Sebenarnya pada mulanya kami bercadang untuk menghadiri konvo Kak Lang sahaja di UiTM Shah Alam pada 24hb Mei. Disebabkan tarikh bermula PBAKL 2023 ialah pada 26hb, maka kami mengambil peluang keemasan ini untuk turut sama memeriahkan pesta buku pada kali ini. Sudah alang-alang berada sekitar KL... Lapipun sudah lama benar kami tidak menghadirinya.
Sebelum itu tahniah diucapkan kepada Kak Alang kerana berjaya menghabiskan pengajiannya selama 7 semester di UiTM Puncak Perdana dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem maklumat dengan mendapat keputusan Kelas Pertama. Tahniah kak Lang! Alhamdulillah.
Lama penantiannya asbab kehadiran covid dan PKP tanpa diundang. Lebih banyak masa belajar secara online daripada bersemuka. Seterusnya waktu konvo pun terpaksa ditunda. Ramai sungguh mahasiswa dengan pelbagai bidang pengajian memenuhi jadual konvokesyen tersebut. Mengikut senarainya terdapat 22 ribu lebih mahasiswa. Ditambah pula dengan kehadiran mereka dari jauh dan dekat ke UiTM induk tersebut. Berhari-hari majlis berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor, bermula 20 Mei hingga 14 Jun.
Betul-betul usia perkahwinannya cukup sebulan, barulah dia bergraduasi. Jadi, kami menumpang di rumah sewanya dalam tempoh tersebut. Sama-sama meraikan hari bersejarah yang ditunggu-tunggu sekian tahun. Walaupun bersesak-sesak sedikit pada hari berkenaan, namun semua berjalan lancar.
Jumaat, 26hb Mei 2023 merupakan saat yang ditunggu-tunggu. Dalam kesesakan tempat untuk memarkir kereta, kami mengambil tempat sedikit jauh. Terpaksa berjalan dan menaiki lif untuk sampai ke tempat dituju. Kelihatan awan mendung. Rintik hujan mula membasah bumi tatkala kami melangkah masuk ke tapak pesta. Alhamdulillah, hati berbunga riang.
Anak terus menuju ke reruai Hilal Asyraf, penulis yang diminatinya. Teruja sungguh dia. Terkejut juga... di tingkat 4 itu sahaja sebanyak 18 buah buku menjadi pilihannya. Sendirian aku turun semula ke tingkat 3, tercari-cari reruai SHE. Akhirnya ketemu. Kelihatan tuan Hanif sibuk dengan urusannya beserta beberapa orang petugas. Kucapai telefon bimbit menghubungi Shimah.

Sambil menunggu, aku mencapai buku yang baru dibeli. Duduk-duduk di kerusi merah bersama Kak Lang sambil membaca, mengisi masa terluang. Kak Uda sudah mula bersila di ruang yang tersedia, sambil tunduk membaca. Dua buah beg plastik besar tertonggok di sisinya. Mungkin berpuas hati dengan pilihannya. Tersenyum aku melihat gelagatnya.

Di reruai itu aku menyaksikan beberapa buah antologi yang aku sertai tersusun di rak buku.
Terima kasih kepada sahabat dan rakan penulis, penyelenggara yang tabah, bos pemilik reruai SHE. Kerjasama semua memberi kekuatan untuk aku menulis. Insya-Allah ada rezeki kita bertemu lagi.
1 ulasan:
Moga sukses
Catat Ulasan