Isnin, 12 Jun 2023

SETELAH ENGKAU KUMILIKI

 

PADA mulanya kusangkakan buku yang ditulis oleh sahabat ini merupakan novel biasa. Tidak tergerak hati pun hendak memilikinya. 

    Walaupun naskah ini dimaklumkan oleh tuannya bakal berada di PBAKL 2023, namun aku tidak berkesempatan untuk berusaha mencarinya disebabkan kekangan masa. Maklumlah, dalam keadaan kelam-kabut itu kami sekadar sempat menemukan beberapa reruai pilihan hati.

    Kalau ikutkan hati, mahu juga berlama-lama dan berhari-hari mengunjunginya sambil bertemu sahabat penulis. Itupun tetap bersyukur sangat kerana dapat melunaskan impian anakanda untuk mendapatkan buku idamannya di reruai HA.

    Setelah pulang, aku menghubungi Pn. Umi untuk mendapatkan buku ini. NEELAM IHSAN DAVID judulnya. Bagai ada magnet tatkala aku meneliti kulit bukunya. Sebaik-baik tiba di ribaan, segera kubalut dan mula membacanya. Makin dibaca...rasa bagai susah pula hendak berhenti. Plotnya makin menarik. Malah persoalan demi persoalan timbul.

    Buku lain yang sedang dibaca kutolak ke tepi dahulu. Entah kenapa daya tarikan buku ini begitu mengasyikkan. Tambahan pula kampung tempat aku dibesarkan dipetik di permulaan penulisannya. "Batu Gajah, Malaya...."  Bagaikan penulisnya sengaja memancing hatiku. Allahu akbar!

    Sungguh terasa bagai berada di zaman lalu yang ingin digali semula sejarahnya. Jalan cerita yang menarik penuh dengan fakta begitu padu. Tambahan pula aku memang meminati sejarah. Lokasi yang dinukilkan bagai terbayang di depan mata. Sungguh aku terleka dibuainya.

    Kisah persahabatan yang akrab walaupun berlainan bangsa dan anutan begitu menjentik rasa. Bagai terasa kenangan lama ditayang di mindaku semula. Teringat kembali kawan-kawanku Gunasundari, Shanti, Seat Lee, Nyuk Mei, Pakiam, Siva, Ramarao... di manakah mereka sekarang? Kami terputus hubungan.

    Di akhir pembacaan, sekali lagi aku dikejutkan dengan sejarah rumah agam yang kini hanya kelihatan tiang-tiang batu sahaja. Sementelah akupun memang akan melalui jalan itu sekiranya ingin pulang ke kampung. Memang aku pernah membaca tentangnya.  Kini diungkap pula di dalam buku ini.

    Menelusuri buku ini bagaikan kita dihidangkan dengan fakta sejarah yang tidak boleh dipinggirkan begitu sahaja. Semangat setiakawan dan saling hormat-menghormati digarap begitu kemas. Cantik teknik penyampaian penulisnya. Cukup bernas dan berjaya mencuri hati. 

    Penceritaan tentang kehebatan menimba ilmu pendidikan di luar negara jelas sekali. Rasa bagaikan mahu berkunjung ke lokasi-lokasi yang dinyatakan oleh penulis pula. Lebih membanggakan apabila kampung lamanku diangkat oleh penulis sebegitu baik.

    Sekalung tahniah buat Puan Umi Kalthum Ngah. Hasil karya yang begitu menyentuh hati memikat jiwa. Bagaikan aku melayang jauh mengumpul rentetan sejarah di daerah aku dibesarkan. Tempat di mana ia pernah menjadi pusat pentadbiran suatu ketika dahulu. 

Tiada ulasan: