Ahad, 17 November 2024

Perginya Jiran dan Sahabat

    
    Mula mengenalinya semasa aku mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi, Ayer Tawar, Perak sekitar awal tahun 90-an. Daerah Manjung begitu asing bagiku. Waktu itu suami memang rapat dengannya. Mereka telah lama saling mengenali keluarga masing-masing. Kampung Serdang, Sitiawan  tempat asalnya. 

    Aku pula mengenali dua orang puteranya yang menjadi anak didikku. Ringkas nama mereka ialah Izzat dn Bob. Mudah mengenali mereka berdua kerana sosok tubuh yang agak gempal daripada rakan sekelas. Bermulalah aku mengenal bingka hasil tangan beliau yang diletakkan di kantin sekolah. Enak sekali. Agak kerap juga aku membeli kuih ini yang menjadi habuan perutku seawal pagi.

    Sedikit demi sedikit aku mula mengenali mereka. Suri hidupnya orang Kelantan, merupakan guru yang bertugas di sekolah menengah. Meninggalkan SKSW, aku ditempatkan di SK Methodist ACS. Terpisahlah aku dengan kuih kegemaranku itu. Namun siapa sangka akhirnya kami berjiran di KTB7 Lekir. Setelah menyambung kursus, Kak Nor pula ditempatkan di sekolah ketiga aku bertugas, di SK Lekir di Kelas Pendidikan Khas. Makin rapat persahabtan kami akhirnya.

        Anak ketiga mereka pula menjadi anak didikku selama beberapa tahun di situ. Banyak perkara yang sering kami kongsikan. Disebabkan lokasi rumah mereka menjadi laluan utama untuk aku pergi dan balik dari sekolah, maka sasaran utama mataku ialah kediaman mereka. Abang Zali dan Kak Nor rajin berkebun di sekitar rumah. Abang Zali pandai memasak. Tidak hairanlah ada sahaja buah tangan yang diberi kepada kami. Sudah pasti kuih bingka itu yang aku tunggu-tunggu. Alhamdulillah. Tidak kedekut dengan apa yang dimiliki, resipi kuih bingka pernah beliau kongsikan.

         Namun tidak pernah aku berkesempatan untuk mencuba. Dan kini setelah dia tiada, aku masih teringat-ingat akan kuih bingka yang sering disedekahkan kepada kawan-kawan. Ingatan itu tak mungkin akan terpadam. Dan sebelum ia terpadam, aku ceritakan di sini.

        Walaupun agak sedikit lewat untuk aku menulis tentang sahabat suami yang memang rapat ini, segala kisah persahabatan kami dan kejiranan kami akan tersimpan kukuh dalam memori. Momen indah itu terpahat di sanubari. Manakan mungkin kami lupa akan budi mereka. Hingga ke takah ini, aku tetap merasakan bahawa Abang Zali seakan-akan masih ada lagi. Lenggok bahasa, senyuman, suaranya bagai terasa ada di sisi.

       Keluar masuk hospitalnya memang dalam pengetahuan kami. Bukan Abang Zali sahaja, malah Kak Nor juga sering kami tahu akan keberadaannya. Pernah kami singgah di Seri Kembangan tempat mereka menginap bersama Izzah. Tatkala ingin sampai ke sana buat kali keduanya dengan hasrat untuk menziarahi Abang Zali di Hospital Serdang, rupa-rupanya hasrat itu tidak kesampaian. Dia lebih dahulu menemui Sang Pencipta. Sesungguhnya daripada Allah dia datang, dan kepada-Nya dia kembali.


    Banyak kenangan manis kami bersama. Anak sulungku memang rapat dengan anak sulung mereka. Ke mana sahaja agak kerap bersama. Malah rumah mereka bagaikan menjadi rumah kedua pula. Saling bertukar juadah, berkongsi pandangan dan pendapat sudah menjadi lumrah. Semoga berbahagialah Abang Zali di taman barzakh. Mudah-mudahan Allah mengampunimu. Budi baikmu tetap kami kenang.

Kenangan tatkala kami mengunjungi mereka di Seri kembangan.

Tiada ulasan: