Rabu, 31 Mei 2023

SIAPAKAH AKU?

 ENTAH kenal atau tidak salasilah kita sekiranya kita tidak ambil pusing mengenai susur galur keluarga kita. Asbab itulah aku menyetujui rancangan yang dicadangkan dalam group whatsapp keluarga di kampung. 

    Aku dibesarkan di Batu Gajah, namun emak dan ayah sering membawa aku dan abang pulang ke kampung pada hujung minggu atau cuti sekolah. Kerap juga mereka berbual dan bercerita tentang saudara mara di kampung, hinggakan aku masih mengenali nama-nama yang mereka pernah sebutkan itu.

    Walaupun nama yang disebut agak sedikit pelik, namun daya ingatanku masih mengingat nama yang sering meniti di bibir mereka. Uci Botik, Mak Uwo, Acik Kinah, Nik Ayien, Wo Mariatun, Wo Embun, Tok Ngah, Niniek Itom, Nek Uda dan beberapa nama lagi. Namun wajah-wajah mereka tidak ramai yang kukenali. Malah tidak pernah nampak di hadapan mata.

    Antara nama lain yang pernah kudengar ialah Uci Labu, Lijah Koboi, Uci Woli, Pak Taju, Pak Ripin, Sahruddin Kompit dan Lili Pusek. Entah siapa yang dimaksudkan akupun tidak tahu. Namun nama-nama itu begitu sinonim bagiku. Biasa dengar, tapi tidak mengenali siapa orangnya.

    Hanya keluarga Tok Jiah, Niniek Uda, Uci Botik dan Nik Matey kukenal kesemuanya. Cucu Tok Ngah hanya Anis dan Ina sahaja kukenal benar. Anak Nik Ayien ramai, namun secara tepatnya aku sekadar kenal nama-namanya sahaja. Dahulu rakan sepermainan di kampung sekadar sepupu-sepupuku, anak bongsu Nek Uda, sesekali bertemu Ina, Acik Chinah, Acik Bitah dan Pak Man. Main perang-perang juga kami walaupun berpangkat mak dan pak saudara.

    Boleh berbahasa Rao atau Rawa? Alhamdulillah...masih boleh. Namun tidak 100 persen perkataannya kuketahui. Tambahan pula tiada kawan untuk diajak berbicara sama ada jiran atau rakan sekerja. Pernah aku berkarya dalam bahasa Rao dan Pak Dullah telah membantuku untuk menyemak dan memilih aksara yang lebih tepat untuk diungkapkan. Maka terbitlah buku tersebut, alhamdulillah.

    Dipendekkan cerita... majlis pertemuan ataupun Hari Keluarga Cucu cicit Haji Zainudin tersebut telah berjaya dilaksanakan. Sambutan luar jangkaan, terkesima juga aku. Ramai juga yang kukenali dapat hadir di program tersebut. Namun sama ramainya dengan yang tidak kukenali, tambahan pula peringkat muda. 

    Aku merupakan generasi Hj Zainudin yang ke-5. Anak-anakku yang ke-6. Manakala cucu-cucuku yang berdua itu telah berada di generasi yang ke-7. Keluarga makin berkembang. Yang tua semakin dimamah usia, jika tidak menautkan silaturahim, barangkali anak cucu tidak akan kenal siapa datuk nenek dan unyang mereka.

    Berlapang dadalah dan luangkan sedikit masa untuk bersama ahli keluarga sama ada di Hari Keluarga, Hari Raya, kenduri-kendara dan kematian. Jika tidak dapat bersama pada hari-hari berkenaan, carilah ruang waktu yang sesuai untuk kita menjejak kasih. Sekalung tahniah buat Ina Shofrina dan Acik Enon, peneraju yang berusaha menghimpun kita sekeluarga.

    TAHNIAH SEMUA, SYUKRAN JAZILAN ATAS KEHADIRAN. MUDAH-MUDAHAN KITA DAPAT BERSUA LAGI sebelum nafas terhenti.



    

Tiada ulasan: