Jumaat, 5 Disember 2014

LAMA SUNGGUH TAK JUMPA!

Sebaik-baik menuruni kereta, aku segera menuju ke kedai buku.  Di hadapanku tiga wanita bangsa Cina berlalu di hadapanku.  Tanpa diduga pandangan kami bertentang.  "Eh, Puan Tieh!". Kami bersalaman. Berpelukan.  Erat.  Lama sungguh kami tidak bersua.

Wanita berbangsa Cina berusia melebihi separuh abad itu masih seperti dulu.  Kami berbicara sebentar cuma.  Beliau mesra macam dulu.  Menurutnya sudah tiga tahun lebih beliau pencen.  Hendak ke kedai sebelah menurutnya.  Kedai yang menjual "Bird Nest".  Dua orang rakannya telah meninggalkannya di belakang.

Semasa aku membongkok untuk menanggalkan sepatu, mataku tidak lekang dari memandang tiga sosok tubuh wanita Cina itu.  Jelas kedengaran perbualan mereka dalam bahasa Cina sambil mata mereka memandang kepadaku.  Aku hanya senyum sambil melambaikan tangan.  Barangkali Puan Tieh memperkenalkan siapa aku kepada dua orang temannya itu.

Setelah memberi salam, aku melangkah masuk ke Anamuslimland, kedai di mana aku biasanya membeli majalah dan buku-buku agama buat bacaan kami sekeluarga.  Selesai memilih buku dan majalah serta membuat pembayaran, aku kembali ke kereta.

Fikiranku menerawang semula pada Puan Tieh Nyit Koy....... wanita itu pernah mengajar anak sulungku di Tahun Satu dulu.  Terima kasih Puan Tieh!


Tiada ulasan: