Di sana sini orang sibuk mendirikan masjid........ pendek kata kenduri kahwin. Perkara yang baik, eloklah dipercepatkan. Tambahan pula dalam musim cuti sekolah begini. Adik beradik dan sanak saudara sedia mengambil cuti khas dan berkumpul untuk meraikan raja sehari.
Namun di sebalik majlis yang indah dan murni itu....... tahukah kita bahawa bahawa ada perkara yang telah kita abaikan. Ada yang kita sengaja pinggirkan. Semuanya semata-mata inginkan keindahan majlis dan menyenangkan hati semua pihak. Hinggakan apa yang dituntut oleh syarak kita tak endahkan langsung semata-mata kerana hendak menjaga hati.
Bernikah itu mengikut sunnah Rasulullah. Mewar-warkan perkahwinan itu dengan mengadakan kenduri itu sudah betul. Dan kita yang dijemput wajib menghadirkan diri.
Apa yang tidak kena?
Pengisiannya.............. ada yang tidak kena dengan tuntutan agama kita.
Dalam dunia yang serba canggih ini, tidak salah kita menggunakan khidmat 'deejay' sebagai pengacara dan penyeri majlis. Kebijaksanaan seorang DJ dapat menghidupkan suasana dan memudahkan pengurusan kenduri kendara. Dalam konteks ini DJ memainkan peranan penting untuk membantu tuan rumah meraikan tetamu yang datang, menyiarkan lagu-lagu sebagai halwa telinga semua yang hadir. Ada kalanya juga DJ sebagai pemandu arah khas untuk tetamu!
Masalahnya ialah apabila lagu-lagu atau hiburan yang melampau turut dialunkan, lebih-lebih lagi jika band diundang menyediakan sekali penyanyi wanita dengan suara yang lunak merdu. Walaupun penyanyi tersebut berpakaian menutup aurat, suaranya tetap dikira aurat. Bukan untuk didengari oleh semua tetamu, ia khas untuk suami itu pun di tempat tertutup. Lebih malang lagi lagu yang dikumandangkan tidak ada kena mengena dengan majlis.
Jemputan yang hadir seisi keluarga adalah lebih baik diasingkan tempat duduknya, lelaki dengan lelaki manakala wanita pula duduk di tempat wanita. Tahniah diucapkan kepada tuan rumah yang amat prihatin dengan perkara ini! Peranan anda menyebabkan suasana nampak teratur, sopan dan mengikut batasan Islam. Tidak ada percampuran berlainan gender dalam majlis tersebut. Tidaklah kekok untuk menyuap makanan ke mulut, dan mungkin sambil itu boleh bertegur sapa dan berbual mesra. Ini berbeza sekiranya di sebelah kita bukan mahram. Barangkali kita tergesa-gesa hendak menghabiskan makanan di pinggan. Pandangan pula mesti dijaga. Di sini timbulkan ketidakselesaan tetamu.
Ada kalanya waktu begitu diabaikan ketika majlis berlangsung. Tetamu datang tidak kira masa. Namun tuan rumah boleh bergilir sama ada suami atau isteri, atau saudara terdekat boleh melayan tetamu tatkala masuknya waktu solat. Berhenti seketika dan sambut panggilan Allah terlebih dahulu, itu adalah lebih afdal. Begitu juga dengan pengantin yang diraikan. Janganlah di hari bahagia, yang dianggap diri menjadi raja sehari itu, menjadi raja hingga melewati waktu zohor dan asar. Kita ada Allah yang lebih raja dari segala raja! Itulah sebabnya kita digalakkan untuk bersederhana.
Tidak perlu make-up tebal-tebal dan berpakaian membungkus aurat. Tidak perlulah bergambar sakan hingga sanggup berhabis duit kerananya. Cukuplah sekeping dua sebagai kenangan. Ada kalanya bergambar melampau berpeluk-pelukan hinggakan di atas katil sekali! Takkan itu pun nak ditunjukkan. Dan akhirnya gambar berkenaan habis diuploadkan dalam facebook (tidak semua pengantin begini!). Berhati-hatilah!
Bagi tuan rumah yang mampu berbelanja lebih, berpada-padalah. Jangan sampai membazir. Manakala yang kurang mampu pula buatlah ala kadar, mengikut kemampuan. Yang penting anda mengikut batasan yang ditentukan oleh Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan