Lagu itu kembali mengisi ilusiku......alunan nasyid yang mengasyikkan.
Dan bertenggek sayu di hatiku...... mengenang pemergian seorang lagi sahabat anakku
Yang terlibat dalam kemalangan di Temerloh malam itu....
Tatkala melewati berita yang masuk di 'group wasap' MANJUNG VOLUNTEERS.....aku teruja dengan kad pengenalan yang ditularkan lantas segera memanjangkan ke group wasap famili. Menatap alamat yang tertera di IC tersebut barangkali anak-anakku boleh membantu membuat pengecaman.
Dan benarlah seperti yang tergerak di hati kecilku........ sahabat Kak Alang sebenarnya. Tidak lupa juga aku turut memanjangkannya di group lain dengan hasrat untuk membantu. Dan tidak lebih dari itu. Ini kerana berita itu benar-benar baru terjadi. Lebih-lebih lagi aku mendapatkannya daripada sahabat baikku dalam group berkenaan. Terima kasih Kak Parizah....
Bermula dari situ bertalu-talu info masuk......soalan demi soalan, pertanyaan demi pertanyaan bertaut. Dan akhirnya membuka laluan mudah untuk mengenali si dia yang sama seusia Kak Alang. Baru 22 tahun....
Sahabat sekerjaku turut membantu. Sementelahan pula saudaranya tinggal tidak jauh daripada rumah bonda mangsa kemalangan tersebut. Setelah sahih berita itu, barulah khabar dimaklumkan. Itupun dengan penuh hati-hati...... Maklumlah khabar yang kurang baik.
Dan penuh sebak......khabar diterima menjadikan hati seorang ibu tidak keruan. Begitulah rakanku mengisahkan......
Dan keesokannya dalam ruang waktu yang ada, kami berkunjung ke rumahnya. Jenazah belum sampai, masih di hospital menurut bondanya...... dalam wajah sayu. Ada saudara yang menguruskannya di sana. Hati ibu mana yang tak remuk, namun pemergian anak yang bongsu ini diterima penuh redho. Sebelum ini anak ke-2 telah meninggal dunia pada tahun 2010 (seingat aku tatkala mendengar luahan hatinya.... antara dengar dan tidak).
Allah ya Allah........ anak-anak terlebih dahulu meninggalkan dunia fana ini. Bonda yang melahirkannya masih dipanjangkan usia.... Maha Kuasa Allah..... Pilu menyelubungi suasana. Kami mohon berundur diri setelah hampir lima belas minit bersama.
Dan lewat petang hari yang sama, sekali lagi kami menjengah tetapi kali ini di tanah wakaf. Kelihatan ramai kenalan Kak Alang turut sama hadir. Aku mencari tempat agak jauh kerana kurang enak dengan asap rokok yang menggila. Tambahan semput kerapkali datang kebelakangan ini.
Setelah talkin berakhir....... kenalan yang hadir menabur segenggam dua hirisan pandan di pusara. Dan terakhir sekali kelihatan si ayah datang menepuk pusara anakanda tercinta. Daun pandan turut ditabur.......dengan wajah sugul.
Apabila tujuh langkah berlalu.....malaikat akan mendatangi. Moga arwah bersemadi dalam tenang dan damai di taman barzakh. Dan kami yang masih bernyawa ini bakal menjadi jenazah jua suatu hari nanti. Hanya Allah sahaja yang mengetahui tarikhnya yang tepat ......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan