Sabtu, 9 September 2023

PESISIR PANTAI TANJUNG KEPAH


BERKESEMPATAN menelusuri tepian pantai Tanjung Kepah. Berhajat untuk melihat ombak menghempas pantai. Namun kali ini nampaknya air sedang surut. Selesai minum di warung berdekatan, kami meneruskan perjalanan. Tak sangka pula bertemu beberapa orang pelajar sekolah agama berhampiran semasa kami minum tadi. Sempatlah kami berbual mesra dengan mereka. 

    Suasana pagi amat menyegarkan. Mata asyik benar memerhati ke arah laut di sebelah kiri jalan. Di sebelah kanan pula ada beberapa orang kaki pancing tekun menunggu hasil tangkapan.  Kami kemudiannya melewati kawasan pepohon ru yang menarik perhatian. Tergerak hati untuk melihat dengan lebih dekat, maka kami membelok ke laluan bertar menghala ke tepi laut. Hajat hati untuk melihat dengan lebih jelas suasana tepi laut tersebut.

   Tiba-tiba mata tertancap pada lambaian seseorang. Kumpulan itu sedang berkelah nampaknya. Aku mengecam kereta yang diparkir di situ.  Sahlah bahawa mereka cukup kukenali! Tak sangka Allah mempertemukan kami di situ. Subhanallah. Mata melilau memandang sekitar. Terdapat beberapa buah kereta tidak jauh dari situ. Walaupun sudah lama tinggal di kawasan berdekatan, sekali pun belum pernah singgah di situ. Menarik tempatnya kalau dikomersialkan.

    Kami dipelawa untuk berkongsi rezeki. Walaupun baharu selesai sarapan, kami jamah juga sedikit makanan yang ada. Rezeki jangan ditolak. Orang jauh pula yang datang rehlah bersama keluarga mereka, sedangkan kami baru menyedari akan lokasi tersebut. Walhal tempat tinggal kami lebih dekat berbanding mereka. 

     
Pandangan turut tertumpu pada pengunjung yang datang. Dari kejauhan mereka telah bersiap sedia dengan bekas untuk mengisi hasil hidupan pantai berselut tersebut. Musim kerang menurut mereka, namun tidaklah sebesar mana. Hasil perbualan suami dengan beberapa orang penduduk setempat, kerang cukup besarnya untuk dikutip pada bulan Disember nanti. Namun begitu hasrat itu rasa-rasanya tidak kesampaian kerana ramai yang datang berjemaah tanpa menunggu masa yang sepatutnya. 
  

    Suatu ketika dahulu Tanjung Kepah mewah dengan hasil siputnya. Pelbagai jenis siput mendiami lokasi pantainya. Namun kini... semua itu telah menjauh. Yang tinggal hanya remis, lala, kerang. Gayam pun sudah lama tidak kelihatan. Akibat pencemaran dari sisa lepasan kolam udang berdekatan memungkinkan semua itu terjadi. Lepasan sisa kilang yang terletak tidak jauh dari situ juga sedikit sebanyak turut menyumbang ke arah perubahan yang nyata. Berhijrah ke manakah agaknya mereka?

    Suatu ketika dahulu kami pernah berkelah sambil mencari remis di pantainya. Bertahun-tahun aktiviti itu telah ditinggalkan. Kini jika sesekali singgah pun, sekadar mengambil angin sambil melihat-lihat warga kampung dan nelayan setempat meneruskan aktiviti masing-masing. Ada yang menjala ikan, mencari belangkas, mengutip kerang dan masih ada yang mencari remis. 

    Kerang pun tidak sempat membesar dengan jayanya. Benih-benihnya kini banyak yang menjadi hasil jualan dan pendapatan yang agak lumayan kepada nelayan. Sesekali pantai Tanjung Kepah ini menjadi tarikan peminat kerang yang entah dari mana datangnya. Tatkala itu berbondong-bondonglah mereka hadir. 

    Pokok bakau yang pernah dahulu ditanam di tepian, hanya tinggal bekasnya sahaja yang sesekali kelihatan bagai kawasan perkuburan tepi pantai. Usaha yang menemui kegagalan. Namun ada pihak pencinta alam akan meneruskan hasrat murni untuk mengawal ekosistem pantai ini dari terus menghilang begitu sahaja. Segala-galanya masih di dalam kajian dan perancangan. Mudah-mudahan ia membuahkan hasil yang positif

Tiada ulasan: