Jumaat, 3 Jun 2022

Cerita Lama, Cerita Baharu

SETELAH masuk ke alam persaraan, terasa ada banyak masa mengenang sejarah lama yang mekar di ingatan. Jejak-jejak di awal persekolahan masih segar bayangannya. Bagaikan teringat-ingat kembali saat-saat aku melangkah ke tadika dan sekolah rendah.  Lelorong di kampung dan rumah-rumah lama seakan menggamitku pulang.

    Rumah tinggalan ayah seakan-akan memanggilku untuk menjengahnya. Cempedak nan sebatang yang rimbun buahnya tatkala hadirnya musim buah-buahan, seakan-akan merajuk. Apa tidaknya, buahnya makin berkurang. Pokok kesayangan emak ini memang tidak dinafikan lebat buahnya. Lebih mengujakan aku sewaktu menikmatinya isinya. Tebal isinya, kesep bijinya. Sukar untuk mendapatkan biji yang cantik untuk dijadikan benih.

  

    Kekerapan ayah bersedekah kepada kawan-kawan dan jiran tetangga, menjadikan cempedak ini dikenali. Kadang-kadang apabila tiba musim buah, kami akan dipanggil pulang hanya semata-mata untuk menyerahkan buah yang dikutip dalam kuantiti yang banyak.

    Maka kami akan memanjangkan pula sedekah itu kepada tetangga. Tidak termakan kami akan buahnya yang dibekalkan itu. Semasa hayat emak, dia sering bercakap-cakap dengan pohon buah-buahan agar rajin berbuah. Sambil menyiram, dia akan membelai dengan pujukan. Begitu kasihnya emak kepada tanaman sekeliling rumah. 

    Mengingatkan itu semua, aku teringat semula akan tragedi pokok cempedak yang ada di belakang rumahku sekarang. Pokoknya telah lama ditanam, malangnya tidak berbuah. Berbeza dengan dua batang lagi yang ditanam kemudian, tapi sudah memperoleh hasil yang boleh dinikmati walaupun tidak secantik isi cempedak di kampung.

    Apabila suami menyatakan hasrat untuk menebang pokok tersebut, tiba-tiba kali ini ia mula berbuah. Syukur alhamdulillah. Mudah-mudahan dapatlah kami merasa buah sulungnya nanti. Amat benarlah bahawa kasih sayang itu bukan untuk sesama manusia sahaja. Kita perlu menyayangi haiwan dan juga tumbuhan juga seluruh isi alam. Kerana Allah menjadikan semua itu tidak sia-sia.

    Berkat kerajinan ayah dan emak berbudi kepada tanah, kini anak cucunya dapat merasa hasil titik peluh mereka. Mudah-mudahan beroleh pahala yang berpanjangan buat mereka berdua. Rindu dari kami buat emak (tokmok) dan ayah (tokwan). 

    





Tiada ulasan: