Ahad, 5 Februari 2023

SAAT KERETA DIMANDIKAN

     KAMI menapak ke seberang jalan sebaik-baik kunci bertukar tangan. Sesekali aku mengajak anak-anak melepas dahaga di warung kecil di situ. Walaupun aku telah lama menyedari akan kewujudannya, namun inilah baru pertama kali kami singgah. 

    Sebaik-baik tiba di situ, kami disambut dengan ucapan salam dan selamat datang oleh seorang pak cik. Sempat beliau mengusik kami. Walaupun sedikit terkejut dengan tingkahnya, namun suasana bertukar ceria dengan keramahan beliau. Dialek Jawa kedengaran jelas sekali. Beliau membahasakan diri sebagai 'Wak' sahaja.  Mudahlah sedikit kami berbual.

    "Nasib baik tak ada pantun," ujarku. Kedua-dua anakku ketawa kecil. "Jenuh pula nak jawab nanti," sambungku. Makin meriah pula keadaan di warung itu. 

    Kami memesan minuman. Kedua-dua anakku membuka bekal makanan yang dibeli di pekan Sabtu tadi. Sempat pula anakku meminta keizinan untuk menumpang makan di situ. Apa tidaknya, mereka mungkin lapar ditambah lagi dengan terpaksa menunggu agak lama kerana kelihatan kereta beratur panjang di 'Carwash Popular'. Aku pula telah bersarapan di rumah, sebelum kami keluar tadi. Banyak pula kereta hari ini. Murahlah rezeki tauke kedai tersebut nampaknya.

    Tiba-tiba seorang anak muda datang, kelihatan ingin membeli sesuatu. Sambil berbual-bual dengan anak-anak, aku mencuri pandang kepadanya. Macam aku mengenali anak muda tersebut. Akhirnya dengan berani aku menegurnya, "Kamu Nabil, kan?" Dia tersipu-sipu malu. Terbit rasa sayu di benakku. Jauh bezanya dengan Nabil yang kukenal lebih 15 tahun yang lalu. Sebaya dengan anak keduaku. Badannya sedikit berisi. 

    Teringat aku akan peristiwa hitam yang berlaku di dalam hidupnya. Ayahnya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, waktu itu dia ada bersama. Allahu akbar, kenangan itu hadir kembali. Anak yatim itu sudah dewasa kini, dibesarkan dengan kasih seorang ibu. Di sisi atuk dan nendanya. Sedikit sebak bersarang di hati tatkala melihat keadaannya yang tampak berubah. Di mataku keadaannya agak sedikit merosot. Jauh bezanya dari dahulu. Namun kusembunyikan segalanya.

    "Sampaikan salam cikgu kepada emak, ye Nabil." Getaran pada suara cuba kutahan. Ada persoalan yang tidak bisa dihuraikan. "Mudah-mudahan engkau menjadi anak soleh yang membahagiakan ayah dan bondamu," kurangkumkan doa buatmu. 

    Dari jauh aku melihat kereta semakin bertambah, berbaris di belakang keretaku. Wak tadi mengambil kesempatan berbual-bual dengan kami. Bertanyakan tentang keberadaan kami di daerah ini sehinggalah beliau mengakui kurang arif tentang bahasa Rao yang kututurkan. Ramah sungguh beliau melayan pelanggan yang datang.

    Rupa-rupanya warung itu kepunyaan atuk Nabil, disewakan kepada mereka. Menurut anak Wak yang menyediakan minuman tadi, mereka sudah tiga tahun berniaga di situ. Aku memerhatikan sepasang warga emas di bawah rumah kampung bertiang tinggi, berwarna biru lembut itu. Kelihatan kemas dan bersih. "Itulah datuk Nabil," ujarnya. Rumah ibu Nabil pula berhadapan dengan rumah tersebut. Rumah banglo comel. Kereta Kancil yang kukenali ada di lamannya. 

    Kami mohon diri setelah mengucapkan terima kasih.

Tiada ulasan: