Rabu, 31 Julai 2013

BEBERAPA HARI SAHAJA LAGI.......

Hatiku diketuk pilu.  Terasa pantasnya masa berlalu.  Beberapa hari sahaja lagi Ramadhan itu akan berlalu pergi.  Sedar tak sedar kita telah berada dalam lingkungan berpuasa fasa ketiga.

Hati makin dijengah sendu tatkala dendangan lagu raya mula mewarnai suasana.  Guru Muzik telah beberapa kali mengajar lagu raya kepada murid-muridnya.  Entah kenapa tahun ini begitu sebak terasa........       seolah-olah Ramadhan itu tiada ertikah kepada mereka?  Tidak ada lagu berkaitan puasa didendangkan.  Jika ada pun hanya kumpulan-kumpulan nasyid sahaja yang ambil peduli tentang Ramadhan ini.

Tika Ramadhan masih dihitung harinya, dendangan lagu raya berkumandang di udara.  Ada yang kian sibuk menantikan Syawal tiba tatkala sebilangan insan prihatin terhadap Ramadhan melipatgandakan usaha menambah saham di bulan mulia ini.  Sepuluh malam terakhir ini begitu besar maknanya kepada mereka.  Perlu diraih dan direbut peluang keemasan itu.  Namun mengapakah terkinja-kinja sangat meraikan kedatangan raya hingga melupakan kebesaran dan kemuliaan Ramadhan?

Jarang sekali kedengaran lagu Ramadhan dialunkan.  Semuanya tenggelam dalam runtunan nafsu menanti hadirnya hari raya.  Jikalau adapun barangkali deejay Radio IKIM mungkin mengerti makna Ramadhan ini.  Sejuk rasa hati mendengar lagu-lagu yang meraikan Ramadhan disiarkan.

Lagu kumpulan Rabbani atau Opick sedikit mengubati resah di hati.  Terbuai dengan pujian terhadap bulan mulia penuh berkat ini. Pusat beli belah di luar sana usah dikiralah hebatnya.  Bagaikan menyambut lebaran itu amat besar maknanya daripada Ramadhan yang sedang dilalui.  Gandaan pahala yang dihidangkan dibiarkan sepi begitu sahaja.  Amat malang sekali bagi kita.

Belum pasti Ramadhan akan datang dapat kita temui.  Justeru berhabis-habisanlah kita menerima hadirnya kali ini seakan ini merupakan Ramadhan terakhir buat kita.  Bukanlah bermakna hati tidak mahu menerima datangnya Syawal, cuma sedikit terkilan dengan sikap manusia yang tidak endah akan banyaknya peluang yang ditaburkan sepanjang bulan istimewa ini.  Bukan mudah untuk kita mendapat peluang begini lagi.  Ya Allah, janganlah ini merupakan Ramadhan terakhir buat kami.  Mohon sangat-sangat padaMU agar mempertemukan kami lagi di Ramadhan akan datang........ amin......


Jumaat, 26 Julai 2013

BELAJARLAH BERPUASA, SAYANG................

"Cikgu, dia dah enam hari tak puasa...." adu Iqbal.

"Tak cikgu........... dah dua belas hari saya tak puasa.."  akui dirinya.  Aku menahan diri, seakan mulutku mahu berkata-kata, namun segera kukunci.  Tak pasal-pasal nanti pahala puasa terbang entah ke mana!

"Hari ni baru saya puasa...." tambahnya lagi.

"Ok...... cuba sampai Maghrib ya," pujukku.  Dia hanya mengangguk sambil mempamerkan senyum di wajahnya.  Rasa kasihanku menerjah tiba-tiba.  Anak ini kalau betul acuannya, insyaAllah boleh berjaya.  

Sejak kebelakangan ini kerja rumah yang kuberi sering diabaikan.  Tulisan pun kian hari kian tidak kemas seperti selalu.  Mengapa ya???  Malahan sejak Ramadhan ini nampaknya kerap ponteng sekolah.  Hari ini ada....... esok tak ada pula. Dalam seminggu pasti ada hari yang dia tidak hadir.  Alasannya nanti.......  bangun lambat, tak sedar, dan alasan lain yang kurasa tak boleh kuterima.  Hatiku sering berteka teki sendiri.

