Sedia meluang masa dan memberi kerjasama yang baik dalam menjaga amanah yang diberi. Sementelahan diri tidak dapat bersama kerana terpaksa berada di lokasi yang berbeda. Hanya buku-buku yang dapat mengisi ruang rasa peminat karya kreatif.
Alhamdulillah, beberapa naskhah buku telah dibeli oleh beberapa orang peserta program. Terima kasih kepada urusetia yang bertugas pada hari berkenaan.
Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.
Pada hari yang sama, aku menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Siddiq Fadzil yang berlangsng di UniKL Mimet. Direzekikan bertemu kenalan lama di sini sambil menambah ilmu daripada insan hebat.
Peluang keemasan yang direbut dan dikongsi bersama. Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad. Belajar, belajar dan terus belajar selagi hayat masih ada.
Bertemu rakan guru yang masih berkhidmat, juga guru-guru tadika atau prasekolah...... ramai juga yang kukenali. Walaupun memakai mask, mereka tetap mengenali diriku. Yang duduk dekat, dapatlah bersalaman. Yang jauh sekadar melambai tanda ingatan.
Yang memimpin bacaan doa merupakan bekas muridku di suatu ketika dahulu. Jawatannya sekarang ialah Guru Besar salah sebuah sekolah agama di daerah Manjung. Ayahnya turut hadir walaupun dalam keadaan kurang sihat.
Syukur alhamdulillah, ilmu yang diperoleh itu mudah-mudahan bermanfaat bagi kami malah untuk generasi akan datang. Pemikiran insan hebat yang dikupas dan disampaikan oleh penceramah jemputan secara ilmiah.
Sesungguhnya orang berilmu itu dipandang mulia. Namun pastikan ilmu tersebut bermanfaat buat ummah, sesuai dalam setiap apa keadaan sekalipun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan