Sebaik-baik masuk ke kelas selepas bacaan Yaasin di tapak perhimpunan pagi Jumaat lalu.... kulihat wajahnya murung. Jauh berbeza dengan rakan-rakannya yang lain.
"Kenapa Fathul...... tak sihat ke?" dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.
"Gaduh dengan kawan?" aku meneka dalam kesamaran. Dia menggeleng lagi.
"Pasal Cikgu Azrina nak tukar sekolah ke?" aku cuba mengagak. Dia mengangguk lesu. Tepat sekali!
"Cikgu Noor Azrina ada ajar kamu, ke?" soalku. Dia menggeleng.
"Cikgu tu mak angkat kamu ke, Fathul?" bertalu soalan kutuju kepadanya. Dia menggeleng juga.
"Bukan cikgu...... Cikgu Azrina ajar pengakap..." jelas Umar Khalid kepadaku.
"Öh, begitu...... " ujarku sepatah.
Memang menarik tika cikgu itu menyampaikan pengajarannya walaupun hanya untuk sejam waktu kokurikulum bersama tahun tiga di makmal komputer. Kebetulan waktu itu aku turut sama berada di makmal tersebut. Barangkali itu yang menyebabkan Fathul tertarik hati.
Walaupun bukan guru mengajar subjek utama di kelas Fathul, daya tarikannya pasti ada hingga membuatkan anak ini kelihatan bersedih hati. Dalam situasi bertemu dua minggu sekali, dan rasanya baru beberapa kali sahaja bersua...... hatinya terpikat dengan penyampaian guru itu.
Aku kenal sangat Cikgu Noor Azrina. Suaranya jelas dan nyaring bila berhadapan dengan anak didik. Malah suara nyaringnya seringkali menerobos gegendangku tatkala aku bertugas di kedai buku. Kelihatan garang....... segarang suaranya. Beberapa pintu kelas pasti terdengar suaranya semasa PdP berlangsung. Amat mengambil berat dan menjaga makmal komputer yang diamanahkan kepadanya. Begitu sikap guru ICT kami.
Mungkin ada yang takut kepadanya, tak kurang juga yang suka kepadanya. Tatkala beliau membuat ucapan terakhir di perhimpunan pagi itu...... ada beberapa murid yang kelihatan sugul, malah ada juga yang kulihat menahan air mata dari terus tumpah. Merah mata dan hidung......... menahan sebak di dada......
Begitulah....... perginya seorang guru membawa kenangan manis. Istimewanya seorang guru itu tidak sama di pandangan mata muridnya. Barangkali mungkin akan tetap segar di ingatan, lebih-lebih lagi tika menyambut 16 Mei.......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan