Isnin, 14 Ogos 2023

BINGKISAN SAHABAT

    Alhamdulillah, lama menanti terbitnya naskhah ini. Banyak kisah menarik yang diketengahkan oleh para penulis yang menyambut cabaran menulis tentang sahabat mereka.

    Cantik berseri dan berseni kulit bukunya. Sejuk mata memandang. Boleh sahaja kita bersahabat dengan sesiapa asalkan sahabat itu menjadi pendorong ke arah kebaikan. Buat pilihan yang tepat semasa memilih sahabat.

    Siapa sahabat kita, adalah cerminan diri kita juga. Melalui sahabat kita itu jugalah kadang-kadang orang mengenali siapa kita. Bukan mudah untuk menjadi sahabat yang baik. Kita perlu ada kekuatan untuk menjaga banyak perkara. 


     Andainya kita tersilap membuat perhitungan, mungkin sukar untuk membetulkan kepercayaannya kepada kita semula. Jaga hati, jaga lidah dan kena ikhlas demi mempertahankan sebuah persahabatan. 

    Bersabar dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain merupakan kunci utama dalam mengekalkan persahabatan. Jangan sesekali kita menjadi musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan. Lebih buruk lagi jika kita pula menikamnya dari belakang. Di hadapan kita memujinya, namun di belakangnya kita mencaci cerca dan menceritakan keaibannya kepada orang lain.

    Saling tegur menegur kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita, terimalah teguran itu dengan hati yang terbuka. Pertahankan sahabat kita itu dalam apa jua keadaan sekiranya dirinya dianiaya. Berikan dia semangat dan berkongsilah masalah yang dihadapinya tanpa menceritakannya pula kepada orang lain.

    Raikan perbedaan pendapat, dan jangan bertegang leher dalam sesuatu perkara walaupun kita rasakan bahawa kita yang benar. Kemenangan itu tidak penting sekiranya dengan cara itu persahabatan kita kian retak menanti belah.  Bersedialah mendengar pendapatnya walaupun mungkin kita ada pandangan sendiri.

Tiada ulasan: