Isnin, 27 Jun 2022

MAK CIK ZAHRAH

 

MENGENALI sosok wanita ini mengingatkan aku kepada bonda yang telah meninggalkan kami pada penghujung 2018 yang lalu.

    Mak Cik Zahrah namanya, jiran emak di kampung. Suaminya kami panggil Tok Man sahaja. Berkhidmat sebagai seorang anggota polis. Setelah Tok Man tiada, Mak Cik Zahrah tinggal sendirian. Namun begitu, rumahnya menjadi tempat persinggahan anak-anak dan cucu-cucunya. Jadi tidaklah dia kesunyian.

    Beberapa bulan yang lalu, aku berkesempatan mengunjunginya. Senyumannya masih seperti selalu, tidak lekang daripada wajahnya. Cuma daya ingatannya sudah mula berkurangan. Ini disahkan pula oleh Ijan, anak bongsunya. Ada ketikanya dia menyoalku dengan soalan yang sama beberapa kali. Namun aku tetap melayannya.

    Kak Long yang bertelekung menyambutku dengan mesra. Suami Kak Long sudah lama tiada, meninggal kerana sakit. Fahamlah aku bahawa Kak Long kini menjadi peneman Mak Cik Zahrah. Kehadiran Kak Long memberi semangat buatnya. 

    Abang Muzam dan isterinya turut kelihatan semasa kami rancak berbual di meja makan. Rupa-rupanya dia dan keluarganya tinggal sama di rumah berkenaan. Elok sangatlah jika itu keputusannya. Paling tidak, Mak Cik Zahrah sentiasa dalam jagaan mereka. Sudah pasti segala keperluannya terjamin. 

    Mak Cik Zahrah merenungku tepat. Pandangan matanya lembut, berkali-kali mempelawaku menikmati kuih yang terhidang. Nada suaranya tetap seperti dahulu. Diulangnya bertanya soal emak dan ayah kepadaku. Kekadang Ijan turut mencelah memberikan jawapan.

    Aku lebih mengenali Dilah, anaknya yang sebaya dan sekelas denganku semasa di zaman persekolahan dahulu. Kami sama-sama berjaya masuk ke maktab perguruan. Dilah di Ipoh, manakala aku di Tanjung Malim. Akhirnya kami sama-sama bergelar 'guru'. Aku mengajar di dalam negeri Perak sedangkan Dilah telah beberapa kali berpindah dari satu negeri ke negeri lain. Jauh dia merantau.

    Hasrat untuk bertemu Dilah di rumah ibunya tidak kesampaian kerana dia jarang balik. Tatkala kes covid mencanak dan terikat dengan PKP serta PKPD, harapan untuk pulang ke kampung musnah begitu sahaja. Jarak jauh memisahkan kami. Namun ada ketikanya kami didekatkan dengan facebook dan whatsapp. 

    Buat Mak Cik Zahrah... mudah-mudahan mak cik sentiasa sihat dan bahagia di samping anak cucu tercinta. Moga ukhuwah kita berkekalan hingga ke negeri abadi, insya-Allah.
    

Tiada ulasan: