Sabtu, 28 Disember 2024

Penghujung Disember

 2024 bakal melabuhkan tirainya. Di penghujung Disember ini adik iparku diberi ujian yang sedikit sebanyak menyentuh hati kami. Pemergian suami tercinta secara tiba-tiba setelah dua minggu tidak sihat. Namun dia reda dengan kehilangan tersebut. Puas hati dalam memberi khidmat terakhir buat suaminya dengan berada sepanjang masa ketika sangat diperlukan. Cuti akhir tahun diisi dengan penuh bermanfaat demi suami tersayang. 

Aku yang sedikit keletihan kerana baru pulang dari program bersama ahli majlis di tempatku menerima perkhabaran duka daripada anak sulungnya dengan rasa sebak. Suaranya kedengaran tenang di hujung talian sedangkan aku menyambutnya dengan sedikit getar. Sehari sebelum itu suamiku memaklumkan tentang kesihatan ayahnya kepadaku. Pada hari berikutnya pula kami menerima sebuah kehilangan tanpa dijangka. 

Usai menunaikan solat zohor kami berkejar ke unit kecemasan di HSM. Di situlah aku melihat wajahnya buat kali yang terakhir setelah meminta izin Nor untuk membuka kain yang menutupi seluruh jasad suaminya. Anak bongsunya kupeluk erat. Debar hatinya dapat kurasakan, bercucuran air matanya. Bersabarlah Dira. Setitik dua air mataku menitis jua. Anak kesayangan ini sememangnya amat rapat dengan ayahnya. Dia yang baharu pulang bersama abangnya daripada membuat laporan kematian di balai polis kelihatan bengkak matanya.

Arwah meninggalkan sepasang cahaya mata. Ramah orangnya. Mudah messra. Keluarga yang sedia membantu tatkala khidmat mereka diperlukan. Sungguh, terkenang aku akan sikap mereka sekeluarga yang ringan tulang. Kami agak rapat, sementelah pula tinggal di kawasan yang sama. Kerap berhubung, malah kadang-kadang terserempak di mana-mana tatkala pergi ke bandar. 

25 Disember engkau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Bersemadilah engkau di taman barzakh. Buat adik Nor, Ajit dan Dira, mak alang harapkan kalian bersabar dan diberi kekuatan dalam mendepani kehidupan mendatang. Sesungguhnya kita juga bakal menyusulnya suatu hari nanti. Sama-sama kita menyediakan bekalan untuk dibawa ke negeri abadi sebelum tarikh kematian itu menjelma. 

Salam sayang dari mak alang buat kalian, moga diberi ketabahan. Sesungguhnya dari Allah dia datang, dan kepadanya dia kembali. Moga Allah mengampuninya.





Tiada ulasan: