Jumaat, 27 Mei 2016

RAGAM SEBELUM CUTI

Aishah kelihatan terkebil-kebil sendirian.  Memerah otak membina ayat mudah.  Lama kujeling.  Memerhati gelagatnya.  Sementara menyudahkan semakan terakhir hasil tulisan Rizqan, aku terdengar ...... "Ni macam mana, cikgu....." merayu bunyi suaranya.
  
Fathul di sebelah kiri juga memerlukan bantuan.  Dia kelihatan gelisah sambil bangun menyandar di dinding dengan wajah agak mencuka.  Di hadapanku Aishah yang duduk di baris yang kedua.  Memanggilku sedari tadi.  Mengharapkan pertolongan.  

Walaupun tidak ramai dalam kelas itu, agak sukar mengajar mereka tambahan pada aras pencapaian yang berbeza. Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan kemahiran baru yang diketengahkan.  Benar-benar menguji kesabaran.

Rizqan bangga bergaya.  Orang pertama berjaya menyudahkan tugas yang diamanahkan. Umar Khalid jarang nak bertanya, ikut suka hati membuat kerja sendiri-sendiri.  Boleh membaca, tapi bila membuat kerja-kerja bertulis...... dialah yang paling lambat, ditambah lagi dengan tulisan yang paling menyeksa mata bila melihatnya.

Faziatul Hana yang duduk di hadapanku sering tidak hadir.  Namun cepat dapat apa yang diajar.  Tulisan pun boleh tahan kemasnya.  Manakala Najmi kuberikan kerja yang jauh lebih mudah memandangkan banyak lagi huruf yang belum dikenalinya.

Usai membantu Fathul, aku mendekati Aishah.  Membantunya serba ringkas.  Selebihnya atas usahanya sendiri.  Dan akhirnya...... siap juga kerja yang diberi.  Seorang demi seorang meninggalkan kelas setelah tamat waktu Bahasa Melayu.  Dan peserta akhir keluar dari kelasku ialah Umar.  Puas hati sangat mengajar hari ini.

Malangnya Faris tidak hadir.  Dalam minggu ini sahaja rasanya dua kali dia tidak hadir ke sekolah.  Sepanjang yang aku ingat setiap minggu pasti tak penuh lima hari.  Apalah pula masalah yang dihadapi yang seorang ini......anak yang dipelihara oleh ibu dan bapa saudara.......

Soalan cepu emas untukku hari ini ialah..... "Esok cuti ke cikgu?" dan " Pukul berapa kelas tambahan, cikgu? ".   Tiada pula yang minta kerja sekolah nampaknya hari ini.

Tiada ulasan: