Jumaat, 28 Julai 2023

PERGINYA SEORANG PEJUANG


 

Biji selasih rendam di cawan,
    Jangan dicampur air kelapa;    
Terima kasih duhai tuan,
    Budimu sukar untuk dilupa.

Penat menjala pulang ke rumah,
    Duduk di pangkin sebentar cuma;
Pencetus pemula menu rahmah,
    Rakyat miskin sasaran utama.

Sabar menanti janji dicanang, 
    Sampai masa jangan dimungkir;
Lembut hati berwajah tenang, 
    Senyuman sentiasa manis terukir. 

Peyek kacang enak dan rapuh,
    Nikmat merasa makanan sihat;
Perjalanan panjang sudah kautempuh,
    Tibalah masa untuk berehat.

Masak kuini di hujung dahan,
    Gugur menimpa pokok keladi; 
Barzakh kini tempat singgahan,
    Sebelum berjumpa negeri abadi.

Ikan kelah dibuat makan,
    Sedapnya isi sama dinikmati;
Moga Allah menilai kebaikan,
    Syurga firdausi sedia menanti.   



ida a.z
lekir 

Tiada ulasan: