Ahad, 19 Jun 2022

SELAMAT TINGGAL SAUDARAKU

 

PERJALANAN terakhirmu di sini. Beramai-ramai kami menghantarmu ke taman ini. Di sinilah persinggahan sementara sebelum menuju negeri abadi. Kami juga akan menyusul, cuma waktu dan tempatnya tidak kami ketahui.

    Mengenalimu penghujung 2018 yang lalu. Kita diikat dengan gelaran 'besan'. Alhamdulillah ... bertambah lagi ahli keluarga kita. Legasi Tok Bedah itu makin besar, sejajar dengan bertambahnya ahli keluarga baharu menerusi ikatan pernikahan.

    Walaupun bagi kami di sini, ianya baharu sahaja bermula dengan bertambahnya seorang menantu... kemesraan antara keluarga kita makin terasa. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Wardah dan Fatih. Syukur Alhamdulillah.

    Namun perkhabaran duka yang diterima pada 13 Jun sedikit membimbangkan. Galau hatiku tatkala membaca aksara yang menerjah masuk telefon bimbit. Bertalu-talu. Setelah ditahan di wad, diberi bantuan pernafasan, juga antibiotik....keadaan tidak banyak berubah. Kemudiannya pada keesokan hari, dikejarkan ke GH di pulau. Allahurobbi... tiada kata yang dapat aku ungkapkan. Sekadar doa mohon kesembuhan dipanjatkan kepada Yang Maha Esa.

    Menanti khabar dalam debar. Serentak itu dalam kalangan ahli keluarga ada yang diuji dengan kesihatan yang sedikit terganggu. Maklumlah, akibat kurang tidur atau tidak lenanya tidur kerana bersengkang mata berjaga. Ditambah dengan penat perjalanan dan juga jadual biasa yang sedikit berubah... Pendek kata semua diburu kerisauan. 

    16 Jun 2022... kami menerima segalanya dengan reda. Telah sampai masanya untuk kami berpisah dengan yang dikasihi, Puan Arbai'yah. Terasa pantas masa berlalu. Pertemuan kita dalam bulan Syawal yang lalu terasa masih terbayang-bayang di ruang mata. Tiap kali kami menjejak kaki ke teratak kalian, pasti ceria menyambut kami. 

    Kemesraan yang terjalin, jelas di mata. Ruang masa diisi dengan rancak bicara. Dialek utara pasti menceriakan suasana. Kenangan yang sukar untuk dilupakan. Selepas ini wajah wanita yang selalu menanti kami itu tidak akan ada lagi. 

    Sesungguhnya dari Allah dia datang dan kepada Allah dia kembali. Sempat mengenalimu hanya sekitar tiga tahun setengah sahaja. Semoga Allah menempatkanmu dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. 
Bersama kita di dunia, mudah-mudahan bersama jua kita di sana nanti. 

    Kepada Encik Hashim serta anakanda Wazirah, Along, Angah, Ida, Iera dan Jiha... moga diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi hidup baru tanpa bonda di sisi. Yang pergi tetap akan pergi. Kehidupan mesti diteruskan.

    Detik-detik indah akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah. Pasti akan ada air mata yang tumpah tatkala mengingati saat-saat bersama. Lebih-lebih lagi tatkala menatap fotonya nanti. Bersyukurlah dengan nikmat yang dianugerahkan selama ini. Penat lelahnya telah terbayar dengan di kelilingi tawa ceria anak cucu. Kini tiba masanya untuk kita sama-sama menghadiahkan rangkaian doa buatnya.

    Terima kasih Ya Allah kerana menemukan aku dengan wanita ini. Dalam kesempatan yang ada, memberi nikmat bonda mentua buat anakandaku Firdaus. Walaupun dirimu sudah meninggalkan kami, namun gelaran 'mama' itu kurasakan pasti akan tetap meniti dari bibir ke bibir anak-anak yang menyayangimu sepenuh hati mereka. Walaupun tanpa kau di sisi, namamu tetap abadi di sanubari.

    


 Pokok kuini di bangsal kuda,
    Menimpa atap lantun ke hutan;
 Jasadmu kini telah tiada,
    Budimu tetap dalam ingatan.
    

    
 Asyik alunkan nasyid pusaka,
    Hati terkenang ustaz ustazah;
 Kami doakan tiap ketika,
    Moga tenang di taman barzakh.

    





(kredit foto from my dear Wazirah Hashim)

Tiada ulasan: