JANGAN BERUMAH DI TEPI PANTAI
Amat benarlah kata-kata tersebut. Begitu hidup insan berjuang. Jika mengharapkan sesuatu ganjaran, lebih baik jangan duduk di dalam perjuangan kerana perjuangan ini dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi. Orang berjuang setulus hati tidak mengharapkan sebarang balasan. Sesungguhnya apa yang diharapkan ialah tertegaknya keadilan terhadap sesiapa sahaja. Jangan ada yang tertindas. Jangan ada yang tertinggal. Kebahagiaan sama dikecapi, rezeki sama dikongsi.
Namun tidak semudah itu. Ramai juga yang bercakap tak serupa bikin. Ramai yang boleh berbicara, namun tewas untuk mengotakannya. Betapa perlunya sentiasa muhasabah diri, dan konsisten dalam memantapkan semangat. Semangat juang itu ada turun naiknya. Melihat kepada kemenangan, sudah pasti perasaan bak bunga mekar berkembang. Tetapi jika kekalahan itu muncul, semangat turut sama menjadi luntur. Lebur jadi debu.
Dalam konteks ini, kerja berpasukan dan saling bantu-membantu begitu diperlukan. Ada rakan yang mendorong tatkala hati mula goyah. Ada sahabat yang menasihati tika berada di puncak. Jangan lakukan kerja sekadar syok sendiri. Sediakan diri menjadi pendengar dan menerima pandangan orang lain. Kejayaan adalah milik bersama. Namun jatuhnya nanti sama-sama juga merasa.
Melangkah ke dunia politik, bukanlah jalan untuk mengejar glamour. Apa jawatan pun yang diterima, semua itu adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu digalas. Bukan untuk dimegahkan. Ia ibarat memikul suatu bebanan yang akhirnya nanti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Jika tidak ada orang baik-baik terjun di arena politik, maka orang jahatlah yang akan menguasainya. Pasti rasa bersalah akan menguasai sekiranya kita sengaja membiarkan mereka yang tidak sepatutnya menjaga kebajikan rakyat jelata berada di tampuk pemerintahan.
Bersabar dengan setiap ujian dan cabaran yang sedia menanti di hadapan. Tidak kurang juga ada yang mungkin menikam dari belakang. Paling tidak mungkin secara tiba-tiba munculnya musuh dalam selimut serta gunting dalam lipatan. Ah....segalanya mungkin!!!
Namun titik kemanisan itu tetap ada walaupun terpaksa menempuh pelbagai rintangan. Betapa indahnya perjuangan sekiranya kesabaran itu dibalut dengan kejujuran, diadun dengan amanah, dicampur dengan keikhlasan, dan disuburkan dengan berserah segalanya kepada Allah.
Negara kini di bawah barisan kepimpinan yang sentiasa komited untuk membawa kita ke arah kehidupan yang lebih harmonis dan berdaya saing di mata dunia. Doakan yang terbaik buat mereka. Jika benar perjalanan pentadbirannya, sama-sama kita memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi. Namun sekiranya peluang dan amanah yang digalas ini tidak dilaksanakan dengan betul, kita boleh membuat pilihan lain di kertas undi nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan