Jumaat, 30 Julai 2021

ABADIKAN KENANGAN

 


Pengalaman yang tak dapat dilupakan ketika bersama suami dan staf pejabat Risda daerah Manjung bersama-sama bercuti di Belum. Terima kasih warga Risda Manjung, membawa kami bersama!





Sabtu, 17 Julai 2021

JANGAN BOSAN YE...

Setelah agak lama kami bertemu dalam group telegram, maka berakhirlah sesi PdPR itu.  Cuti seminggu menghadirkan diri.  Aku sangat bersyukur kerana dianugerahi anak didik yang amat menyenangkan.  Alhamdulillah...

Kami yang pada mulanya ditemukan secara dalam talian, akhirnya dapat bersemuka di kelas Tahun 2 Dinamik.  Sekolah itu baru bagiku, walaupun sudah biasa mendengar namanya.

Kelasku mempunyai 17 penghuni.  Sepanjang sejarah perkhidmatanku, kali inilah baru kutemui bilangan murid paling sedikit.  Berbeza sungguh dengan kelas sebelah yang paling ramai penghuninya, 35 orang!  Tahun satu pula tu.

Melihat wajah-wajah mereka ...... mengembalikan ingatanku kepada cucunda yang jauh di mata.  Walaupun PKP dan lockdown memisahkan kami, namun video-call pula menjadi ikatan.

Anak didikku memiliki sikap positif, seperti mana sifat yang dimiliki oleh ibu ayah mereka.  Memang tidak dapat dinafikan, aku sering menerima pertanyaan dan pendapat yang dapat membantu meningkatkan mutu PdPR.  Semangat ibu ayah yang sedia memberi kerjasama, turut kukagumi.

Tugasan yang kuberi seringkali siap mengikut jangkaan waktu yang ditetapkan.  Aku membuka ruang dan peluang kepada ibu bapa sekiranya mereka ingin mengajukan pertanyaan atau berkongsi masalah berkaitan pembelajaran anak-anak.

Aku memilih menggunakan group telegram dalam melestarikan PdPR.  Kekadang hujung minggu kami akan bertemu di Google Meet.  Waktu itulah aku mengambil peluang untuk bertanyakan khabar dan dapatan tentang perjalanan PdPR yang lalu.  

Namun perjumpaan ini bukanlah dengan paksaan.  Tidak semua yang mengikuti GM ini.  Namun ini merupakan satu cara mudah untuk kami bersemuka dan bercakap secara terus.  Kekadang aku selitkan sedikit motivasi di samping sedikit ilmu berkaitan bahasa.

Tidak ada masalah berkaitan PdPR yang mereka ungkitkan.  Malangnya hanya satu jawapan yang sering mereka luahkan....."rindu nak ke sekolah".   Allah.......sebak menjengah ruang hati.

Bersabarlah anak-anak, bulan Mac tahun 2021 ini kita baru berkenalan.  Ditambah pula dengan cuti PKP, bersambung dengan hanya PdPR.  Dan hari ini kita kembali bercuti.....  barangkali detik-detik membosankan bagimu.

Namun percayalah, Allah tidak membebankan kita dengan sesuatu yang kita tidak upaya melaluinya.  Insya-Allah, ada hikmah di sebalik semua ujian ini.  

Jangan lupa anak-anak.....jaga diri baik-baik.  Jangan tinggal solat, doa dan mengaji.  Jadikan Al Quran itu sahabat, agar ia menjadi teman kita di alam barzakh nanti.  Salam sayang dari cikgu.....





Dua tiga kucing berlari

Mana sama si kucing Belang

Dua tiga boleh kucari

Manakan sama kalian tersayang


......KTB7, Lekir  (17072021)



Rabu, 7 Julai 2021

ELAUN OH ELAUN....

Menjadi guru pelatih sudah pasti terkait pula dengan elaun.  Alhamdulillah, sudah pasti kami tidak memerlukan duit poket dari ibu dan ayah.  Bersyukur sangat kerana boleh pegang duit sendiri serta menggunakannya untuk keperluan semasa.  Belajar hidup berdikari.  Yang pastinya, tidak lagi membebankan ayah bonda.

Dengan elaun yang ada, kami dapat mengatur perbelanjaan secara berhemah.  Setelah ditolak itu ini sebagai penghuni asrama, bagiku elaun yang diterima itu lebih daripada cukup.

Sudahlah makanan disediakan di dewan makan bermula dari sarapan.  Balik dari kelas nanti, kami singgah ke dewan makan lagi untuk makan tengah hari.  Makan malam sekali lagi.  Rasanya itu memang mencukupi.  Jadi, bagi memenuhi agenda minum petang atau minum malam, bekalannya kami dapatkan dari pasar raya atau kedai di luar.

Waktu itu Pasar Raya Angsoka menjadi tumpuan utama kami membeli-belah.  Jika ada yang hendak menambah koleksi pakaian, boleh membeli kain ela di Kedai Babu. Kalau ada yang pandai menjahit, bolehlah jahit baju sendiri.  Dapat juga menjimatkan duit elaun.  

Sesekali boleh sahaja membeli nasi bungkus di luar, apam balik pun ada.  Menapaklah kami keluar bersama-sama jika ada kelapangan waktu atau tika kuliah dibatalkan.  

Jarang sangat aku membeli nasi bungkus melainkan jika terlewat pulang ke asrama.  Bimbang akan terbabas waktu makan, jadi belilah sesuatu agar tidak kelaparan nanti.  Biasanya kami akan keluar berjemaah.  Teman paling rapat denganku ialah Kak Normah.  Ibarat belangkas, itulah kami.

Kak Normah orang utara, bagaikan sehati sejiwa saling melengkapi.  Cumanya kelas dan elektif yang berbeza.  Aku memilih seni, manakala Kak Normah memilih muzik.  Aku minat menulis, manakala Kak Normah minat merakam foto dengan kamera canggihnya.  

Duit elaun bagiku lebih daripada cukup.  Setiap kali mengambil elaun, aku akan ketepikan sedikit untuk dikirim ke kampung.  Itulah rutinku setiap kali elaun masuk.  Aku tahu ayah tidak mengharapkan duit itu.  Aku akan menghantar kiriman wang berserta helaian warkah memaklumkan kiriman tersebut.  Waktu itu telefon bimbit tidak ada lagi.

Telefon yang ada di dalam kawasan maktab itulah satu-satunya penghubung kiranya ada perkara penting yang ingin disampaikan.  Penggunaannya tidak boleh lama kerana orang lain pasti menunggu giliran berbaris di belakang kita.  Ringkasnya, kita berkongsi.  Faham-faham sahajalah.

Terasa agak mewah sedikit bila mana waktu praktikum muncul.  Mana-mana guru pelatih yang berada di luar kawasan, boleh mendapat elaun penuh.  Aku ditempatkan di Felda Trolak Timur, makanya aku memperoleh keistimewaan itu.

Tiga tahun di lembah Bernam itu, banyak mengajar erti kehidupan sebenar.  Belajar bagaimana mengurus waktu dan perbelanjaan dengan bijaksana.  Alhamdulillah.


......bersambung

#LA6

#UnIKH

Ahad, 4 Julai 2021

KERETA API OH KERETA API!


Masih kuingat lagi, 3 tahun di MPSI bermakna 3 tahun jugalah menjadikan kereta api itu kenderaan pilihan utama untuk pergi dan balik kampung.
Cuma kekadang jika terpaksa atau ada keperluan yang mendesak, barulah aku memilih bas. Sebenarnya terasa nikmat menaiki kereta api ini. Walaupun tersengguk-sengguk, dan ada kalanya berhimpit-himpit, ia tetap menjadi keutamaan.
Dari Batu Gajah ke Tanjung Malim....... terasa agak lama juga perjalanannya. Diiringi pelbagai bunyi yang kekadang membingitkan.
Ada kalanya terpaksa berpaut kuat pada pemegang besi apabila kereta api mahu berhenti. Terkial-kial rasanya aku. Keadaan begitu terjadi sekiranya aku tidak mendapat tempat duduk. Bertahanlah berdiri sambil berpaut. Mengikut rentak goncangan gerabak yang sedang meluncur di landasannya.
Jika mendapat tempat, aku lebih selesa duduk berhampiran tingkap sambil melihat pemandangan di luar. Lebih mengasyikkan apabila melewati kawasan hutan yang menghijau.
Ada satu laluan yang tidak dapat aku pastikan di mana, tetapi aku agak teruja berada di tempat tersebut. Ada ketikanya aku dapat melihat gerabak ataupun kepala kereta api yang jauh di hadapan bila kami melalui selekoh berkenaan.
Sepanjang perjalananku, itulah satu-satunya tempat sedemikian. Kala itu pergerakan kereta api terasa agak lambat. Barangkali pemandunya mesti lebih berhati-hati. Hati terasa sedikit gementar.
Sebaik-baik tiba di stesen kereta api Tanjung Malim, akan adalah rakan-rakan lain yang turun sama. Kami akan berjalan bersama-sama beriringan menuju ke asrama sambil menjinjing beg dan bekalan yang dibawa.
Namun amat berbeza keadaannya bila waktu pulang bercuti semester atau cuti Hari Raya. Biasanya guru pelatih akan menaiki kereta api malam. Ketika kami menunggu kereta api tiba, keriangan jelas terserlah di wajah masing-masing. Ada sahaja cerita dan bahan gurauan.
Dalam keadaan begitu, biasanya aku akan beralah. Perjalanan malam yang dijangkakan bermula jam sembilan lebih, kulepaskan begitu sahaja. Tak sanggup rasanya melihat orang lain menyerbu masuk ke perut gerabak. Malah ada yang bergayut di pintu! Berderau darahku. Mereka ramai yang turun di Butterworth.
Maka aku dan beberapa rakan lagi akan menanti kedatangan kereta api seterusnya. Lambatlah jawabnya kami akan tiba di destinasi masing-masing.
Bagi rakan-rakan yang menghala ke selatan, kebanyakannya menaiki bas ekspress. Kami yang menuju utara, kereta apilah yang menjadi pilihan. Alhamdulillah, begitulah pengalaman perjalanan kami yang kemas tersimpan dalam ingatan.
Dan ayah akan menantiku penuh setia, walau jam berapa pun aku tiba. Terima kasih ayah. Pengorbananmu tak mungkin dapat kulupa.
oh Senandung Malam......
........bersambung

Jumaat, 2 Julai 2021

Dan Rindu Masih Bertaut......


Cerita-cerita duka sama kita lalui, walau tidak seteruk mana.... ia merupakan ujian yang menjadikan kita tabah dan kuat sehingga hari ini. Alhamdulillah.
Enam semester bersama di IKSB melakar sejarah yang masih dikenang. Barangkali masih ingat tika ketiadaan air di asrama. Bagi guru pelatih lelaki....... boleh sahaja mendapatkan air di sungai Bernam. Ah, mudahnya! Tetapi segelintir sahaja. Itu bukan cara kita.
Dengan segala kudrat yang ada. maka berbondong-bondonglah kita keluar dari asrama sambil membawa baldi dan gayung. Terasa bagaikan berada di zaman emak ayah kita dulu-dulu. Mereka ke sungai atau perigi, mencari air. Tapi kita cuma ke surau lama.
Berjemaah kita ke sana dalam suasana kelam. Bimbang berselisih dengan pelatih lelaki. Aurat mesti dijaga walau dalam keadaan apa sekalipun. Cabaran sungguh waktu itu.
Syukur alhamdulillah, air di surau lama tidak kering. Keajaiban yang Allah anugerahkan. Dapat menampung kehadiran kami semua. Selesai membersihkan diri, terpaksa pula mengendong air sebaldi untuk dibawa pulang ke asrama. Makin lama melangkah, terasa makin berat baldi, maklumlah sudah kepenatan. Itu belum kira lagi berapa banyak air yang mungkin tumpah di dalam perjalanan. Namun syukurlah dapat menampung keperluan dalam beberapa tempoh sementara menanti air di asrama muncul kembali.
Apabila menyedari air di asrama tidak ada, pasti keadaan sebegitu akan berulang kembali. Namun pengalaman itu mengajar erti hidup di rantau orang. Mengenang kembali peristiwa itu, mengingatkan aku akan peristiwa bekas anak muridku yang pernah berhenti sekolah berasrama kerana air semata-mata.
........ air oh air.....


....bersambung

Dan Rindu Pun Menggamit.....

 
Hari ini 1 Julai mengingatkan aku tentang perjalanan hidup kami sebagai guru pelatih yang buat pertama kalinya menjejak kaki di IKSB. Itu ketika berada di era 80-an. Kemasukan paling sedikit. Masuknya pula boleh dikatakan di pertengahan tahun.
Seperti biasa ...... guru pelatih lelaki boleh dibilang dengan jari. Bermulalah kehidupan kami yang dipenuhi dengan kuliah, gerko dan kerja kursus. Semuanya menjadi sibuk setelah berakhirnya minggu orientasi.
Tiga tahun menadah ilmu. Selama itu jugalah pelbagai pengalaman dapat dibukukan (jika ada yang rajin menulis). Berbicara tentang kehidupan sebagai guru pelatih, memang menyeronokkan biarpun ada kalanya menemui jalan-jalan buntu.
Menginap di asrama yang bersejarah, berjalan di lorong-lorong dan kaki lima peninggalan warisan lama..... terkadang menggetar hati. Ditambah lagi dengan beberapa kejadian pelik yang mengganggu sahabat-sahabat kami. Ye.......kekadang agak menyeramkan.
Teringat tika sama-sama berada di dorm. Bak katil-katil di hospital. Tambahan meja tulisku ketul-betul menghadap bangunan tua itu. Di dalamnya ada kisah misteri yang pernah dikisahkan oleh Pak Aris (almarhum). Pak cik yang berkaca mata bingkai hitam itu punyai sejarahnya tersendiri. Kata-katanya berunsur nasihat amat kuhargai.
Masih kuingat lagi tentang beberapa bangunan dan lokasinya. Taman astakona, surau lama, bangunan Suluh Budiman, dewan makan, asrama (ada yang baru, ada yang lama), rumah pensyarah, Dewan Rahman Talib, beberapa bilik kuliah dan kelas. Tidak lupa kantin dan padangnya yang luas.
Terdapat pentas dan laluan yang ada rahsianya tersendiri. Namun tidak sempat untuk menyiasat. Urusan lain yang lebih utama menjadi semua itu ditolak ke tepi.
Terkenang pula pelbagai jabatan yang ada dengan barisan exconya. Sahabat kami, saudara Isnani dan Siti Norhashidah pernah memegang jawatan exco itu. Tahniah di atas kebolehan dan kekuatan yang ada. Amanah bukanlah mudah untuk disandang.
Saudari Norhashidah atau mesra kami panggil Kak Syidah punya pengalaman yang agak menggerunkan ketika sibuk menyiapkan tugasannya sebagai Setiausaha Agung Kehormat. Namun beliau kuat semangat dan gangguan tersebut bukanlah penghalang baginya untuk menyerah kalah. Kalau secara tiba-tiba kedengaran bunyi mesin taip atau derapan kasut tentera berkawad di larut malam, siapakah agaknya itu?
Aku sekadar menulis bagi mengisi masa lapang. Minat yang berputik tika aku di tingkatan empat, kubawa dan kubaja di situ. Terima kasih kepada kawan-kawan terutama Kak Normah yang banyak memberi sokongan. Bergerak bersama Kak Manisah, Kak Jemie dan Jun di dalam ASASMU, memberi pengalaman baru buatku. Masihkah lagi kalian menulis?


............bersambung.
Kepada sahabat, kalau berminat untuk memiliki buku yang kutulis berjemaah dengan adik-beradik Legasi Abah.... bolehlah jenguk di sini :