Sabtu, 25 Jun 2022

BUATLAH PILIHAN YANG TEPAT

     "MAK CIK, nanti harga nasi naik tau," ujar gadis di gerai kuih itu. Aku hanya senyum tawar. Bukan menidakkan atau menafikan kata-katanya. Memang aku pun tahu. Maklum semua itu.

    Aku memang mengikuti perkembangan semasa. Rugi kita jika tidak mengambil endah hal bernegara. Memikirkan situasi saat ini yang semakin gawat, agak cemas juga. Mana tidaknya... selepas satu, satu lagi bahana yang datang menimpa. Betapa resahnya hati mereka yang merasai. Siapa lagi kalau bukan kita rakyat jelata.

    Lelah rasanya menyelami permasalahan. Bertimpa-timpa menerima ujian yang tiada kesudahan. Sebak bertenggek di ruang rasa. Mudahnya aku mengalirkan air mata menyaksikan kepayahan yang ditanggung. Lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah atau kais pagi makan pagi, kais petang makan petang di zaman yang serba mencabar dalam membesarkan anak-anak. Itulah yang terpaksa dihadapi. 

    Dalam keadaan begini, di hujung terowong telah kelihatan tanda-tanda PRU akan menjelma. Untuk mengadakan PRU terpaksa menelan belanja yang agak besar. Ada yang sedang menunggu untuk menjadi calon, ada yang telah bersedia andai kata diri dicalonkan. Malah ada yang ingin mencalonkan diri sendiri untuk menjadi calon.....

    Di bawah ini ada yang memerhati, di atas sana ada yang lebih memerhati. Berebut kuasakah demi mengisi kantung? Atau benar-benarkah sedia bertanggungjawab menyelamatkan negara sekiranya berjaya memperoleh kuasa? Tepuk dada tanyalah iman. Rakyat di bawah telah lama menderita. Percakaran dan perebutan kuasa tidak membuahkan hasil yang memihak kepada rakyat marhaen.

    Pemimpin datang dan pergi. Pemimpun silih berganti. Namun kabut masih lagi tidak berarak. Janji tinggal janji. Harapan tinggal harapan. Amanah yang digalas ... tidak mampu dipikul dengan baik. Bersedia memegang jawatan, namun sekadar namanya jawatan. Tidak berupaya meledakkan satu idea yang boleh dibanggakan.

    Melihat keadaan yang sama tiap kali berakhirnya PRU... menjadikan kita letih. Penat. Kehidupan masih ditakuk lama. Malah lebih tertekan, sehinggakan ada yang mengambil jalan pintas dengan menamatkan riwayat hidup. 

    Harga barang yang semakin naik disuap kepada kita semua. Satu per satu. Subsidi ditarik balik... adakah begini cara untuk menyelamatkan ekonomi negara? Pelik memang pelik. Amat malang sekali apabila elaun pemimpin dinaikkan pula. Wajarkah jalan ini yang dilihat boleh menyelesaikan masalah negara? Setelah cukai itu ini dikenakan kepada rakyat jelata, kami dihadiahkan dengan kenaikan harga barangan pula?

    Andai inilah caranya mentadbir negara... benarlah bak kata orang bahawa 'otak letak di lutut'. Pemikiran yang tidak pernah terduga. Jika harga ayam mahal, makanlah ikan. Jika minyak masak mahal, tukarlah cara memasak. Jika petrol mahal, guna sahaja basikal. Ini bukan jawapan yang sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemimpin. 

    Jika beginilah gayanya, tukar sahajalah pemimpin yang ada sekarang dalam PRU nanti. Buatlah pilihan yang tepat. Pilihlah mereka yang benar-benar amanah dan bertanggungjawab dalam menggalas jawatan yang diberi. Seandainya telah mula nampak khianat terhadap undi yang kita beri, cantas sahaja daripada jawatan yang disandangnya. Kita yang membayar gaji mereka, sebenarnya merekalah kuli. 

    Pemimpin yang bermulut manis, yang menanam tebu di pinggir bibir... tidak layak memegang tampuk kuasa. Apatah lagi yang hanya goyang kaki, sedangkan poket sentiasa penuh. Kita di bawah tetap sengsara dan menderita. 

    Jangan hanya dek kerana RM50 di pintu dewan mengundi, pangkah kita beralih kepada pemancing yang menanti untuk membaham mangsanya. Belajarlah untuk jadi cerdik. Jangan kita setiap 5 tahun diperbodohkan. RM50 itu tidak dapat bertahan selama 5 tahun. Tak berbaloi pun untuk menanti 5 tahun akan datang pula. Berfikirlah dengan mata hati... bukan dengan mata duitan!!!

    Berhati-hati memilih kerana jari yang memangkah itu akan dipersoal nanti di akhirat. Apa yang akan kita jawab nanti sekiranya kita memilih pemimpin yang zalim. Zalim terhadap rakyatnya, terhadap negara dan terhadap agamanya. Berlaku adil itu mesti kena pada tempatnya. Adillah kita dalam meletakkan pemimpin itu kena pada tempatnya. Jika salah membuat pilihan, anak cucu kita yang bakal menanggung akibatnya. 

    Jangan nanti kita dipersalahkan kerana salah membuat pilihan.



Tiada ulasan: