Isnin, 31 Ogos 2020

TANGGAL 31

 


Mendengar lagu lama....... terasa kembali ke zaman silam.  Lagu yang tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan.  





Versi yang cukup rancak dibawa oleh Allahyarham Sudirman Hj Arshad (setelah meminta keizinan daripada penulis dan penyanyi asal lagu tersebut) ......Lagu ini  sering diikut serta dinyanyikan oleh anak-anak sekolah.  Tahun demi tahun, yang ini jugalah menjadi pilihan utama mereka.  Anak-anak cukup suka mendendangkan lagu ini.  Barangkali merasakan ia mudah dinyanyikan dan senikatanya mudah diingat.  Dinyanyikan dengan penuh semangat dan ceria.


Menelusuri sejarah lagu ini....

Liriknya ditulis dan dinyanyikan oleh Ahmad C.B, Medan dari Indonesia.  Mari kita berkenalan dengan penyanyi asal lagu ini......

Ahmad C.B ........ nama asal beliau Ahmad bin Awab.  Huruf CB yang terdapat pada nama beliau adalah bermaksud Cass Bara.  Ada kisah disebalik nama ini. 

Beliau dilahirkan sama ada pada tahun 1907 atau 1908 di Medan, Indonesia.  Dibesarkan di Singapura dan Tanah Melayu.  Meninggal dunia pada tahun 1997 di Indonesia dalam usia 90 tahun.  Beliau merupakan pahlawan seni yang berjuang di sebalik kemerdekaan nusantara Melayu, Tanah Melayu dan Indonesia.

Lagu dan lirik beliau tulis dalam tulisan Jawi.  Kata-kata azimat beliau luahkan ketika di 'interview'  di TV3 Jalan Liku, Bangsar ialah "Saya dilahirkan di medan tapi dibesarkan di Singapura dan Malaya.  Ibarat kata badan di Indonesia tetapi jiwa saya di Semenanjung kerana itulah saya hasilkan lagu Tanggal 31". 

Lagu ini beliau cipta setelah mendapat tahu Malaya akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Semasa itu beliau yang sedang berada di Batam, Indonesia 
segera pulang menaiki feri ke Singapura untuk membuat rakaman lagu tersebut.  

Semoga roh Ahmad C.B dicucuri rahmat.  

(kredit kepada saudara Adam Salleh, Pengarang rencana Metro Ahad)