Belajarlah berpuasa sayang, jangan tunggu dah besar nanti baru nak puasa.  Masa itu nanti bukan mudah nak mendidik diri.  Jadikanlah kawan-kawan yang baik sebagai teladan. Belajar bersusah dahulu sejak kecil, agar nanti menjadi mudah di kemudian hari.  Mudah-mudahan Allah mengurniakan hidayah buatmu.  Jua memberkatimu seisi keluarga.  


Ahad, 21 Julai 2013

10 yang berlalu.....

Sedar tak sedar kini telah melewati sepuluh Ramadhan.  Berlalunya sepuluh Ramadhan bermakna sepertiga Ramadhan kian ditinggalkan.  Bulan mulia penuh barokah terasa amat pantas berlalu.  

Detik-detik malammu begitu mengasyikkan.  Bersama jemaah lainnya, terasa silaturahim bertaut mesra.  Melewati malam-malam seterusnya..... wajah-wajah itu kian kerap menyapa, menyatu hati.  Ditambah lagi dengan bacaan imam jemputan yang fasih menghafaz 30 juzuk.  Membacakan ayat-ayat cinta yang tak siapa boleh menciptanya.  Kalamullah yang tiada tolok bandingnya.

Namun keindahan malam-malam begitu acapkali diganggu oleh dentuman meriam dan mercun yang dilepaskan oleh tangan-tangan manusia durjana. Ada kalanya mengejutkan jemaah, lebih-lebih lagi yang tua.  Kasihan mereka.

Islam tidak mengajar begitu caranya meraikan Ramadhan yang indah.  Malah bukan begitu budaya yang diajar oleh Rasulullah kekasih Allah.  Membeli bunga api ataupun mercun, kemudian membakarnya, mendengar bunyi yang membingitkan, bersorak penuh keriangan........... apalah maknanya.  Ibarat mengeluarkan wang lantas membakarnya........... sama sahaja!  Pembaziran yang keterlaluan.  Tidakkah membazir itu sahabat syaitan?

Semua maklum bahawa syaitan diikat dalam bulan mulia ini.  Jika benar begitu, ini bermakna tingkah laku syaitan itu telah sebati dengan manusia itu sendiri.  Tahu baik buruknya, namun masih alpa.  Faham sangat erti membazir..... namun tiada usaha mengekang hawa nafsu untuk mengelakkan semua itu.  Tewaslah kita nampaknya!
 

Sama-sama kita menjaga perut, mengekang hawa nafsu tika makan.  Namun tiba saat berbuka ...... seakan lupa semua itu.  Malah terus melupakan pesanan Rasulullah, iaitu makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Tidak kasihkah kita kepada baginda?  Baginda sering mengingatkan kita.  Malah sehingga hampir saat kewafatannya pun, baginda masih ingat pada kita!  Tapi kita bagaimana?  

Ramadhan kian berinsut pergi.....  telah sempurnakah hari-hari yang kita lalui.  Tercapaikah tarbiah mendidik hati nurani.  Mudah-mudahan Ramadhan yang berbaki dapat kita sama-sama syukuri.  Bukan mudah untuk kita temui bulan begini.  Atas izin limpah rahmatNYA maka kita dapat sama-sama bertemu Ramadhan kali ini.  Terima kasih Ya Allah......

Jumaat, 5 Julai 2013

....................PERISTIWA SUBUH JUMAAT

"Salam, rumah jiran kita  ............ terbakar subuh tadi, ziarahlah ya"...... begitulah bunyi mesej yang kuterima dari suami.  Tanpa berlengah aku mengenakan tudung.  Adik kuajak sama.  

Tak sampai pun lima minit kami sudah sampai di tempat yang dituju. Kelihatan ramai jiran memenuhi halaman.   Allah Ya Allah...... mataku menangkap tepat ke bumbung rumahnya.  Kesan kebakaran kelihatan ada di seluruh tempat.  Cuma dinding rumah masih kukuh berdiri.

Aku menapak sekeliling memerhati di setiap bilik dan ruang.  Tak kusangka hampir keseluruhan isi bilik diratah api yang meraja subuh tadi.  Cuma bahagian hadapan rumah kelihatan seperti sediakala.  Dua buah kereta sempat dibawa keluar.  Syukur alhamdulillah anak-anak semuanya selamat.

Aku bersalaman dan memeluk Kay...... matanya membengkak, kesan tangisan sejak subuh tadi.  Aku turut sebak, namun kubisikkan kata-kata semangat untuknya.  Kukira ini ujian ketiga yang besar Allah beri kepadanya.  

Masih kuingat lagi....... rumahnya pernah ditenggelami banjir hampir takat pinggang pada tahun 2008 lalu.  Ujian besar kedua pula ialah mereka sekeluarga terlibat dalam kecelakaan jalan raya.  Menurut jirannya kereta yang mereka naiki remuk teruk.  Sesiapa yang melihatnya mungkin menjangkakan tiada seorang pun yang terselamat.  Namun kuasa Allah.......... tak siapa boleh mengatasi. 

Aku merenung anak-anaknya yang cukup kukenali, anak-anak yang bersekolah di tempat ku mengajar.  Yang sulung di kelas bersebelahan, Pendidikan Khas. Manakala dua lagi di kelas perdana.  Anak-anak yang telah memberi sumbangan besar menaikkan nama sekolah, mewakili sekolah dalam beberapa acara yang dipertandingkan.  Medal sukan yang baru diperoleh semalam pun mungkin terkorban dalam kebakaran tersebut.

Sebelum pulang kubisikkan kepada Kay, "Bersabar.....mungkin ada hikmah di sebalik musibah atau ujian ini...."   Sesungguhnya mereka tergolong dalam golongan orang-orang yang dikasihi Allah.  Allah memberi ujian kepada sesiapa dalam kalangan umatNYA yang mampu menerima ujian tersebut.  Mudah-mudahan ujian itu menjadikan mereka semakin dekat denganNYA.  Semakin mengingatiNYA.  Malah menjadikan mereka lebih sabar dan tabah dalam meniti perjalanan hidup ini.  

Mudah-mudahan Allah menggantikan yang hilang itu dengan yang lebih baik lagi sama ada di dunia atau di akhirat nanti.  



Khamis, 4 Julai 2013

.................................

Pagi Isnin minggu ini aku serta warga KGSS dikejutkan dengan berita sedih tentang kemalangan yang menimpa bekas anak muridku.  Kejadian berlaku hari Ahad di Teluk Senangin.  Dalam kejadian, dia dan bapa saudaranya mati lemas.  Dan pagi tadi aku menatap akhbar keluaran semalam yang ditunjukkan oleh rakan sekerjaku.  Memang sah dialah anak murid yang pernah kubimbing suatu ketika dahulu.

Tahun lepas dia sekelas dengan anakku di Tahun 6.  Walaupun masih sama sekolah dengan anakku di sekolah menengah pada tahun ini, namun mereka berada di kelas yang berlainan.  "Pagi tadi cikgu buat kutipan untuk Amirul...." kata Bang Chik memaklumkan tentang kejadian yang berlaku di sekolahnya pada hari berkenaan.

Mengenang kembali saat kami bersama beberapa tahun lalu, walaupun dia agak nakal.........  namun cepat dapat apa yang kuajar.  Suka mengusik rakan sekelas, namun tidak berdendam atau ambil pusing kiranya aku menegur sikapnya.  Dia berkulit cerah, berambut kerinting.  Semuanya kembali segar di ingatan.  Mudah-mudahan dirimu tergolong dalam kalangan mereka yang beriman.  Ramadhan kali ini sudah tentu hati bondamu sedikit tersentuh kerana kehilanganmu. Namun begitulah ketentuan Ilahi.   Sesungguhnya dari Allah engkau datang dan kepadaNYA jualah engkau kembali.  Semoga Allah mengurniakan kesabaran dan kekuatan pada bondamu.  Amin............