Isnin, 16 Mei 2016

TAKZIAH ZACK

Barangkali aku agak lewat mendapat berita kemalangan yang menimpa suami Zack.......  Dalam keadaan yang tertanya-tanya itu, aku menangkap butir bicara mereka di Pendidikan Khas.....khabarnya 50- 50.....

Pagi Jumaat seperti biasa kami akan bersama-sama membaca Surah Yaasin di tapak perhimpunan.  Namun kali ini yang membezakannya ialah ustaz memaklumkan ..."kita hadiahkan bacaan Yaasin ini juga kepada suami Puan Azira dan Puan Zakiah yang berada di Hospital Manjung".

Tatkala aku berada di kantin, kedengaran mereka berbicara tentang kunjungan ziarah yang akan dibuat secara bergilir memandangkan kelas pendidikan khas yang tidak boleh ditinggalkan tanpa guru dan PPM.

Jumaat pula merupakan satu-satunya hari di mana jadual mengajarku amat padat....  kelas pula memang tidak boleh ditinggalkan.  Lokasi kelasku yang bersebelahan dengan kelas PPKI memudahkan aku menerima khabar berita dari mereka...

Semasa aku sedang mengajar dan membimbing empat orang murid tahun 2, sekitar jam sebelas pagi ......Cikgu Anira singgah di pintu kelasku memaklumkan tentang berita sedih.  Nada suaranya yang sayu...... menceritakan kembali situasi sebenar detik kejadian menimpa.   Keadaan kian menyayat hati apabila doktor menyatakan tiada harapan lagi.  

Menelusuri keadaan  yang dimaklumkan..... aku turut diselubungi sayu.  Sebak meraja di hati.  Kutahan air mata dari terus tumpah.  Pandanganku kabur.

Terkenang akan anak-anak kecil yang belum mengerti apa-apa.  Yang sulung masih di tadika dan yang bongsu rasanya hampir setahun usianya.  Kehilangan seorang ayah dalam usia yang terlalu muda........  ketiga-tiganya lelaki.  

Namun itulah ketentuan Yang Maha Esa.......  tak siapa pun boleh menolaknya,  sesaat pun tak bisa ditangguh.  Dari Allah dia datang, dan kepada-Nya jua pasti kembali.

Zack........ dirimu dipilih untuk menerima ujian sebesar ini. Dia Maha Mengetahui segalanya.  Allah tidak akan bertindak zalim terhadap hamba-Nya.  Engkau dipilih, dan terpilih, semuanya dengan kasih dan rahmat-Nya.  Dia tidak akan menguji dirimu sehebat itu, kiranya engkau tidak mampu bertahan.  

Dan kami yang terkesan..... barangkali cuma mampu memujukmu bersabar.  Bak pepatah.... "Berat mata memandang,  berat lagi bahu yang memikul".  

Yang pergi tetap pergi, dan kita yang tinggal bakal meneruskan kehidupan.  Dan semestinya kita pun bakal bergelar "jenazah" suatu ketika nanti.......Tak siapa yang tahu tarikh keramat itu.

Dirimu masih muda, Zack.....
Teruskanlah meniti laluan hidup ini bersama kami.  Kita sekeluarga saling memahami, sentiasa ada di sisi.  Senang sama kita merasa, susah sama kita kongsikan.  Sesungguhnya ada hikmah di sebalik musibah.  Namun tak siapa dapat menelah.  

Semoga Allah memberimu kekuatan, ketabahan, kesabaran, kecekalan hati dan menjadikan dirimu makin dekat dengan-Nya.  

Tiada ulasan: