Kereta diparkir elok-elok di sisi deretan kedai. Aku memerhati keliling sebelum melangkah turun. Mata tertancap pada panggung wayang lama. Ah, lupa pula nama pawagam tersebut. Kelihatan ianya seperti terbiar.
Aku mendapati agak ramai pengunjung menjamu selera di ruangan antara pawagam tadi dengan deretan kedai lama tersebut. Namun tidak pasti bagaimanakah rupa sebenar kedai makan itu kerana keadaannya sedikit berbalam.
Aku mengambil peluang meninjau-ninjau keadaan kedai sambil mengaju pertanyaan kepada adik yang bekerja di situ. Rupa-rupanya tauke kedai merupakan orang Kelantan. Bukannya orang tempatan. Kudapati bangunan dan dinding kedai masih lagi kukuh. Entah berapa tahun usianya tidak pula kuketahui. Cuma aku cukup kenal lokasi itu kerana di kawasan inilah aku dan kawan-kawan sering kunjungi selesai sahaja aktiviti sekolah di zaman 70-an dahulu.
Tapak pejabat itu kini dipenuhi deretan kedai dengan bangunan baharu. Pejabat penghulu telah berpindah lokasinya, aku ternampak kelibat bangunan tersebut semasa dalam perjalanan ke Changkat. Bangunan-bangunan lama sama ada bangunan batu atau papan, masih tersergam indah.
Sejarah lalu tetap menjadi kenangan, lebih-lebih lagi di usia begini. Pekan Lama, meninggalkan memori indah yang sukar untuk dilupakan. Kampung Pisang, gerotak kereta api, Sungai Kinta, lombong bijih, teratai, pasir lombong begitu sebati dalam hidupku suatu ketika dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan