Hari itu Cikgu Basri naik pangkat, beliau ditugaskan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Sitiawan.... Kami kehilangan seorang pakar bahasa. Beliau sering menjadi rujukan kiranya terdapat persoalan berkaitan Bahasa Melayu. Orangnya banyak pengalaman, banyak tahun mengajar Bahasa Melayu tahun 6.
Selain itu, Cikgu Basri merupakan orang teater. Barangkali Fauziah Nawi, Mior Hashim Manap, Ahmad Yatim....... adalah sahabat sama bidang suatu ketika dulu. Beliau juga mempunyai minat dan kebolehan bermain takraw. Malah menjadi pengadil untuk pertandingan permainan tersebut. Cuma kami di sekolah tidak pernah nampak beliau aktif di sekolah sama ada sebagai tekong atau posisi yang dua lagi.
Itu kisah Cikgu Basri yang lapan belas tahun berkhidmat di sekolah yang aku mengajar sekarang. Aku masih baru di sini, baru sebelas tahun.
Dan siang tadi berita melalui whatsapp........ seorang lagi bakal meninggalkan kami... Cikgu Noor Azrina Mazlan. Beliau juga naik pangkat. Bakal memegang jawatan Penolong Kanan Kokurikulum di SK Seri Samudera. Tahniah buat Ina!!!
SK Lekir akan kehilangan seorang lagi guru yang berdedikasi, mahir dalam bidang IT. Guru Matematik tahun satu, juga guru TMK. Beliau juga guru pengakap yang aktif. Beliau lebih dahulu bertugas di sekolah ini berbanding denganku walaupun usianya lebih muda dariku.
Dan selepas ini sudah tentu Cikgu Norwahidah....... rakan baikku. Sama-sama berkenalan di bidang Pemulihan Khas. Berkenal dengannya menjadikan kami begitu akrab. Banyak ilmu bagaimana cara untuk memulihkan murid yang bermasalah membaca, menulis dan mengira. Bergelumang dengan cabaran dan kesabaran.
Cikgu Wahida memang cukup rajin, dapat menjalankan tugas dengan begitu baik. Pernah memegang jawatan JU Pemulihan Khas daerah Manjung. Apa sahaja tugas yang diamanahkan, akan beliau buat sehabis baik. Beliau akan bersara pilihan.... sedang menghitung hari....
Berturut bulan meninggalkan kami warga SK Lekir...... Cikgu Basri bulan Mac, Cikgu Noor Azrina di bulan April manakala Cikgu Wahida in shaa Allah di bulan Julai nanti... doa kami mudah-mudahan lebih berjaya di tempat baru.
Buat sahabat-sahabat yang dikasihi....
Tika melangkah pergi
Jangan lagi menoleh ke belakang
Kami doakan nanti
Pergilah.... tiada yang menghalang
Tika menapak pergi
Kemaafan yang kami pinta
Barang mungkin tersinggung bicara
Meruntun nurani terusik jiwa
Tiada niat sekelumit jua
Tika terlerai menjauh sudah
Jengahlah sesekali cuma
Kenangan indah senada seirama
Di teratak usang berkongsi rasa
Berpaut kasih bertamu mesra
Melakar sejarah bertahun lama
Dan esok nanti
Carilah kami di celah sinar mentari
Terserlah manisnya sebuah memori
Tiada ulasan:
Catat Ulasan