Sabtu, 29 April 2023

REZEKI SYAWAL 1444H

 

Abang Ali bersama isteri
ALHAMDULILLAH...
    Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan kepada-Mu Ya Rab. Majlis walimah berjalan lancar dengan izin-Mu. Lebih menggembirakan kerana Engkau mempertemukan saudara-mara dan handai taulan yang telah lama tidak bersua muka.

    Ramai yang hadir di hari bahagia tersebut. Dalam kesibukan menerima kehadiran tetamu, aku tiba-tiba terkesima memandang raut wajah yang telah dimakan usia. Namun sejarah lampau tetap berlegar di ingatan. Kami pernah sama-sama di dusun mengutip durian, menikmati sejuknya air Sungai Keris serta menggagau udang. Kini hanya Abang Ali merupakan satu-satunya anak Tok Ayah yang tinggal.

    Suami lebih lagi gembiranya kerana dipertemukan dengan beberapa orang rakan lama. Jemputan kami untuk warga pejabat Risda berbaloi kerana ramai yang hadir. Masing-masing telah berusia, namun daya ingatan masih kuat.

    Anak-anak masih lagi mengenali pak cik-pak cik yang dahulunya mereka pernah temui ketika singgah di pejabat tempat suamiku bertugas. Uncle Gobal, Uncle Abon, pak cik driver, pak cik kereta antik, dan beberapa orang lagi tetap mereka ingat.  
 
    Kini anak-anak telah meningkat dewasa, manakala kami semakin menuju senja. Tidak banyak yang dapat dicerita kerana tugas utama kami ialah menyambut tetamu yang hadir. Sekadar gambar yang dapat berbicara betapa kenangan lama masih mekar di sanubari.

    Tidak lupa kepada DJ bertugas, terima kasih diucapkan kerana menceriakan suasana serta mengendali majlis dengan baik. Dalam doa yang dibaca, kami mengaminkan kesejahteraan dan kebahagiaan buat pengantin. Mudah-mudahan bisa melayari bahtera dengan baik dalam membentuk keluarga sakinah hingga ke jannah, insya-Allah.

    Buat pertama kalinya aku bertemu pandang dengan cahayamata pertamanya, Izz. Tahniah Liya dan Fakhrul. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki juga bahagia selalu. 

    
    
 Keluarga dari Gunung Mesah Hilir dan Kinjang turut hadir. Moga silaturahmi kita terus berkekalan, insya-Allah. Mereka hadir awal dan meninggalkan majlis sebelum berkumandang azan Zohor. 

    Dimaklumkan bahawa mereka akan menziarahi keluarga di Ipoh yang baharu sahaja kehilangan anak sulung yang dikasihi. Salam takziah buat keluarga Pak Dullah, moga kalian tabah menerima ujian. Harapan kami juga agar kalian dapat bersatu kembali di negeri abadi.

 

    Saudara dari Ipoh dan Bagan Datuk juga datang. Jiran tetangga, juga rakan setugas yang pernah bersama suatu ketika dahulu, sudi memenuhi undangan. Maafkan kami kerana tidak dapat berlama-lama. Terima kasih semua. 

    Jutaan terima kasih juga kepada orang kuat di belakang tabir, iaitu keluarga Mak Andak, keluarga Pak Chu dan keluarga Pak Ngah. Tidak ketinggalan buat keluarga Sobri Catering dan Isma Adila Enterprise.

    Akhir kalam... terima kasih atas kerjasama semua pihak bagi menjayakan majlis. Sama ada dari pihak kami yang menyambut, mahupun pihak di sebelah sana yang datang bertandang. Moga ikatan kekeluargaan bertambah utuh. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana telah menemukan kita. 

      


  

 
Catatan Kenangan:
Tetamu paling jauh datang dari Belfast, UK
Semua cucu Opah hadir di majlis ini termasuk dua orang cicitnya
 (Legasi Opah sudah sampai ke generasi yang ke-4)

Rabu, 19 April 2023

MANISNYA SAAT BERSAMA

 

SYUKUR Alhamdulillah, berakhirnya 3T kami semalam, 27 Ramadan. Bermula 1 Ramadan yang lalu kami dipertemukan dalam Group 3T - Tadarus, Tahsin dan Tadabbur dalam platform Google-meet. 

    Sesungguhnya kami dipertemukan dalam kumpulan kecil dengan satu tujuan yang sama, iaitu sama-sama memperbetulkan bacaan dan berkongsi pengetahuan yang terkandung di dalam Al Quran.

    Bermula jam 8.00, sehinggalah berakhir jam 10.00 pagi dibimbing oleh Ustazah Rasiah, mesra dipanggil Kak Rasiah. Beliaulah yang menyemak keseluruhan bacaan kami yang disampaikan secara bergilir-gilir. Tadabbur pula disampaikan oleh Cikgu Parizah, disulami dengan Puan Samhah. Asyik benar kami mendengar kisah dan perkongsian ilmu yang terkandung di dalamnya.

    Suka duka dan pahit manis kami hadapi dalam tadarus dan tadabbur ini. Ada ketikanya suara tenggelam timbul dan hilang secara tiba-tiba. Ketidak hadiran beberapa orang sahabat ada kalanya menjadikan kami terasa kehilangan. Rindu pada suaranya. Misalnya Aisyah yang tidak dapat bersama di saat kami khatam semalam kerana telah pun bersalin beberapa hari yang lalu. Selamat berpantang Aisyah, didoakan moga ibu dan bayi sihat sentiasa.

    Kak Fadzilah juga tidak dapat bersama kerana urusan di pejabat. Semoga Allah permudahkan urusan beliau. Selamat bertugas dengan penuh dedikasi. Cikgu Faizah pula mengalami sakit tekak dan tidak dapat menyampaikan bacaannya. Namun terus istiqomah sama-sama menyemak bacaan. Mudah-mudahan sakit tekaknya segera sembuh. Insya-Allah.

    Kita sama-sama bertadarus dan tadabbur secara dalam talian, nikmat manakah yang nak kita dustakan? Penggunaan gajet dapat kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Alhamdulillah. Walau jarak memisahkan, namun kemajuan itu mendekat serta merapatkan kita. Teguran-teguran diberi demi kebaikan bersama dalam memperelokkan bacaan. Terima kasih Kak Rasiah.

    Kak Asma apa kurangnya, sesekali berkongsi ilmu yang ada sebagai tokok tambah dalam sesi tadabbur. Siti pula diamanahkan mencatat senarai giliran bacaan. Group yang asalnya terdiri daripada 9 orang, akhirnya lebih meriah ditambah dengan kehadiran Cikgu Faizah dari Kajang, Kak Wanie dan Kak Normah.

    Aku berkongsi dengan kak ude menyertai mereka melalui laptop. Pernah kami bersiaran dari kampung sekadar melalui telefon bimbit kerana sayang untuk meninggalkan majlis ini walaupun sehari cuma. Masalah yang sama juga berlaku pada beberapa orang sahabat 3T ini. Ada yang terpaksa keluar awal, ada yang masuk lambat, kerana kekangan lain yang perlu diberi keutamaan. 

    Bersiaran di luar kawasan ada kalanya mengalami sedikit masalah. Line slow dan suara tak clear sering terjadi. Walaupun demikian, hati terasa berat untuk melepaskan. Amat benarlah... bila hati sudah suka, apa sahaja halangan sanggup dihadapi. 

    Berakhirnya Ramadan kali ini bukan bermakna perkongsian ilmu ini berakhir. Insya-Allah kami akan bersua kembali setelah Syawal berakhir. Namun pasti kami akan saling merindukan suara sahabat yang dikasihi, dalam lenggok dalam style bacaan masing-masing.

    Teruskan bersahabat dengan Al-Quran. Moga ia menjadi teman kita di alam barzakh. SELAMAT HARI RAYA IDUL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

    

    

Isnin, 17 April 2023

SELAMAT PERGI SAHABAT

     HATI berkira-kira mahu menjemputnya untuk ke majlis walimatul 'urus anakanda tercinta. Seingat aku rasa-rasanya belum lagi aku menghantar kad kepadanya. Entah kenapa tertinggal pula namanya dalam senarai jemputan.

    


Tiba-tiba aku dikejutkan oleh pesanan ringkas yang masuk sebaik-baik selesai berbuka Maghrib kelmarin.. "Dah tau ke... perkhabaran duka ustazah Nor telah kembali ke rahmatullah petang tadi." Tergamam aku dibuatnya. Dalam sebak yang teramat, aku mengucapkan terima kasih kepada Kak Zan atas info tersebut. Inna lillahi wainna ilaihi rajiun...

    Sungguh terkilan rasa hati. Sudah beberapa kali mahu menziarahinya, namun terhalang. Ada sahaja urusan lain yang mendahului. Semalam. pagi-pagi lagi aku berkunjung ziarah ke rumahnya. Sebaik-baik tiba dan melafazkan salam, aku melangkah masuk. Kelihatan beberapa orang lelaki sibuk menggantung tabir. Aku bersalam dengan beberapa orang yang kukira mungkin sanak saudaranya.

   


Hanya dua orang yang benar-benar kukenali. Kedua-duanya anak arwah. Salah seorangnya merupakan bekas muridku dahulu. Di sebalik tabir, ada beberapa orang wanita. Kelihatan Hjh Norhapishah bertugas menguruskan jenazah. Kak Zan juga ada di situ. Lambaian tangannya kubalas segera.

    Tanpa menghiraukan sekitar, aku membuka naskah Surah Yaasin dan memulakan bacaan. Hati berbaur sayu. Terasa pelupuk mataku membasah. Aku mengambil peluang menghampirinya setelah pasti tiada lagi pengunjung lelaki berada di ruang berkenaan.

    Sebaik-baik tiba di sisi jasad, kuselak perlahan-lahan selendang yang menutupi wajahnya. Allahu akbar, manis sekali! Ya Allah, ampunilah dia, kasihanilah dia. Air mataku tumpah jua. Telah lama aku tidak menatap wajah itu, iaitu semenjak aku ditukarkan ke sekolah lain. Padahal rumah kami tidaklah jauh sangat jaraknya. Rasa bersalah menguasai diri. Setelah pemergiannya barulah aku sampai di terataknya.

    Memang sungguh hatiku tertanya-tanya kenapa sejak kebelakangan ini namanya tidak tersenarai dalam group whatsapp tersebut. Kebiasaannya dialah yang menjuarai bacaan. Sekejap sahaja telah sampai ke juzuk seterusnya. Silih berganti ke hadapan. Aku sendiripun tidak mampu secepat itu. Walaupun sepasang kakimu telah pergi terlebih dahulu, namun engkau mampu berlari sepantas itu dalam pembacaan kalam Allah. Subhanallah...

    Rupa-rupanya engkau meninggalkan kami terus, dan pergi menemui-Nya. Sesungguhnya ujian di dunia ini berjaya engkau lepasi dengan penuh sabar. Dengan tenang engkau pergi meninggalkan kami...setenang raut wajahmu.

    Selamat pergi sahabatku, Ustazah Norasiah binti Mat Sharif. Mudah-mudahan kalam Ilahi yang menjadi temanmu selama di dunia ini, kini menjadi penemanmu di taman barzakh. Kehilanganmu memberi inspirasi kepada kami yang ditinggalkan.

    Ya Rab, temukanlah kami di sana nanti. Group Al-Quran di hatiku kehilangan seorang sahabat yang istiqomah berbicara dengan kalam-Mu Ya Allah. 24 Ramadan menjadi saksi kepulangannya ke persinggahan seterusnya, sebelum menuju ke negeri abadi.


26 Ramadan 1444H
air mata ini banyak yang tumpah,
tatkala menulis catatan ini.
Berbahagialah di sana, sahabatku Nor.

    

Selasa, 11 April 2023

HIKMAH RAMADAN

 

    ALHAMDULILLAH, syukur dipanjatkan kepada-Mu Ya Rab kerana mempertemukan suamiku dengan bekas gurunya yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Tok Perdana. Kini sekolah ini dikenali sebagai SMK Tok Perdana.

    Cikgu Jamaliah empunya diri, bersama suami tercinta yang merupakan saudara kepada suamiku. Rancak mereka berbual, sedangkan aku hanya sekadar memerhati. Khusyuk mendengar kisah mereka. 

    Kenangan berpuluh tahun itu disegarkan kembali dengan pertemuan singkat kelmarin. Betapa daya ingatan Pak Din begitu kuat menelusuri kehidupannya masa lalu, sedangkan kekuatan fizikal makin berkurangan. 

    Banyak kisah yang diungkap, mengenang kembali tali persaudaraan dan berusaha mengingat semula sejarah silam. Tercari-cari saki baki saudara-mara yang masih ada.     


    Usia sudah semakin lanjut, Cikgu Jamaliah dan Pak Din meniti kehidupan yang berbaki dengan ceria nampaknya. Tidak ada yang membimbangkan, kelihatannya tetap bersyukur dengan rezeki dan impah kurnia yang Allah titipkan. 

    Mudah-mudahan kalian berdua dianugerah Allah kesihatan yang baik, dipanjangkan usia serta dapat menabur kebaikan untuk sesiapa sahaja. Akhir kalam, terima kasih Pak Din menghadiahkan kami 3 botol jus durian belanda. Moga dimurahkan rezeki selalu.

    Sempat juga suami memberi khidmat kecil kepada mereka berdua dengan membantu menanam bangkai kucing yang baru sahaja mati. Moga kehidupan dua insan ini sentiasa dalam peliharaan Allah SWT.

    Terima kasih cikgu!

Sabtu, 8 April 2023

INSAN-INSAN YANG DIINGATI


    MENGHADAM buku ini menjadikan hati diketuk pilu. Kenangan bersama insan yang pernah bersama penulis di dalam buku ini menjadikan kisah ini ditulis dengan begitu teliti.

    Perjalanan hidup kita tidak sama antara satu sama lain. Aku mengenang kembali pertemuan dengan insan-insan yang pernah bersama berada dalam hidupku. Kenangan indah bersama Ezan selama 16 tahun di sekolah yang sama begitu mengesankan. Semoga ilmu yang kaucurahkan kepada anak didik menjadi pahala berganda buatmu.

    Memori bersama salah seorang murid kelasku yang pergi dalam usia yang masih muda begitu menyentuh hati guru-guru. Kau pergi lebih dahulu daripada kami. Moga bahagialah kau di sana.

    Kepada ahli keluarga yang telah mendahului kami, moga kita dapat bersua kembali di suatu hari nanti. Insya-Allah. Memori di kampung tidak pernah terpadam dalam kamus hidupku. Kisah-kisah waktu kita bersama dahulu, disulami kenakalan dan keberanian kita... mekar di ingatan.

    Ada ketikanya air mataku menitis tatkala membaca karya rakan penulis. Semuanya kisah masa lalu yang sukar dilupakan. Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi. Kami yang tinggal ini merupakan bakal jenazah yang akan turut melangkah ke sana.

    

Ahad, 2 April 2023

BAS DAN PERMAINAN RAKYAT

MEMORI yang tak mungkin terpadam (setakat aku menulis hari ini).

    Membaca pengalaman rakan penulis dalam karya mereka berupa pengalaman peribadi ketika menaiki bas suatu ketika dahulu ... begitu mengasyikkan. Ada beberapa babak yang ada persamaannya dengan pengalamanku dahulu.

    Lebih mengujakan kerana ada seorang penulis menceritakan secara lebih detail tentang permulaan menaiki bas sehinggalah waktu turun bas. Kupasan yang masih jelas di bayangan mata bagaimana keadaan di dalam bas, watak-watak utama seperti pemandu, konduktor dan checker. Jelas sungguh penceritaannya bagaimana rupa bentuk tiket dan gerak kerja yang dilakukan oleh konduktor bas. Susunan duit di celah jari-jarinya bagai ternampak-nampak. 

    Kenal sangat kami dengan bas mini, bas loncat dan bas Seri Jaya. Mungkin ada persamaan pengalaman kami yang kini berusia dalam lingkungan 50 dan 60an. Kenangan tertinggal bas, mengejar dan ternanti-nanti bas begitu sinonim dengan penumpang bas seperti kami. Istilah sardin, bergayut, diselubungi pelbagai jenis bau sedikit melemaskan. Apatah lagi dengan sikap pemandu yang bermacam gelagat... ada ketikanya menakutkan. Namun amat beruntung jika bertemu dengan pemandu yang berhemah.

    Selesai menghadam kisah bas, aku menelaah pula permainan rakyat. Sejarah kisah silam yang kami nikmati bersama rakan-rakan seangkatan begitu menyeronokkan. Hidup bermasyarakat disemai sejak kecil melalui permainan. Ramai dalam kalangan anak sezaman kami yang amat kreatif dengan mencipta kepelbagaian permainan dengan cara tersendiri. Hidup perlu berdikari dan rajin meneroka demi mencapai matlamat. Namun akhirnya setelah penat bermain, pasti akan pulang ke rumah sebelum maghrib menjelma!