Rabu, 26 November 2014

SAHABAT AYAHKU

Tengah hari Jumaat 21 November itu kuterima panggilan telefon dari ayah.  Hari itu merupakan hari terakhir sekolah, hanya beberapa minit sahaja lagi waktu akan berakhir.  Sahabat baik ayah telah menemui pencipta-NYA.  Begitu khabar yang kuterima.

Petang itu aku bersama Angah dan suami bertolak ke Batu Gajah untuk mengambil ayah.  Biarpun mungkin wajah ustaz tidak dapat kami tatapi buat kali terakhir, namun dapat bertemu keluarganya sudah memadai.  Tambahan pula ayah begitu rapat dengan ustaz.

Dalam perjalanan, kami singgah untuk mengambil Kak Alang di rumah sewanya di Kuala Kangsar.  Perjalanan mengambil masa agak lama.  Melewati jam lapan malam kami tiba di perkarangan rumah ustaz.  Kami dipersilakan masuk, namun rasa lebih selesa berbual di luar sahaja.

Ustaz Akmal dan iparnya menyambut kami.  Tatkala sedang ayah dan suami berbual tentang sejarah ustaz, Ustazah Mariam muncul dengan berkerusi roda.  Uzur nampaknya beliau.  Bicaranya perlahan dalam batuk-batuk.  Ustazah yang selalu keluar masuk hospital, tapi ustaz yang pergi terlebih dahulu.  Begitulah ketentuan Ilahi, tak siapa boleh menolak atau menangguhnya.

Aku hanya banyak mendengar.  Mendengar bicara ayah........ seolah ayah begitu rapat dengannya.  Banyak yang ayah kongsikan bersama ustaz, walaupun ayah bukan orang besar dalam jemaah. Mungkin barangkali pengalaman ayah di bidang politik membuatkan mereka begitu rapat, tambahan pula ustaz sering mengadakan kuliah ataupun pengajian di rumah ayah dan masjid berdekatan.  

Dalam beberapa perkara, ustaz sering meminta pandangan ayah.  Banyak yang ayah pelajari daripada ustaz.  Mungkin banyak perkara juga yang mereka kongsikan bersama.  

Kali terakhir bertemu dengan ustaz ialah semasa walimatul urus dua orang anaknya, dalam tahun ini juga.  Lupa pula aku bila tarikhnya.  Ustaz menyambut tetamu yang hadir, sedangkan ustazah hanya duduk menanti. Berkumandang nasyid Al Qasam berulang kali.  Penuh semangat kami mendengarnya.

Sebaik-baik kami melangkah meninggalkan rumah ustaz pada malam itu, sebuah kereta mewah meluncur masuk.  Rupa-rupanya anak murid ustaz, yang datangnya dari Melaka.  

Suamiku memandu dengan berhati-hati meredah malam yang semakin pekat.  Kenangan bersama ustaz tak mungkin dapat dilupakan.  Sumbangan beliau begitu besar dalam jemaah dan masyarakat.  Perjuangannya memartabatkan Islam sejak dulu hingga saat nyawanya diambil begitu mengujakan.  Sepuluh tahun usia ayah lebih tua dari ustaz, begitu cerita ayah.  Pengalaman indah dan bermakna ayah ketika bersama ustaz diceritakannya kepada kami dalam perjalanan pulang.

Jumaat, 14 November 2014

TERIMA KASIH, SAHABAT

Terima kasih duhai sahabat......


Bertemu denganmu di daerah ini
Berbunga sebuah keakraban
Dalam satu rasa satu hati
Mencanai erti sebuah pengorbanan

Terima kasih duhai sahabat......
Dalam pengisian penuh bermanfaat
Mengenal erti kesungguhan
Mengadun sama kepayahan
Buat anak-anak bakal pewaris masa depan

Terima kasih duhai sahabat.....
Kerana sudi menyelami bersama
Kerana sedia berkongsi rasa
Walau kita dianugerahkan kekuatan yang berbeza
Namun tetap sama di sisiNYA

Kalau esok ditakdirkan kita tidak bersama
......perjuangan mesti diteruskan
......perjalanan tidak terhenti di sini saja
......dan tidak ada titik nokhtahnya

Cuma yang ada.....
kenangan di ingatan
tersemat dalam lipatan sejarah
saat kita merasai susah 
waktu mengecap nikmat indah
hendaknya tidak terus hilang ditelan zaman

Terima kasih duhai sahabat......
kerana turut sama mewarnai perjalanan hidup ini.

Sabtu, 8 November 2014

HATI SEORANG GURU

Sewaktu aku sedang duduk-duduk mengisi maklumat tugas yang perlu diselesaikan, telingaku menangkap akan perbualan yang kukira patut didengar oleh mereka di luar sana.  

Dalam kesibukan dan kekangan waktu yang menghantui, suara hati itu berbicara tentang indahnya kehidupan seorang guru pada suatu waktu dahulu.  Betul, memang tidak dinafikan!  Ketika itu kasih seorang guru terhadap muridnya tidak berbelah bahagi.  Mendidik saban waktu dalam situasi yang indah, dihiasi penuh warna-warni.  Kemesraan yang mantap, memutik kasih yang diharap.

Tapi itu dulu.............  Dan kini tika semuanya menghambat waktu, pertambahan tugas kian ketara, semua jadi tak menentu.  

Apa tidaknya, tugas utama memberi didikan kepada mereka sudah dicuri oleh amanah lain yang datang tak tentu masa.  Semua mencanak hadirnya. Perlu diselesaikan segera.  Tugas-tugas perkeranian mohon diselesaikan.  Serba serbinya terpaksa digalas. Hingga merenggut sedikit demi sedikit cinta yang mekar berbunga.  

Dalam keterpaksaan, tugas itu diselesaikan.  Namun natijahnya, kian hari hati jadi kian tawar bila mana pertambahan tugas kian ketara hingga mengkesampingkan fokus utama memberi didikan dan bimbingan terhadap anak-anak yang memerlukan.  Kekadang tumpuan terhadap anak-anak ini agak terganggu dengan munculnya tugas lain secara tiba-tiba.  Tambahan pula kiranya ia menuntut untuk diambil tindakan segera.

Dalam waktu yang sama, keputusan peperiksaan anak-anak perlu mencapai sasaran.  Mesti ada peningkatan.  Mengharapkan agar mereka lulus seratus peratus. Boleh membaca, menulis dan mengira dalam tempoh paling awal.  

Memang semua itu boleh guru-guru lakukan, insha-Allah.  Namun sama ada sepenuh hati atau separuh hati....... tidak kita ketahui.  Memanglah niat untuk mendidik itu mulia.  Namun bila guru-guru dihenyak dengan beban tugas melampau, sedikit sebanyak emosinya mungkin terganggu.  Tidak hairanlah dalam kalangan guru ada yang akhirnya stress, mengalami gangguan perasaan, dan akhirnya menjadi penghuni hospital sakit jiwa atau hospital bahagia!  Ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

Minat terhadap profesion ini mungkin akan menurun sekiranya kebajikan guru tidak diberi perhatian sepenuhnya.  Bukanlah semua tugas yang diberi itu mohon dielakkan, cuma berpada-padalah dalam memberi kerja tambahan kerana ada ketikanya guru-guru terpaksa memberhentikan sementara PdP demi menyahut tugasan lain yang mendesak.  Wajarkah sedemikian?  Kasihan anak-anak yang mengharap.  

Guru-guru bukan bekerja untuk menghasilkan barangan keluaran kilang.  Malahan setiap anak itu berbeza keupayaannya untuk menerima apa yang diajar.  Ada yang cepat, ada yang lambat.  Dan perlu sangat-sangat memahami bahawa setiap insan itu berbeza penerimaannya terhadap apa yang disampaikan oleh guru. 

Kita dikurniakan dengan kelebihan dan kehebatan tertentu yang Allah anugerahkan.  Kalau pun mungkin bidang akademik ini ada yang sukar dikuasai, itu bukan bermakna bahawa anak-anak itu gelap masa depannya.  Manakala yang pandai hari ini pun belum pasti lagi mereka bijak pada masa akan datang.  Adakah pasti mereka yang berjaya hari ini akan berjaya dan cemerlang juga di masa hadapan?  Namun yang pasti, mereka yang sedar bahawa diri adalah hamba Allah, insha-Allah mereka itu yang akan berjaya di dunia malahan di akhirat walaupun tak punya wang berjuta, harta yang melimpah ruah.  Tapi sering menyedari bahawa segalanya itu bukan milik kita.