajar mereka tambahan pada aras pencapaian yang berbeza. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan kemahiran baru yang diketengahkan.  Benar-benar menguji kesabaran.

Rizqan bangga bergaya.  Orang pertama berjaya menyudahkan tugas yang diamanahkan. Umar Khalid jarang nak bertanya, ikut suka hati membuat kerja sendiri-sendiri.  Boleh membaca, tapi bila membuat kerja-kerja bertulis...... dialah yang paling lambat, ditambah lagi dengan tulisan yang paling menyeksa mata bila melihatnya.

Faziatul Hana yang duduk di hadapanku sering tidak hadir.  Namun cepat dapat apa yang diajar.  Tulisan pun boleh tahan kemasnya.  Manakala Najmi kuberikan kerja yang jauh lebih mudah memandangkan banyak lagi huruf yang belum dikenalinya.

Usai membantu Fathul, aku mendekati Aishah.  Membantunya serba ringkas.  Selebihnya atas usahanya sendiri.  Dan akhirnya...... siap juga kerja yang diberi.  Seorang demi seorang meninggalkan kelas setelah tamat waktu Bahasa Melayu.  Dan peserta akhir keluar dari kelasku ialah Umar.  Puas hati sangat mengajar hari ini.

Malangnya Faris tidak hadir.  Dalam minggu ini sahaja rasanya dua kali dia tidak hadir ke sekolah.  Sepanjang yang aku ingat setiap minggu pasti tak penuh lima hari.  Apalah pula masalah yang dihadapi yang seorang ini......anak yang dipelihara oleh ibu dan bapa saudara.......

Soalan cepu emas untukku hari ini ialah..... "Esok cuti ke cikgu?" dan " Pukul berapa kelas tambahan, cikgu? ".   Tiada pula yang minta kerja sekolah nampaknya hari ini.

Sabtu, 23 April 2016

FATHUL ISLAM....

Sebaik-baik masuk ke kelas selepas bacaan Yaasin di tapak perhimpunan pagi Jumaat lalu....  kulihat wajahnya murung.  Jauh berbeza dengan rakan-rakannya yang lain.

"Kenapa Fathul...... tak sihat ke?" dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.  

"Gaduh dengan kawan?" aku meneka dalam kesamaran.  Dia menggeleng lagi.

"Pasal Cikgu Azrina nak tukar sekolah ke?" aku cuba mengagak.  Dia mengangguk lesu. Tepat sekali!  

"Cikgu Noor Azrina ada ajar kamu, ke?" soalku.  Dia menggeleng.

"Cikgu tu mak angkat kamu ke, Fathul?" bertalu soalan kutuju kepadanya.  Dia menggeleng juga.

"Bukan cikgu...... Cikgu Azrina ajar pengakap..." jelas Umar Khalid kepadaku.

"Öh, begitu...... " ujarku sepatah.

Memang menarik tika cikgu itu menyampaikan pengajarannya walaupun hanya untuk sejam waktu kokurikulum bersama tahun tiga di makmal komputer.  Kebetulan waktu itu aku turut sama berada di makmal tersebut.  Barangkali itu yang menyebabkan Fathul tertarik hati.

Walaupun bukan guru mengajar subjek utama di kelas Fathul, daya tarikannya pasti ada hingga membuatkan anak ini kelihatan bersedih hati.  Dalam situasi bertemu dua minggu sekali, dan rasanya baru beberapa kali sahaja bersua...... hatinya terpikat dengan penyampaian guru itu.  

Aku kenal sangat Cikgu Noor Azrina.  Suaranya jelas dan nyaring bila berhadapan dengan anak didik.  Malah suara nyaringnya seringkali menerobos gegendangku tatkala aku bertugas di kedai buku.  Kelihatan garang....... segarang suaranya.  Beberapa pintu kelas pasti terdengar suaranya semasa PdP berlangsung.  Amat mengambil berat dan menjaga makmal komputer yang diamanahkan kepadanya.  Begitu sikap guru ICT kami.

Mungkin ada yang takut kepadanya, tak kurang juga yang suka kepadanya.  Tatkala beliau membuat ucapan terakhir di perhimpunan pagi itu...... ada beberapa murid yang kelihatan sugul, malah ada juga yang kulihat menahan air mata dari terus tumpah.  Merah mata dan hidung......... menahan sebak di dada......

Begitulah....... perginya seorang guru membawa kenangan manis.  Istimewanya seorang guru itu tidak sama di pandangan mata muridnya.  Barangkali mungkin akan tetap segar di ingatan, lebih-lebih lagi tika menyambut 16 Mei.......






Isnin, 24 Ogos 2015

RAJA TIDUR.....

Namanya cantik.....................  Fathul Islam.  Muka cute. ......hensem!  Malangnya muridku yang seorang ini kerap lena dalam kelas.  Namun begitu sejak kebelakangan ini, dia kelihatan riang dan rajin mencuba. Tidur di dalam kelas pun jarang nampaknya. 

Sejak awal kemasukannya di kelasku pada pertengahan tahun lalu, hanya beberapa huruf yang dia kenal.  Alhamdulillah, kini hampir mengenali kesemuanya.  Aku harus bekerja keras membantunya........  dan mungkin usahaku bertemu bondanya hari itu dan mengadu hal tentangnya memberi respon positif!  Syukur sangat-sangat.....

Fathul begitu sukar mengenal huruf pertama iaitu 'a '.  Rasa pelik pula, kerana sepanjang pengalamanku memegang kelas pemulihan........   huruf ini semua murid kenal.  Ia merupakan abjad pertama.  Yang pertama melekat di hati dan minda anak-anak.  Tapi berbeda dengan Fathul.  Latih tubi dengan menulisnya berulang, tidak menyelesaikan masalah.  Hinggakan suatu hari aku menulis huruf berkenaan dengan jari telunjukku di belakang badannya.

Apabila kuminta dia menulis semula dengan jarinya di atas lantai,  dia berjaya melakukannya.  Dan sejak itu dia mula kenal 'a'. Dan sekarang bila aku mengujinya, dia tahu yang mana satu huruf tersebut.

Hanya beberapa huruf sahaja lagi perlu dikenalnya, sementara itu aku terus memperkenalkannya dengan beberapa perkataan mudah........  moga Allah membantuku, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Penyayang.  Terima kasih Ya Rabb...


Sabtu, 22 Ogos 2015

TERIMA TANPA SYARAT

Aku melihat Najmi membelek-belek buku itu ......  sehelai demi sehelai di buka lembarannya.  Barangkali gambarnya yang cantik memukau hatinya.  Mulutnya becok berbicara sambil jemarinya menunjukkan gambar-gambar yang ada di dalam buku tersebut kepada kawan-kawannya.  Wajahnya penuh ceria.

Namun di sebalik semua itu, hanya aku dan beberapa orang rakannya yang memahami siapa dirinya.  Dalam usia lapan tahun itu....... masih banyak huruf konsonan yang belum dikuasainya.  Sedangkan anak seusia dengannya ramai yang telah boleh membaca dengan lancar.  Mungkin juga ada yang agak lambat, membaca merangkak-rangkak.  

Tapi Najmi.........  anak yang pernah berada di sekolah tadika, yang pernah sama-sama dibimbing semasa usianya enam tahun ...... hingga ke saat ini berupaya mengingat dan mengenal sepuluh huruf sahaja!

Berkali-kali aku membantunya, memberinya latih tubi.....  tapi sayang.  Huruf baru, dia ingat, tapi huruf yang lama hilang pula dari kotak fikirannya.  Huruf yang benar-benar melekat di hati dan fikirannya buat masa sekarang ialah vokal a, e ,o dan konsonan c, g, k, l, m, w, x........  Sebelum itu dia kenal vokal  a, e, i, o, u dan konsonan c, d, f, p, s....

Aku jadi letih bila mengenangkannya!  Tapi pengalaman berkursus dulu membuatkan aku boleh menerima Najmi seadanya......  tanpa syarat.  Aku belajar untuk menghargai siapa dia.  Insan yang begitu payah untuk mengingat.....  tapi begitu pemurah dalam membantu.