Tengah hari Jumaat 21 November itu kuterima panggilan telefon dari ayah. Hari itu merupakan hari terakhir sekolah, hanya beberapa minit sahaja lagi waktu akan berakhir. Sahabat baik ayah telah menemui pencipta-NYA. Begitu khabar yang kuterima.
Petang itu aku bersama Angah dan suami bertolak ke Batu Gajah untuk mengambil ayah. Biarpun mungkin wajah ustaz tidak dapat kami tatapi buat kali terakhir, namun dapat bertemu keluarganya sudah memadai. Tambahan pula ayah begitu rapat dengan ustaz.
Dalam perjalanan, kami singgah untuk mengambil Kak Alang di rumah sewanya di Kuala Kangsar. Perjalanan mengambil masa agak lama. Melewati jam lapan malam kami tiba di perkarangan rumah ustaz. Kami dipersilakan masuk, namun rasa lebih selesa berbual di luar sahaja.
Ustaz Akmal dan iparnya menyambut kami. Tatkala sedang ayah dan suami berbual tentang sejarah ustaz, Ustazah Mariam muncul dengan berkerusi roda. Uzur nampaknya beliau. Bicaranya perlahan dalam batuk-batuk. Ustazah yang selalu keluar masuk hospital, tapi ustaz yang pergi terlebih dahulu. Begitulah ketentuan Ilahi, tak siapa boleh menolak atau menangguhnya.
Aku hanya banyak mendengar. Mendengar bicara ayah........ seolah ayah begitu rapat dengannya. Banyak yang ayah kongsikan bersama ustaz, walaupun ayah bukan orang besar dalam jemaah. Mungkin barangkali pengalaman ayah di bidang politik membuatkan mereka begitu rapat, tambahan pula ustaz sering mengadakan kuliah ataupun pengajian di rumah ayah dan masjid berdekatan.
Dalam beberapa perkara, ustaz sering meminta pandangan ayah. Banyak yang ayah pelajari daripada ustaz. Mungkin banyak perkara juga yang mereka kongsikan bersama.
Kali terakhir bertemu dengan ustaz ialah semasa walimatul urus dua orang anaknya, dalam tahun ini juga. Lupa pula aku bila tarikhnya. Ustaz menyambut tetamu yang hadir, sedangkan ustazah hanya duduk menanti. Berkumandang nasyid Al Qasam berulang kali. Penuh semangat kami mendengarnya.
Sebaik-baik kami melangkah meninggalkan rumah ustaz pada malam itu, sebuah kereta mewah meluncur masuk. Rupa-rupanya anak murid ustaz, yang datangnya dari Melaka.
Suamiku memandu dengan berhati-hati meredah malam yang semakin pekat. Kenangan bersama ustaz tak mungkin dapat dilupakan. Sumbangan beliau begitu besar dalam jemaah dan masyarakat. Perjuangannya memartabatkan Islam sejak dulu hingga saat nyawanya diambil begitu mengujakan. Sepuluh tahun usia ayah lebih tua dari ustaz, begitu cerita ayah. Pengalaman indah dan bermakna ayah ketika bersama ustaz diceritakannya kepada kami dalam perjalanan pulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan