Sewaktu aku sedang duduk-duduk mengisi maklumat tugas yang perlu diselesaikan, telingaku menangkap akan perbualan yang kukira patut didengar oleh mereka di luar sana.
Dalam kesibukan dan kekangan waktu yang menghantui, suara hati itu berbicara tentang indahnya kehidupan seorang guru pada suatu waktu dahulu. Betul, memang tidak dinafikan! Ketika itu kasih seorang guru terhadap muridnya tidak berbelah bahagi. Mendidik saban waktu dalam situasi yang indah, dihiasi penuh warna-warni. Kemesraan yang mantap, memutik kasih yang diharap.
Tapi itu dulu............. Dan kini tika semuanya menghambat waktu, pertambahan tugas kian ketara, semua jadi tak menentu.
Apa tidaknya, tugas utama memberi didikan kepada mereka sudah dicuri oleh amanah lain yang datang tak tentu masa. Semua mencanak hadirnya. Perlu diselesaikan segera. Tugas-tugas perkeranian mohon diselesaikan. Serba serbinya terpaksa digalas. Hingga merenggut sedikit demi sedikit cinta yang mekar berbunga.
Dalam keterpaksaan, tugas itu diselesaikan. Namun natijahnya, kian hari hati jadi kian tawar bila mana pertambahan tugas kian ketara hingga mengkesampingkan fokus utama memberi didikan dan bimbingan terhadap anak-anak yang memerlukan. Kekadang tumpuan terhadap anak-anak ini agak terganggu dengan munculnya tugas lain secara tiba-tiba. Tambahan pula kiranya ia menuntut untuk diambil tindakan segera.
Dalam waktu yang sama, keputusan peperiksaan anak-anak perlu mencapai sasaran. Mesti ada peningkatan. Mengharapkan agar mereka lulus seratus peratus. Boleh membaca, menulis dan mengira dalam tempoh paling awal.
Memang semua itu boleh guru-guru lakukan, insha-Allah. Namun sama ada sepenuh hati atau separuh hati....... tidak kita ketahui. Memanglah niat untuk mendidik itu mulia. Namun bila guru-guru dihenyak dengan beban tugas melampau, sedikit sebanyak emosinya mungkin terganggu. Tidak hairanlah dalam kalangan guru ada yang akhirnya stress, mengalami gangguan perasaan, dan akhirnya menjadi penghuni hospital sakit jiwa atau hospital bahagia! Ini merupakan kenyataan yang tidak boleh dinafikan.
Minat terhadap profesion ini mungkin akan menurun sekiranya kebajikan guru tidak diberi perhatian sepenuhnya. Bukanlah semua tugas yang diberi itu mohon dielakkan, cuma berpada-padalah dalam memberi kerja tambahan kerana ada ketikanya guru-guru terpaksa memberhentikan sementara PdP demi menyahut tugasan lain yang mendesak. Wajarkah sedemikian? Kasihan anak-anak yang mengharap.
Guru-guru bukan bekerja untuk menghasilkan barangan keluaran kilang. Malahan setiap anak itu berbeza keupayaannya untuk menerima apa yang diajar. Ada yang cepat, ada yang lambat. Dan perlu sangat-sangat memahami bahawa setiap insan itu berbeza penerimaannya terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
Kita dikurniakan dengan kelebihan dan kehebatan tertentu yang Allah anugerahkan. Kalau pun mungkin bidang akademik ini ada yang sukar dikuasai, itu bukan bermakna bahawa anak-anak itu gelap masa depannya. Manakala yang pandai hari ini pun belum pasti lagi mereka bijak pada masa akan datang. Adakah pasti mereka yang berjaya hari ini akan berjaya dan cemerlang juga di masa hadapan? Namun yang pasti, mereka yang sedar bahawa diri adalah hamba Allah, insha-Allah mereka itu yang akan berjaya di dunia malahan di akhirat walaupun tak punya wang berjuta, harta yang melimpah ruah. Tapi sering menyedari bahawa segalanya itu bukan milik kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan