Isnin, 7 Oktober 2024

NAK PI LAGI

 Rezeki melancong di bumi bertuah, Malaysia yang kucintai.

    Tatkala orang sibuk-sibuk berjalan sakan ke luar negara, kami mengambil kesempatan meraikan mualaf berkunjung ke Nasyrul Quran dan Yayasan Restu. Kedua-duanya terletak di Selangor Darul Ehsan. Alhamdulillah.

    Perjalanan awal pagi bersama rombongan Ustaz Sham begitu mengujakan. Peluang bersama mualaf menelusuri sejarah dan pembikinan Al Quran serta perjalanan sirah Rasulullah begitu mengasyikkan. Ruang dan peluang ini mungkin bagi mereka amat bermakna. Begitu juga dengan kami yang turut bersama.



    Rezeki bagi mereka yang berjaya menjejakkan kaki ke dua lokasi yang begitu menarik ini. Dua orang sahabatku mengambil peluang membeli naskhah Al Quran yang agak besar. Senyuman jelas ketara, mungkin hati penuh berbunga kerana berjaya memilikinya. Berhabis duit pun tidak mengapa, asalkan hati suka. Aku turut membeli naskhah dalam ukuran biasa. Jauh bezanya harga yang diberi, berbanding yang tertera pada kulit naskhah tersebut. Syukur Alhamdulillah.

    Ramai juga yang mengambil peluang berwakaf Al Quran. Ada yang berkongsi seisi keluarga, ada juga yang berkongsi bersama kawan-kawan. Mudah-mudahan Allah menilainya sebagai pahala yang berpanjangan. Amin Ya Robb.

    Bagiku jika ada peluang sebegini lagi, mungkin dengan penganjur lain....aku ingin pergi lagi. Berapa tambangnya tak kisahlah, asalkan sesuai dan berbaloi dengan perjalanan yang dirangka. Masih kuingat lagi tatkala melangkah di terowong masa, menyaksikan replika dan jejak-jejak yang ditinggalkan ....terasa mahu berlama-lama di situ. Sejarah kekasih Allah terasa meruntun rasa. Perjuangannya di medan jihad demi mendaulatkan Islam begitu mengagumkan. Allahummasalli'ala sayyidina Muhammad.

    Mudah-mudahan kami ditakdirkan lagi mengulangi detik-detik yang sama. Insya-Allah.


Ahad, 8 September 2024

Dakwah bil hal

 Menyantuni masyarakat India ketika bersama dengan pejabat agama dan NGO Perkim siang tadi menemukan aku dengan tiga orang anak-anak India. Dua daripadanya merupakan dua beradik murid sekolah rendah dan seorang lagi penuntut kolej. Mereka sebenarnya sepupu.

    Sempat beramah mesra tentang persekolahan mereka. Fasih berbahasa Melayu. Rupa-rupanya mereka bersekolah di sekolah kebangsaan yang berdekatan. Apabila aku bertanya tentang mengapa tidak memilih sekolah Tamil, mereka hanya tersenyum. Apabila mereka menyebut beberapa nama guru yang mereka kenali, aku memaklumkan nama itu kukenali juga. Siapa tidak kenal dengan guru bahasa dan guru pemulihan yang pernah bersama ketika aku masih berkhidmat dahulu.

    Agak rancak kami berbual di meja makan tersebut. Penuntut kolej itu pula mengambil jurusan pendidikan awal kanak-kanak dan memaklumkan bahawa semester akan datang dia akan berhadapan dengan latihan ataupun praktikal di tadika. Menurutnya dia memang sukakan kanak-kanak. Sopan nampaknya mereka bertiga. Ayah dan ibu mereka ada urusan di luar kawasan. Datuk memaklumkan agar mereka turut hadir dalam program kami. Betapa prihatinnya keluarga ini, sudi meluangkan masa menghadiri jemputan.

    Mereka setia bersama hingga ke akhir program. Penyampaian penceramah jemputan mengenai Kenali Ubat Anda, dan juga penyakit kanser mungkin mudah difahami kerana mereka bertiga terbiasa dengan penyampaian guru-guru Melayu di sekolah. Ini berbeza dengan hadirin warga emas yang turut serta. Komunikasi lebih mudah dengan anak-anak ini. Kami agak beruntung kerana penceramah pertama dapat menyampaikan maklumat dengan dwi-bahasa. Bahasa ibunda yang disampaikan secara selang-seli memudahkan pemahaman mereka.

    Walaupun kehadiran peserta India tidak mencapai target yang kami gariskan, ia tidak mematahkan semangat untuk kami meneruskan agenda ini untuk masa akan datang. Terima kasih juga atas kesudian dan khidmat yang diberikan oleh team Klinik Kesihatan berdekatan, pegawai perubatan, pihak JKM, RELA, JPKK dan NGO Adalia. Tidak lupa juga kepada masyarakat Melayu setempat yang sudi bersama. 

    Semoga program HARMONI ini dapat diteruskan lagi, bagi menjalin keharmonian masyarakat di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Hari ini kami bersama masyarakat India dari Taman India dan Kampung Spynie, mungkin akan datang kami ke kampung yang lain pula. Semoga usaha murni dapat dilaksanakan berterusan dalam menyantuni seluruh masyarakat, lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan. Redailah kami Ya Rabb.

Selasa, 3 September 2024

OPAH OH OPAH


Salam takziah buat keluarga yang ditinggalkan. 

    Mengenali wanita ini semasa kami memiliki anak kecil. Anak-anak kerapkali dibawa sama untuk mendengar ceramah yang tidak ada di radio dan kaca televisyen. Era 90-an menyaksikan ceramah di cecelah lindungan pohon kelapa di bawah langit malam. Itu sudah menjadi kebiasaan kami.

    Mendengar ceramah bagaikan santai berkelah di pantai. Siap dengan tikar, toto dan bantal kecil. Segala kudapan menjadi bekalan anak-anak. Akhirnya mereka tidur bergelimpangan manakala kami berdua dengan tenang mendengar hingga ke ungkapan terakhir penceramah.

    Di sebelah rumahnya terdapat bangunan kecil yang dijadikan markaz. Namun kami sering dipelawa masuk ke rumahnya. Kekadang di situlah kami makan bersama. Sikapnya yang ramah menambat hati kami sekeluarga. Gelaran 'opah' menjadikan anak-anak begitu mesra dengannya.

    Musim berlalu, segalanya bertukar rupa. Zaman itu telah pergi. Tidak ada lagi ruang ceramah sedemikian rupa. Aku tidak menyedari bilakah masanya ia berakhir. Aktiviti mencari ruang parkir, berjalan beramai-ramai mencari tempat santai yang selesa, membeli-belah di warung yang dibuka, serta mendukung anak seorang demi seorang untuk dimasukkan ke dalam kereta tatkala berakhirnya ceramah tidak kulupa.

    Betapa gembira dan terujanya mereka tatkala mendengar bahawa kami hendak mendengar ceramah. Detik itulah yang menemukan anak-anak kami dengan 'opah' ini. Aku memanggilnya Mak Cik Zizah. Waktu itu suaminya masih ada. Anak-anaknya ada yang bekerja sebagai pegawai bank. Aku hanya mengenali tiga orang anaknya yang lebih muda daripadaku. Memang suami agak rapat dengan keluarga ini, sebelum kami mendirikan rumah tangga. 

    Perubahan angin politik akhirnya menjarakkan kami. Tidak ada lagi ceramah seolah-olah temasya di halaman rumah, di celah pepohonan, di pinggir jalan. Tiada lagi bersesak-sesak kenderaan beratur pulang lewat malam. Kesibukan membesarkan anak-anak dengan persekolahan mereka akhirnya mengaburkan itu semua. 

    Namun suami masih berhubungan dengan salah seorang anaknya hinggalah ke saat ini. Sementelah dia masih lagi berada di kampung, sedangkan yang lain telah berhijrah. Tiap kali melewati rumah asal mereka, pasti peristiwa lama tergambar di layar ingatan. 

      Tanpa kuduga pada tahun lepas kami ditakdirkan bertemu dalam satu program di dewan kuliah masjid. Kelihatannya berkerusi roda dengan ditemani salah seorang puterinya. Sempat aku merakam foto kami bertiga. Alhamdulillah dengan pertemuan itu.

    Itulah kali terakhir aku bertemu dengannya setelah bertahun tidak bersua. Kini engkau telah pergi bertemu Sang Pencipta. Moga tenanglah dikau di taman barzakh. Terima kasih Ya Robb kerana menemukan kami walau hanya seketika.

Pemergiannya pada hari Sabtu, 31 Ogos 2024 bersamaan 26 Safar 1446H. Moga Allah mengampunimu dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman.


Khamis, 22 Ogos 2024

Perginya seorang cikgu

     Hari ini seorang cikgu telah pergi menghadap Ilahi. Daripada Allah dia datang, dan kepada-Nya dia kembali. Moga Allah mengampuninya dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman.

    Terima kasih cikgu, banyak jasa yang telah dicurahkan dalam membimbing dan mengajar anak-anakku memandu. Walaupun ada dua orang lagi cikgu memandu di tempat tinggal kami, Cikgu Yusof menjadi pilihan anak-anakku. Aku pun tidak tahu kenapa mereka memilih dirimu menjadi guru memandu mereka. Mesti ada sebab mereka memilihmu.

    Sebelum ini aku bersama rakan-rakan berpeluang menziarahinya di rumah. Tak silap aku tahun lepas. Sempat bertanya khabar tentang isteri dan dirimu. Nampak berkerusi roda, dengan keadaan yang sedikit lemah. Beruntung dirimu kerana memiliki suri hati yang tabah dan punya semangat yang kuat. Itulah kali terakhir kami meluangkan waktu dalam sesi Salam Jumaat.

    Semoga engkau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ampunilah Cikgu Mohd Yusof bin Che Amat, rahmatilah dia. Kami juga bakal jenazah yang tidak tahu bilakah tarikh dan masanya akan mengikut jejak langkah cikgu. Tenanglah engkau di taman barzakh.

    Salam takziah buat Kak Jumizah. Tenang dan bersabarlah dengan ujian ini. Kita juga bakal menyusul. Semoga kak sekeluarga tabah menerima sebuah kehilangan.


ida a.z.,
8.05 mlm. 22/8/2024

Selasa, 6 Ogos 2024

Berkongsi Rezeki

 Alhamdulillah, pada minggu lepas kami berpadu tenaga memasak bubur asyura di Tadika Perkim, Kampung Koh. Terima kasih kepada penyumbang sama ada berupa wang ringgit, bahan masakan, tenaga dan idea. Tanpa kerjasama kalian mungkin hasrat tak terlaksana.


Kesungguhan yang ditunjukkan serta semangat perpaduan jelas mengharmonikan suasana. Bak pepatah, hati gajah sama dilapas, hati kuman sama dicicah. Sedikit kudrat dan gandingan yang mantap insya-Allah membuahkan hasil yang diimpikan.

Semoga di lain tahun dapat bersama lagi. Ukhuwah yang terjalin moga terus erat. 


Ahad, 4 Ogos 2024

Rezeki Yang Dikongsi


Alhamdulillah dapat bersama menyertai program Kembara Ilmu pada 27 dan 28 Julai 2024 yang lalu. Walaupun pernah menjejak kaki di bumi Kuantan, pemergianku kali ini tidak sama seperti pertama kali dahulu.

Direzekikan bersama handai taulan dalam siri rombongan yang terisi dengan sesuatu yang bermanfaat dapat dibawa pulang. Nikmat manakah yang dapat didustakan? Jauh dan lamanya perjalanan kami kali ini. Walaupun ramai yang agak berusia, ia tidak mematahkan semangat untuk sama-sama mencari ilmu dan pengalaman.

Jadual yang disusun cukup teratur dan syukur alhamdulillah kerana semua destinasi yang dicadangkan berjaya kami singgah. Jauh berjalan luas pemandangan, banyak pengalaman. Walaupun ada sedikit kekurangan di sini sana, namun ia tidak menjejaskan kembara kami. Tanam rasa reda dan sentiasa bersyukur, akan menjadikan hati menjadi lapang dan tenang.

Sikap saling bertolak ansur dan sedia menerima seadanya, perlu ada dalam diri. Bersabar menjadikan kita kental dalam meneruskan kehidupan. Bergantunglah 100 persen kepada Dia. Dengan mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Amat benar perkara tersebut. Belajar memahami dan berlapang dadalah sentiasa.

 

Selasa, 23 Julai 2024

Rindu Buat Teman...

 


Buat teman yang diingati...

Bercerita kisah kita dahulu bagai mengimbau kembali detik-detik silam. Episod kita bersama jelas di ruang mata. Enam tahun kita bersama di SKBG. Kelas-kelas yang namanya sekadar warna-warni. Tidak seperti sekarang.... canggih sungguh nama kelas pilihan tiap sekolah.

Kita bersekolah di bangunan lama bertiang-tiang batu sepemeluk, bertangga dan berlantaikan papan. Tatkala kita berjalan atau berlari, akan berbunyilah tapak kaki kita. Namun bangunan yang berdinding dan berlantaikan papan itu kukuh binaannya. Jendela yang boleh dibuka dan ditutup bercangkuk di tepi mengizinkan pengudaraan yang baik dalam kelas kita. Jika tiba-tiba kipas terhenti berputar, tidak menjadi masalah bagi kami.

Antara kelas ke kelas, kita hanya dipisahkan oleh dinding yang boleh dibuka atau dilipat bagi membolehkan ia dijadikan dewan untuk acara utama di sekolah. Itulah kelas, itu jugalah dewan sekolah. Aku diamanahkan dengan jawatan pengawas perpustakaan. Seronok bukan kepalang kerana aku memang ulat buku. Biasanya kisah penyiasatan menjadi pilihanku. Waktu itu siri Salma, Hardy Boys, tiga sekawan...mengambil tempat di hatiku. Entah berapa banyak buku misteri yang aku telah baca.

Waktu itu hati mula menanam cita-cita untuk menjadi polis atau penyiasat. Emm...zaman budak-budak. Kawan-kawanku ramai juga terdiri daripada anak polis. Yang masih kuingat ialah Dilah, Jinah, Rosni, Noraini, Saadiah, Salina, Sharifah Rosnani....siapa lagi ya? Maaf andai aku tertinggal nama kalian. Aku hanya anak kepala lombong. Ayahku bekerja di lombong bijih di Kg Pisang.

Membesar di Kg Baru Sungai Terap menjadikan aku mengenali rakan-rakan dan jiran yang sama-sama pernah bertemu di tadika. Kami lebih dahulu telah berkenal mesra sebelum melangkah ke darjah satu. Apa yang seronok bagiku ialah suasana sekolah yang begitu kondusif. Tenang dan aman. Sekolahku tidak berpagar. Kami sentiasa dalam keadaan selamat di samping guru-guru dan kaki tangan sekolah yang amat mesra. 

Suasana kelas yang tenang walaupun ada seorang dua yang sedikit nakal dan membuat onar di kelas. Sekali cikgu kenakan denda atau menegur, mereka terdiam dan akur sahaja. Begitu hormatnya kami kepada warga sekolah, hatta kepada mak cik dan pak cik kantin, tukang kebun, kerani dan abang peon atau 'budak pejabat'. Masih lagi boleh bertegur sapa dan sesekali berseloroh.

Kebanyakan gurunya mungkin dalam lingkungan usia 40-an dan ke atas. Tidak kelihatan guru-guru muda. Aku beranggapan cikgu yang ramai itu mungkin boleh digelar ibu atau ayah sahaja. Teringat lagi akan Cikgu Che Su, Cikgu Shaharbanon, Cikgu Rosli (perempuan), Cikgu Fatimah Zahra, Cikgu Zul, Cikgu Yang, Mr. Tan, Mr. Ng, Ustaz Alias, Cikgu Rokiah, Cikgu Maziah, Cikgu Ibrahim, Cikgu Sofiah dan Cikgu Ashar. Maaf cikgu, jika ada nama yang tertinggal. Tidak ingat pula aku nama ustazah.

Jika tiba waktu rehat, selain makan di kantin sesekali kami bermain galah panjang di kawasan sebelah rumah guru besar. Kadang-kadang berpeluh-peluh kami masuk ke kelas sebaik-baik kedengaran loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat. Mungkin itulah dinamakan belajar sungguh-sungguh, main pun bersungguh-sungguh. Masuk ke kelas kami tumpukan sepenuh perhatian kepada cikgu dan pelajaran yang disampaikan. Dalam ramai-ramai guru itu, ada juga yang agak garang. Namun tidak pernah pula ada kes mendera anak murid. Cumanya mulut sahaja yang bising, terutama guru perempuan. 

Di hadapan sekolah ada beberapa batang pokok ketapang yang tinggi menjulang. Di situlah tempat berteduh kami sambil menunggu ayah atau emak datang menjemput. Pergi dan pulang dari sekolah amat membahagiakan. Meninggalkan kawan-kawan dengan lambaian mesra. Kenderaan yang paling banyak waktu itu hanya basikal dan motorsikal. Selebihnya jalan berpimpin tangan bersama ibu masing-masing. Jarang sangat yang berkereta. 

Kawan sekelas ada yang tinggal sekampung denganku. Kadang-kadang aku berbasikal ke rumah mereka untuk menyudahkan kerja sekolah yang aku kurang faham. Biasanya ke rumah Adi (Saadiah) atau Dilah Paa. Basikal itu banyak berjasa padaku. Melewati kawasan kampung yang mendamaikan sambil sesekali singgah mengutip buah letup yang ditemui di tepi-tepi jalan. Buah yang cukup masak yang kulitnya berwarna kuning itu manis rasanya. Isinya seakan-akan biji selasih atau buah markisa. Ia sekadar sebesar ibu jari. Diselaputi dengan bulu-bulu halus.

Kawan-kawanku ada yang tinggal di Kampung Pisang, Kg Changkat Belengkor, Kg Batu Dua, Kg Ara Payung, Bemban, Kg Jernih dan selebihnya berhampiran sekolah. Masih adakah lagi kalian di lokasi masing-masing? Atau telah berhijrah?  Semoga sihat dan bahagia selalu. 

Buat Liza, Dilah Paa dan Oja .....ada rezeki kita jumpa lagi di Batu Gajah. Insya-Allah. Buat Dilah Othman, kalau ada balik rumah mak... beritahu ya. Dulu kita ada Taman Tasik S.M.Noor. Setelah tamat riwayatnya, kini ada Silverlake dan Galeri Lat pula. Kenangan bersama masih kuingat lagi.

11.11 pagi / 23 Julai 2024
Lekiyour, Perak.











Sabtu, 20 Julai 2024

Selamat tinggal, Fairus!

 10 Muharram 1446 ada yang berpuasa, tahniah buat anda semua. Tarikh itu jugalah kami digemparkan dengan perginya bekas anak didik kami yang merupakan calon SPM. Whatsapp yang masuk mengesahkan segalanya. Aku tertanya-tanya juga pada mulanya siapakah yang dimaksudkan kerana hanya nama ayahnya sahaja yang tertera dalam info tersebut.

Tak sanggup aku mengulang pandang foto dan video yang diberi. Cukuplah sekali. Bukan aku sahaja yang sedemikian, rupa-rupanya suami juga ngeri melihatnya. Cuma wajahnya sahaja yang tidak kelihatan kerana telah ditutupi dengan kain. Namun ingatanku kuat terhadap wajah yang memang kukenal semasa di sekolah rendah dahulu.

Engkau pergi dalam kemalangan jalan raya sewaktu pulang dari sekolah. Namun dikebumikan selepas solat maghrib bersamaan 11 Muharram. Semoga Allah mengampunimu dan termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kenangan bersamamu ketika di sekolah rendah dahulu tetap segar di ingatan. 

Selasa, 25 Jun 2024

PEMERGIANMU

Allahyarham Mokhtaruddin (Pak Kuta) bersama isteri
 

Teringat masa budak-budak dahulu. Balik kampung itu bagaikan satu kemestian bagi kami. Cuti hujung minggu, cuti sekolah dan cuti raya begitu mengujakan. Pasti kampung emak menjadi sasaran. Di situlah kami mengenali sanak-saudara sebelah emak.

         Pangkat bapa saudara kami panggil 'Bapak' atau 'Pak' manakala ibu saudara pula disebut 'Mak cik' atau ringkasnya 'Acik'. Famili yang agak rapat dengan kami ialah Uwo Mokah dan suaminya Semain Matey, sekadar nama ini sahaja yang kami tahu. 

    Waktu itulah kami mengenali keluarga ini, namun tidaklah secara mendalam sebagaimana emak dan ayah. Acik Simbun, Pak Dulah, Pak Kuta, Pak Piee, Acik Tupin, Acik Juai dan Acik Semah... inilah kesemua anak uwo dan suami. Walaupun tidak rapat sangat, namun kami pasti mengenali mereka.

    Sampai ke satu tahap, kami sudah jarang balik kampung asbab kesibukan yang melanda. Sibuk dengan persekolahan dan menyambung pelajaran. Namun jarak itu tidak menyebabkan kami lupa kepada mereka. Masih ada ruang waktu untuk bersama walaupun hanya sesekali.

    Aku direzekikan bertemu dengan Acik Tupin di MPSI, Tanjung Malim sekitar era 80-an. Jaraknya aku junior satu semester sahaja. Acik Tupin Pengajian Inggeris manakala aku Pengajian Melayu. Jarang dapat bersua walaupun di tempat yang sama. Kalau jumpa pun sekadar di dewan makan asrama. Sempatlah melambai atau tersenyum dari jauh.

    Sebelum itu Pak Piee pernah tinggal bersama di rumah kami sekejap, merasai peritnya bekerja sebagai pekerja lombong bijih timah di Kampung Pisang, Batu Gajah selepas tamat sekolah. Namun akhirnya Allah rezekikan beliau menyambung pelajaran ke tempat yang lebih tinggi lagi.

    Acapkali balik kampung kami akan berjumpa dengan Pak Kuta. Masih kami ingat senyuman manisnya tatkala singgah di rumah atuk sambil berbual dengan emak yang digelarnya Kak Chik. Seingat aku, Pak Kuta melakukan kerja-kerja kampung. Agak smart orangnya. 

    Acik Juai juga pernah kelihatan kelibatnya masa kecil-kecil dahulu. Namun bukanlah rakan sepermainan kami. Acik Semah lagilah muda pada waktu itu, sehinggakan aku kurang mengenalinya. Kedua-dua mereka ini lebih muda daripadaku, namun atas rasa hormat aku turut memanggil mereka sebagai mak cik. Acik Simbun bertugas sebagai jururawat manakala Pak Dullah bekerja di Ipoh.

    Acik Simbun telah lebih dahulu menghadap Ilahi. Ini disusuli pula dengan Pak Kuta yang meninggalkan kami pada tahun ini. Kami mengambil kesempatan menziarahi keluarganya lewat beberapa hari kemudian. Aku merapatkan kembali silaturahim dalam ruang waktu yang Allah berikan. Kesempatan ini kuambil untuk mengenali isteri dan anak-anaknya. 

Semoga Allah mengampuni Pak Kuta, bersemadilah di taman barzakh.

 

Ahad, 24 Mac 2024

KAK ASMAH AG

 Di rumah Allah beberapa hari yang lalu, Yati sempat membisikkan tentang keberadaanmu Kak Asmah. Aku terkedu dengan khabar yang diterima. Kerisauan mula menghantui....

    Aku lantas menghubungi puterimu, Sarah untuk mengetahui duduk perkara sebenar. Aku pernah dimaklumkan tentang kesihatannya, namun tidak kuanggap seserius ini. Dengan info jelas yang diterima, hati sedikit bergetar. 

    Selesai menyediakan juadah sahur, dirimu hampir terjatuh akibat pitam. Namun sempat disambut oleh salah seorang anakmu. Kau dibaringkan di katil. Kemudian muntah beberapa kali. Ambulans datang setelah dihubungi. Begitu kisahnya yang dimaklumkan Sarah. Aku mula teringatkan Ayu iaitu bekas muridku dan juga jiranku Encik Rahman. Kedua-dua mereka mengalami pendarahan di kepala. Namun keadaan kedua-duanya stabil setelah mendapatkan rawatan.

    Kini sahabat yang sama-sama duduk dalam perjuangan dan sering turun padang menyantuni masyarakat pula yang mengalami masalah kesihatan sedemikian. Hati mana yang tidak digayut bimbang? Ketenangan Ramadan terasa sedikit berkocak. Ya Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, ampunilah dia. Sembuhkanlah dia. Mereka yang mengenalinya masing-masing mendoakan yang terbaik buatnya.

    Aku mula terkenang bagaimana pertama kali aku mengenalinya. Baru enam tahun persahabatan kami. Namun terasa bagaikan telah lama. Tambahan pula kampung kami sebelah-menyebelah. Aku di hulu, dia di hilir. Sesekali kami berbicara atau menulis di wasap dalam Bahasa Rao. Bak kata orang sekarang...ada chemestry. 

    Setelah pembedahan kedua dilalui, menurut Sarah doktor akan membuat pemantauan selama 21 hari. Hati terasa penuh debar. Sebak hatiku apabila Sarah memaklumkan agar sesiapa yang datang berkunjung bondanya mengisi waktu dengan bercakap-cakap dengannya.  Aku yang belum berkesempatan menziarahinya di HRPB, Ipoh... sekadar mampu mengutus doa dari jauh. Kekangan masa yang terisi dengan pelbagai aktiviti di bulan mulia ini begitu mencabar.

    Semalam sahaja kami meluangkan waktu berbuka di rumah Kak Nyah sambil menjenguk 'opah'. Pada siang hari ini nanti, suami pula sibuk bergotong-royong menyediakan makanan untuk jemaah masjid berbuka puasa. Ada perjumpaan ahli tadarus juga nanti. Group NGO kami sedia memberi ruang untuk mengadakan solat hajat khas untukmu, Kak Asmah.

    Buat keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak Kak Asmah yang kukenali... bersabarlah dengan ujian ini. Di Ramadan mulia penuh berkat ini, kami memohon kepada-Mu Ya Robbi, Kau sembuhkanlah sahabat yang dikasihi. Berilah kekuatan dan kesabaran buat keluarganya yang amat berharap agar bonda yang disayangi kembali pulih. Sesungguhnya pada-Mu kami memohon, pada-Mu jua kami berserah.


Catatan 

13 Ramadan 1445H (3.24 am)


    

    

Rabu, 21 Februari 2024

KENANGAN BERSAMAMU

Sahabat yang diingati, Rahmah Ismail.....
Mudah-mudahan Allah mengampunimu dan dirimu termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin Ya Robb. Tenanglah engkau di taman barzakh.

Salam takziah buat seluruh keluarga yang ditinggalkan. Maaf kerana tidak mengenali kalian. Namun Rahmah Ismail bukan asing bagiku. Satu nama yang kukenali sejak di bangku sekolah rendah. Kami sama-sama belajar di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah di tahun 70-an lalu. Walaupun tidak sama kelas, namun kami sebaya.

Kami pernah berada dalam team tarian SKBG. Kami bawakan tarian lilin di dalam pertandingan di Sekolah Convent, Batu Gajah. Jenuh juga sama-sama berlatih di bawah bimbingan Cikgu Din. Aku, Liza, Rahmah, Sarina @ Imah dan Jurina memakai baju merah berkilat dipadankan dengan kain songket merah hati. Team kedua pula dianggotai oleh Dilah, Zawiyah, Nora, Fauzina, Azhar, Rosdy, Rahim, Syazwan, Mahathir dan Selvan.

Begitu kisahnya di sekolah rendah. Semua acara aku masuk, kecuali acara sukan. Aku tidak menyerlah di bidang sukan, kecuali badminton.

Di sekolah menengah, team tarian itu masih bersekolah sama denganku. Cuma Liza telah bertukar ke sekolah convent. Walaupun kami berpisah, kami bertemu juga di kelas tuisyen matematik di Sekolah Royal di pekan lama Batu Gajah. Di SMR, aku bertemu ramai murid India yang datang dari Sekolah Tamil di estet atau ladang getah. Rakan Cina pula ada yang datang dari Pusing.

Aku bersama Rahmah bersekolah di SYS dalam tingkatan empat dan lima, kami berada di kelas sains. Walaupun kelas kami berbeza, kami saling bertemu mata. Selepas SPM, aku kehilangan ramai rakan yang dulu. Aku ditempatkan di kelas tingkatan enam di sekolah yang sama. Aku kembali bertemu Liza, namun kelas kami berlainan. Pada waktu itu hanya SYS sahaja ada kelas tingkatan enam. 

Kelas aku majoritinya murid Cina yang datang dari SMJK Yuk Kwan. Rakan lelaki Melayu kebanyakannya memang asalnya dari SYS. SYS rendah hanya untuk murid lelaki, begitu juga untuk tingkatan satu hingga tiga. Tingkatan empat barulah ada murid perempuan yang datang masuk dari SMR Batu Gajah.

Perjalanan kami menambah ilmu akhirnya berpisah jauh. Aku ke MPSI Tanjung Malim, Dilah ke MP Hulu Kinta manakala Liza ke MP Batu Rakit. Seorang lagi rakan sekelasku, Laila telah mendapat tempat lebih awal di MP Kinta. Tiba-tiba Rahmah muncul di maktabku, sebagai junior. Tanpa diduga kami bertemu kembali di maktab bersejarah itu. Kecilnya dunia. Namun kelas yang berbeza dan kesibukan kuliah serta GERKO tidak mengizinkan kami bersua.

Aku berkhidmat di daerah Manjung, manakala Liza dan Rahmah amat beruntung kerana dapat berbakti di kampung sendiri. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Kerap juga aku pulang ke kampung semenjak PKP berakhir tanpa menjejak kalian. Akhirnya setelah bertahun-tahun tidak bersua, aku mendapat khabar tentangmu Rahmah, daripada Liza. Engkau sakit rupa-rupanya. Tina yang merupakan jiranku dahulu turut mengirim khabar tentangmu.

Rakan yang pernah sama tempat bertugas denganku dahulu iaitu Maziah, turut mengenalimu. Jiran belakang dapur rumahku rupa-rupanya sama batch denganmu juga. Oh.....ramai juga kenalanku yang mengenali dirimu. Dilah yang merupakan jiranku dulu turut mendapat khabar tentangmu. Terkilan rasa hati kerana kami tidak dapat menziarahimu dalam saat-saat terakhir itu. 

Buat sahabat kami Rahmah Ismail yang pernah sama-sama menuntut ilmu di SKBG, SMR BG, SYS BG.... Pemergianmu merupakan sebuah kehilangan. Kenangan kita bersama suatu ketika dahulu masih terpahat di sanubari. Insya-Allah kami bakal menyusul. Moga Allah pertemukan kita di sana nanti.