Buat teman yang diingati...
Bercerita kisah kita dahulu bagai mengimbau kembali detik-detik silam. Episod kita bersama jelas di ruang mata. Enam tahun kita bersama di SKBG. Kelas-kelas yang namanya sekadar warna-warni. Tidak seperti sekarang.... canggih sungguh nama kelas pilihan tiap sekolah.
Kita bersekolah di bangunan lama bertiang-tiang batu sepemeluk, bertangga dan berlantaikan papan. Tatkala kita berjalan atau berlari, akan berbunyilah tapak kaki kita. Namun bangunan yang berdinding dan berlantaikan papan itu kukuh binaannya. Jendela yang boleh dibuka dan ditutup bercangkuk di tepi mengizinkan pengudaraan yang baik dalam kelas kita. Jika tiba-tiba kipas terhenti berputar, tidak menjadi masalah bagi kami.
Antara kelas ke kelas, kita hanya dipisahkan oleh dinding yang boleh dibuka atau dilipat bagi membolehkan ia dijadikan dewan untuk acara utama di sekolah. Itulah kelas, itu jugalah dewan sekolah. Aku diamanahkan dengan jawatan pengawas perpustakaan. Seronok bukan kepalang kerana aku memang ulat buku. Biasanya kisah penyiasatan menjadi pilihanku. Waktu itu siri Salma, Hardy Boys, tiga sekawan...mengambil tempat di hatiku. Entah berapa banyak buku misteri yang aku telah baca.
Waktu itu hati mula menanam cita-cita untuk menjadi polis atau penyiasat. Emm...zaman budak-budak. Kawan-kawanku ramai juga terdiri daripada anak polis. Yang masih kuingat ialah Dilah, Jinah, Rosni, Noraini, Saadiah, Salina, Sharifah Rosnani....siapa lagi ya? Maaf andai aku tertinggal nama kalian. Aku hanya anak kepala lombong. Ayahku bekerja di lombong bijih di Kg Pisang.
Membesar di Kg Baru Sungai Terap menjadikan aku mengenali rakan-rakan dan jiran yang sama-sama pernah bertemu di tadika. Kami lebih dahulu telah berkenal mesra sebelum melangkah ke darjah satu. Apa yang seronok bagiku ialah suasana sekolah yang begitu kondusif. Tenang dan aman. Sekolahku tidak berpagar. Kami sentiasa dalam keadaan selamat di samping guru-guru dan kaki tangan sekolah yang amat mesra.
Suasana kelas yang tenang walaupun ada seorang dua yang sedikit nakal dan membuat onar di kelas. Sekali cikgu kenakan denda atau menegur, mereka terdiam dan akur sahaja. Begitu hormatnya kami kepada warga sekolah, hatta kepada mak cik dan pak cik kantin, tukang kebun, kerani dan abang peon atau 'budak pejabat'. Masih lagi boleh bertegur sapa dan sesekali berseloroh.
Kebanyakan gurunya mungkin dalam lingkungan usia 40-an dan ke atas. Tidak kelihatan guru-guru muda. Aku beranggapan cikgu yang ramai itu mungkin boleh digelar ibu atau ayah sahaja. Teringat lagi akan Cikgu Che Su, Cikgu Shaharbanon, Cikgu Rosli (perempuan), Cikgu Fatimah Zahra, Cikgu Zul, Cikgu Yang, Mr. Tan, Mr. Ng, Ustaz Alias, Cikgu Rokiah, Cikgu Maziah, Cikgu Ibrahim, Cikgu Sofiah dan Cikgu Ashar. Maaf cikgu, jika ada nama yang tertinggal. Tidak ingat pula aku nama ustazah.
Jika tiba waktu rehat, selain makan di kantin sesekali kami bermain galah panjang di kawasan sebelah rumah guru besar. Kadang-kadang berpeluh-peluh kami masuk ke kelas sebaik-baik kedengaran loceng berbunyi menandakan tamatnya waktu rehat. Mungkin itulah dinamakan belajar sungguh-sungguh, main pun bersungguh-sungguh. Masuk ke kelas kami tumpukan sepenuh perhatian kepada cikgu dan pelajaran yang disampaikan. Dalam ramai-ramai guru itu, ada juga yang agak garang. Namun tidak pernah pula ada kes mendera anak murid. Cumanya mulut sahaja yang bising, terutama guru perempuan.
Di hadapan sekolah ada beberapa batang pokok ketapang yang tinggi menjulang. Di situlah tempat berteduh kami sambil menunggu ayah atau emak datang menjemput. Pergi dan pulang dari sekolah amat membahagiakan. Meninggalkan kawan-kawan dengan lambaian mesra. Kenderaan yang paling banyak waktu itu hanya basikal dan motorsikal. Selebihnya jalan berpimpin tangan bersama ibu masing-masing. Jarang sangat yang berkereta.
Kawan sekelas ada yang tinggal sekampung denganku. Kadang-kadang aku berbasikal ke rumah mereka untuk menyudahkan kerja sekolah yang aku kurang faham. Biasanya ke rumah Adi (Saadiah) atau Dilah Paa. Basikal itu banyak berjasa padaku. Melewati kawasan kampung yang mendamaikan sambil sesekali singgah mengutip buah letup yang ditemui di tepi-tepi jalan. Buah yang cukup masak yang kulitnya berwarna kuning itu manis rasanya. Isinya seakan-akan biji selasih atau buah markisa. Ia sekadar sebesar ibu jari. Diselaputi dengan bulu-bulu halus.
Kawan-kawanku ada yang tinggal di Kampung Pisang, Kg Changkat Belengkor, Kg Batu Dua, Kg Ara Payung, Bemban, Kg Jernih dan selebihnya berhampiran sekolah. Masih adakah lagi kalian di lokasi masing-masing? Atau telah berhijrah? Semoga sihat dan bahagia selalu.
Buat Liza, Dilah Paa dan Oja .....ada rezeki kita jumpa lagi di Batu Gajah. Insya-Allah. Buat Dilah Othman, kalau ada balik rumah mak... beritahu ya. Dulu kita ada Taman Tasik S.M.Noor. Setelah tamat riwayatnya, kini ada Silverlake dan Galeri Lat pula. Kenangan bersama masih kuingat lagi.
11.11 pagi / 23 Julai 2024
Lekiyour, Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan