Memaparkan catatan dengan label SUNGAI WANGI DLM KENANGAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUNGAI WANGI DLM KENANGAN. Papar semua catatan

Ahad, 22 Mei 2016

DULU LAIN SEKARANG LAIN

Beli kain di kedai kain,
Cari selendang di pekan Lawin;
Dulu lain sekarang lain,
Ada bujang ada dah kahwin.

Mempelam pauh bawa ke Tumpat,
Dibuat rojak alangkah sedap;
Berpisah jauh merata tempat,
Bertemu jugak kita di 'WhatsApp'.

Ikan kelah ikan kerisi,
Pucuk silum daun kemangi;
Cikgu Fadzilah guru berdedikasi,
Bertahun lama di Sungai Wangi.

Tempah bahulu di rumah Fatini,
Órder' kerisik pada Encik Basri;
Sejak dulu hinggalah kini,
Awie mengusik Doktor Anushree.

Hinggap helang di pohon berangan,
Meredah gurun di terik mentari;
Ke mana hilang di mana gerangan,
Shidee dan Sabiron lama menyepi.

Nasi beriani sudah dibeli,
Berlalu terus makan di jeti;
Bertemu Aini dan Hassan Adli,
Di walimatul urus Áin dan Zamli.

Batang jerami di bawah pangkin,
Biskut dahlia di dalam tin;
Raja kami cuma Norashikin,
Shamsiah ceria gambar pengantin.

Pergi Kuantan singgah di Jengka,
Penuh aksesori dalam kereta;
Diyana kelihatan 'no status' sahaja,
Hazrin 'busy' sepanjang masa.

Jinjing bakul ke Parit Jawa,
Berisi petola tidak terkata;
Azue 'at school' banyak peristiwa,
Siti Hajar pula makan angin merata.


Cuti sekolah berkelah di lata,
Khemah dipasang agar selesa;
Anak Normah berkaca mata,
Warga baru kami panggil 'Cikgu Sir'.

Ke Bukit Piatu bersama Zainal,
Pergi diminta hari Selasa;
Sekadar itu yang cikgu kenal,
Maaf dipinta terkasar bahasa.






Khamis, 4 Jun 2015

KEHILANGAN

Waktu itu aku sedang membuat kerja sekolahku.  Tiba-tiba suara Kak Mas memecah kesunyian.

   "Syam, mari sekejap,"  lembut kudengar nada suaranya.

   "Ada apa Kak Mas?" aku bertanya acuh tak acuh.

   "Marilah duduk dekat kakak sekejap," pintanya.  Aku turut.  "Boleh Kak Mas tanya sikit?" 

   "Tentang apa Kak Mas?"

   "Syam merokok?"  Hatiku digayut resah.  Tetapi aku cuba sembunyikan keresahan hatiku.

   "Kakak tanya ni, Syam......."

   "Err..... tak," jawabku.

   "Syam....... Syam jangan bohong pada Kak Mas,"  Macam ugutan sahaja suara Kak Mas.

   "Tak kak, sumpah!  Syam tak merokok,"  aku cuba berdalih.

   "Betul ni?"
  
    Aku mengangguk-angguk.

    "Sungguh ni Syam tak bohong pada Kak Mas?"  tanyanya lagi.

   "Ya, Syam tak bohong kak,"  aku cuba memancing kepercayaannya kepadaku.


GERTAK

   Esoknya di sekolah aku segera bertemu Anuar, rakan sedarjahku.

  "Hei Nuar, ke sini kau!"  Kulihat Anuar terhegeh-hegeh.  "Cepatlah!"  perintahku.  Bila dia hampir ke arahku, segera kutarik tangannya untuk mengikutku di tempat yang agak terlindung.

   "Eh, kau yang beritahu Kak Mas yang aku merokok, ya?"

   "Tidaklah....."  ujarnya.

   "Nuar, kau jangan ingat aku bodoh!"  Kau belum kenal siapa aku, " gertakku.

   "Eh, apa yang kau cakapkan ni.  Aku tak fahamlah!"

   "Kau sengaja buat-buat tak faham, kan!  Aku tahu..... kau yang beritahu pasal aku pada Kak Mas, kan?"

   "Aku.....aku....."

   "Kalau kau buat lagi, aku panggil geng aku pukul kau, mengerti!!!!!  Kami belasah kau habis-habisan!"  Aku menjegilkan mata ke arahnya.  Dia kulihat mengerutkan keningnya.  Sudahnya aku tinggalkan dia yang termangu-mangu di situ.

KAGET

   Hari itu ayah dan ibu tiada di rumah.  Cuma aku dan Kak Mas sahaja yang ada.  Abang Saiful awal-awal pagi sudah keluar.  Sesekali aku mencuri pandang ke arah Kak Mas yang tekun membuat kerja sekolahnya.  Aku perlahan-lahan bangun.

   "Ha, nak ke mana tu?" tegur Kak Mas.

   "Syam... Syam...  nak ke dapur.  Nak... nak ambil air," jawabku.

   Aku segera melangkah.  Sejurus kemudian aku menatang dua gelas berisi air sirap.  Kuhulurkan kepada Kak Mas segelas.  Kak Mas menyambutnya dengan lafaz terima kasih.
   
   "Syam ..."

   "Ya kak," jawabku.

   "Ni apa?" soal Kak Mas sambil menunjukkan dua batang rokok kepadaku.  Aku kaget.  "Kak Mas jumpa dalam poket seluar Syam.  Syam punya?" tanya Kak Mas.

   "Tak kak,  Syam pun tak tahu dari mana datangnya," aku berhelah.

   " Ha, tak tahu?"  keras  suara Kak Mas.  Tersentak aku seketika.

   "Syam.... baik Syam cakap betul-betul.  Selama ni Syam tipu kakak, ya?  Syam dah pandai sekarang, ya?  Hei, sejak bila dah pandai hisap ni?  Sejak bila???"

   "Tak... tak kak... Syam tak..."

   "Baik Syam berterus-terang.  Cakap cepat!" gertak kakak.  Terkejut aku dengan tengking suara kakak.  Tiba-tiba jari Kak Mas singgah di lenganku.  Tak lepas.

   "Aduh kak,"  aku terjerit kecil.  Aku merayu pada Kak Mas.

   "Lepaskan Syam, kak,"  pintaku.  "Sakit kak, sakit..." rintihku.  Kutepis tangan Kak Mas.  Tak tahan rasanya.  Malangnya jari Kak Mas singgah pula di pehaku.  Meskipun berseluar panjang, namun perit terasa cubitan Kak Mas.

   "Tolonglah Kak Mas.......sakit,"  rayuku.  Aku memohon kasihan belas.

   "Siapa yang mengajar kau merokok, ha?"  tengking Kak Mas.  Kulihat Kak Mas menyinga.  Kak Mas tidak pernah bersikap begitu padaku.  Nampaknya Kak Mas benar-benar marah.  

   "Cakap Syam....... cakap!"  Aku tak berdaya nak kata apa-apa.  Memang kenyataan bahawa aku yang bersalah.  

   "Sedap sangat ke rokok tu?  Cakap Syam, sejak bila kau merokok.  Baik kau cakap,"  Kak Mas memaksaku.

   "Syam... Syam..." aku tergagap-gagap.

   "Syam apa?" pintas Kak Mas.  "Oooo..... kau ingat umur 12 tahun tu dah besar sangat?  Gentleman konon!!  Tahu tak kau..... esok nanti paru-paru ni rosak,"  kata Kak Mas sambil menuding jarinya ke dadaku.  Aku tertunduk.

   "Hei Syam......"  kedua-dua belah pipiku ditepuk-tepuknya.  "Sedar tak diri tu masih budak-budak?  Belum kerja lagi, akan pakai semuanya mak ayah yang tanggung?"  bertubi-tubi soalan Kak Mas menyerangku.

   Jemari Kak Mas tiba-tiba singgah di perutku.  Perutku dipulas.   Terjengkit kakiku menahan sakit.

   "Agaknya ini yang kau nak..."  Kak Mas bersuara.  Bisanya cubitan Kak Mas.  Air mata yang kutahan mengalir sudahnya.

   "Ha, tu lah anak manja!  Sikit-sikit nak menangis, sikit-sikit nak menangis.  Kalau dah tahu benda tu orang tak suka, janganlah buat," jerkah Kak Mas.


ALASAN

   "Hari tu dalam bekas pensel Kak Mas jumpa sebatang.  Lepas tu di celah buku teks ada sebatang.  Tapi alasan kau..... kawan nak nayakan engkau.  Macam-macam alasan kau, Syam.  Kali ni ha..... kakak dapat dalam poket seluar kau, apa pula alasan engkau kali ini?  Jawab Syam, jawab!!!!!"

   "Kau sedar tak Syam....."  bergetar bunyi suara Kak Mas. Kurenung ke wajah Kak Mas.  Mata Kak Mas mula digenangi air.  Akhirnya air mata Kak Mas tumpah menimpa buku sekolahnya.  Aku dihantui rasa bersalah.  "Apa yang aku dapat dengan merokok?" hatiku bertanya sendirian.

  Kak Mas merenung kembali ke wajahku.  Tak ada sepatah perkataan pun lahir dari ulas bibirnya. Aku tahu hati Kak Mas kecewa.  Aku terus ke bilik.  Aku duduk di kerusi meja tulisku sambil melihat kesan cubitan Kak Mas.  Lebam.  Tak pernah Kak Mas berkasar begitu padaku.  Air mataku gugur satu persatu.

RAHSIA

   Malam itu ketika ayah pulang, aku diburu rasa takut.  Mundar-mandir aku di dalam bilik.  Tiba-tiba pintu kamarku diketuk dengan keras.

   "Syam, buka pintu ni," ayah bersuara.  "Cepat!" tengkingnya.  Sebaik-baik daun pintu dibuka, ayah meluru masuk.  Di tangannya tergenggam tali pinggang.  Hatiku jadi kecut.  Aku pasti kini, rahsiaku telah diketahui ayah.

   "Kau merokok, Syam?"  soal ayah.  Aku hanya mengangguk-anggukkan kepalaku.  "Ke mari kau!"  Bagai orang salah, aku melangkah merapati ayah.  Aku tahu apa habuan yang bakal kuterima.

   "Cepat, pusing belakang!"  Aku patuh.  "Ini yang kau mahu, ya?"  Satu hayunan hinggap di punggungku.  Perit kurasakan, tapi kutahankan juga.

   "Berapa batang dah kau hisap?  Ayah yang kerja ni pun tak merokok.  Abang Saiful kau tu pun tak hisap.  Hei Syam, perangai siapa yang kau ikut ni ha?"  Aku hanya mendiamkan diri.  Sekali lagi sebatan ayah mengena punggungku.  Aku dah tak tahan lagi.  Aku segera tunduk melutut di kaki ayah.

   "Ampun ayah.... ampunkan Syam," aku merayu.  Air mata sudah tak dapat kubendung lagi.

"Bangun!  Bangun aku kata, bangun!  Agaknya ini saja cara nak mengajar kau,"  

Tiba-tiba Kak Mas muncul.  Tatkala ayah menghayun tali pinggang buat kali ketiganya, segera tangan Kak Mas menepis.

   "Sudahlah ayah..."  rayu kak Mas.

   "Kau ke tepi Mastura!"  herdik ayah.

   "Ayah... dah la tu," tangan ayah Kak Mas pegang.  Erat.  "Cukuplah tu, ayah,"  Akhirnya ayah beralah.  Dengan wajah mencuka ayah berlalu meninggalkan kami.

   Aku menerpa Kak Mas.  Lantas memeluknya.  Air mataku bercucuran.  Sejuta penyesalan menyelubingi diriku.  Tiba-tiba terasa kepalaku diusap.  Besarnya kasih Kak Mas padaku.  Sedu-sedanku kian menjaadi-jadi.

DERITA

   Tapi kini Kak Mas tiada lagi.  Kak Mas menghembuskan nafasnya yang terakhir September lalu disebabkan barah otak yang dideritainya selama ini.

   "Syam, sudahlah tu..."  bahuku ditepuk ayah.  Oh rupanya sudah terlalu jauh aku mengelamun.

   "Kak Mas, ayah..." ucapku.  Aku meluahkan apa yang terbuku di hati.

   "Ayah faham," ujar ayah sepatah.  "Jom kita makan,"  pujuk ayah. "Hari ini mak masak lauk kegemaran Syam.  Asam pedas." ujar ayah.   Air mataku tiba-tiba meluncur jatuh mengingatkan Kak Mas.  Kak Mas pun sukakan asam pedas emak.

TIDAK BERTUAN

   Di meja makan emak dan abang sedang menunggu.  Aku duduk berhadapan dengan kerusi yang biasa Kak Mas duduk.  Tapi sekarang kerusi itu kosong.  Tidak bertuan.  

   "Mak..."  sapaku.

   "Ya nak," sahut ibu.

   "Kak Mas suka asam pedas ni, kan."  Ibu hanya mengangguk lesu.  "Kalau tak kerana Kak Mas menyelongkar beg Syam...... kalau tidak kerana Kak Mas yang tangkap Syam kerana rokok, mungkin Syam jadi lebih teruk lagi.  Mungkin Syam tak jadi seperti hari ini,"  ucapku.

   "Dah la sayang....." ucap ibu memujuk.  Kulihat ibu menyeka air matanya dengan lengan baju kurungnya.

   "Sudah la tu Mah....Syam, makanlah." pujuk ayah.

   Aku kehilangan kasih sayang seorang kakak, perginya tiada ganti.


   




(Cerpen SUARA PSS, SKSW, Keluaran Jun 1998)
   

Jumaat, 10 Oktober 2014

PERTEMUAN DI PEKAN SABTU

Sabtu lepas aku dan suami ke Pekan Sabtu di Batu Sepuluh.  Hajat utamaku ialah membeli ikan untuk makanan kucing-kucing di rumah.  Ikan-ikan itu biasanya kami rebus sebelum digaulkan dengan nasi.  Di samping itu, aku berkira-kira untuk membeli ikan dan sayur serta barang keperluan dapur.

Sedang asyik menemani suamiku memilih rempeyek, aku ditegur oleh seorang pemuda. Kurenung tepat ke wajahnya.  Jenuh aku mengingat sesuatu. Sayangnya aku gagal. 

"Ni Cikgu Faridatul Akmar, kan?  Pernah mengajar di Sungai Wangi...."  Aku mengiakan kata-katanya.  Sukar untukku mengingat tuan empunya diri.

"Siapa ni ya?"  soalku inginkan kepastian.

"Shafie..." ucapnya.  

Otakku berputar ligat mengimbau sekitar tahun 1992 - 1998.  Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi, tempatku bertugas suatu ketika dulu.  Si kembar itu rupanya.... Hatiku berbunga riang.  Ya Allah, dah besar pun budak itu.  Di ketika itu sukar untuk aku membezakan yang mana satu Shafie dan yang mana pula Hanafi.  

Aku segera memperkenalkan dia kepada suamiku.  Mereka bersalaman.  Dia masih mengenali suamiku walaupun sudah lama kami dipisahkan waktu.  Barangkali ingatannya cukup kuat mengingati raut wajah yang pernah ditemuinya dulu.  

Menurutnya dia mengajar di UITM Lundu, Melaka.  Masih bujang.  Mengajar Agama menurutnya.  "Ustaz Shafie" digelar di sana.  Syukur kupanjatkan kepada Allah SWT.  Menurutnya, kembarnya Hanafi pula bertugas di Jabatan Alam Sekitar di negeri Johor.  

Dalam pertemuan itu suamiku sempat mengambil nombor telefonnya.  Sebelum kami berpisah, kuucapkan terima kasih kepadanya.  Masih sudi menegurku, masih mengingatiku yang dipanggilnya "cikgu".


Rabu, 16 Oktober 2013

TERIMA KASIH ATAS INGATAN

" Assalamualaikum cikgu". Aku ditegur oleh seseorang.  Langkahan kakiku terhenti.  Aku menoleh ke arahnya sambil menjawab salam tersebut.  
" Kamu siapa? " soalku spontan.
" Cikgu pernah mengajar di Sungai Wangi, kan? ".  Soalanku dijawab dengan soalan pula.  
" Ya, betul " aku menjawab sambil mengangguk.  
" Saya Asri," jawabnya jujur.  Jenuh aku mengingatkan nama itu, namun aku gagal.  Sudah hampir dua puluh tahun aku meninggalkan sekolah itu.  Sudah berapa ramai murid yang kubimbing, kuajar dan kudidik.  Namun tak semua yang mampu kuingat.
" Maaflah..... cikgu tak ingat......" ujarku perlahan.  " Terima kasih kerana menegur cikgu," sambungku lagi.  Dia hanya senyum. 
" Cikgu pergi dulu, ada urusan di pejabat," Aku melangkah meninggalkannya namun masih cuba mengingati siapakah dia....... ternyata aku tetap gagal.  Rupa-rupanya dia datang bersama rakan-rakan sekerjanya untuk memasang alat hawa dingin di bilik guru. Semoga dia beroleh rezeki yang berkat dengan pekerjaan yang halal.  Terima kasih kerana masih mengingati cikgu......

Khamis, 31 Januari 2013

DIA MASIH SEPERTI DULU.....

Untuk kesekiannya kami dipertemukan dalam majlis indah itu, majlis memperingati dan membedah semula sejarah untuk dihadam bersama.  Rentetan perjalanan ataupun riwayat hidup kekasih Allah.  Ringkasnya sirah Rasulullah SAW.  

Dulu tika di alam persekolahan, aku yang bercakap di hadapan kelas.  Memberi tunjuk ajar dalam bidangku.  Menegur mana yang silap, memperbetul mana yang salah.  Terpikat dengan sopan santunmu.  Terpesona dengan tulisan yang cantik, kemas tersusun indah.  Malah mengatasi tulisan rakan perempuan sekelas.  Memang tidak dinafikan.  Mungkin itu berkat ibu yang mendidik dan membesarkanmu.  Berkat doa ayah yang lebih awal meninggalkanmu di sisi bonda tercinta.  Jua berkat usaha tanpa jemu.

Lantaran asuhan yang mantap, jua dengan doa kudus ibu..... engkau melewati perjalanan hidupmu yang penuh liku ini dengan kesungguhan dan penuh tanggungjawab.  Barangkali bunga-bunga doa mengharum mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pelajar.  Menuntut ilmu yang ditimba dengan penuh keikhlasan.  Menyahut seruan dan pesanan Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu.  Sanggup jatuh bangun dengan harapan untuk membahagiakan bonda tercinta.  

Masa begitu pantas berlalu.  Setelah sepi begitu lama, tiba-tiba dan secara tak sengaja aku terpandang wajahmu di kaca televisyen pada suatu ketika dalam rancangan Akademi Al-Quran.  Entah musim ke berapa........ tidak kuketahui.  Dan aku memperkenalkan siapa yang empunya diri kepada anak-anakku.  Dan bertitik tolak dari hari itu kami sering mengikuti perkembanganmu.

Sehinggalah program Imam Muda munculkan diri.  Dan kemunculan kali kedua ini membuahkan kejayaan paling ketara.  Salam tahniah dari cikgu!  Alhamdulillah ...... lebih berjaya dari diri ini.  Aku turut tumpang gembira.  

Aku beranggapan barangkali mungkin kejayaan yang begitu gemilang itu menjadikan engkau semakin jauh.  Kesibukan yang melanda mungkin kian menjarakkan kita.  Namun sangkaan itu meleset.

Jemputan turut kuterima dalam ramai peminat dan penyokong yang bertaburan seluruh tanah air.  Majlis walimahnya berlangsung penuh sederhana.  Bagai pinang dibelah dua, mudah-mudahan berbahagia hingga ke syurga!  Aku sempat berpelukan bersama bonda kesayangannya di hari bersejarah itu.  Ucapan tahniah dari kami sekeluarga.

Dan jutaan terima kasih buat bekas anak muridku ini...... kerana sudi singgah di sekolah kami yang serba kekurangan dalam memenuhi jemputan kami di awal tahun ini.  

Situasi yang berbeza dari dulu.  Datangnya kini sebagai penceramah, sebagai seorang daie.  Mengajak mengingati Allah, menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola.  Melihat kebesaran Allah, menjadikan perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.  Mengajar erti menghargai dan menyayangi kekasih Allah.

Dari jauh didoakan mudah-mudahan Ulfah selamat melahirkan cahayamata, menjadi ibu mithali.  Jua buat IM Hassan selamat menjadi ayah mithali.  Moga Allah memberkati perjalanan hidup kalian, mengurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam melayari bahtera rumahtangga.


Malu rasanya menyatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Kupujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya kuturuti ajarannya        
Apa terdaya kuamalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerna budinya aku jatuh cinta
Rindu kupadanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

......Ya Rasul syafaatkan daku
......Ya Rasulullah kurindu padamu

Sesungguhnya apa yang kudambakan
Hanyalah dia kekasih Allah
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah






Rabu, 12 September 2012

KITA DITEMUKAN

Tak siapa menyangka, tak siapa pun menduga, setelah sekian lama berpisah akhirnya bersua jua.  Kuasa Allah..... tak siapa boleh menolaknya.

Ramadhan yang baru berlalu, kuterima kunjungan bekas anak muridku.  Hadirnya bersama ibu dan adik lelakinya membawa hajat besar...... menjemput kami ke majlis walimahnya yang bakal diadakan dalam bulan Syawal nanti.  Lebih meriah lagi kerana dua mempelai bakal diraikan dalam majlis tersebut.  Dia bergelar doktor kini.  Syukur alhamdulillah, aku tumpang gembira.

Aku masih ingat kisah roti canai yang pernah singgah ke telingaku suatu waktu dahulu.  "Emm.... kalau dapat 5A, nak hadiah apa?" tanya ayahnya.  "Emm.... belanja makan roti canai kat depan...." jawab si anak. Ringkas jawapannya. 

Sesekali bila teringatkan kisah yang diceritakan ini..... aku jadi sebak.  Kalau orang lain boleh minta KFC atau McDonald.....mengapa pilihan ini bermain di mindanya???  Sifirnya mudah....roti canai itu masakan kampung, jelas ikhlas dan suci bersih buatannya.  Memang sudah biasa melewati kawasan itu, cuma barangkali jarang atau tidak singgah sahaja.  

Ini jauh berbeza dengan KFC atau MacDonald yang tampak asing.  Tengok nama sahaja sudah mencukupi.  Kehalalannya boleh dipertikaikan.  Membelinya juga bermakna kita menempah sebutir peluru untuk menghentam dan membunuh rakus saudara kita di Palestin, Chechnya, Iraq dan banyak lagi tempat di luar sana.

Anak yang pernah menempah roti canai itulah turut sama dengan kakaknya menjemput kami ke majlis bahagianya itu! 

Dan kehadiran kami ke majlis yang dijanjikan agak lewat kerana waktu sebelumnya kami ke majlis di tempat lain.  Namun kami hadir disambut mesra oleh keluarganya walaupun tanpa ayah di sisi kerana telah pergi meninggalkan dunia fana ini.  Tahniah buat dua mempelai, jua keluarga, lebih-lebih lagi ibunya yang banyak berkorban dan berjuang membesarkan anak-anak ini.  Malah menempah kejayaan yang membanggakan.

Dengan izinNYA juga, dalam majlis tersebut, aku ditemukan dengan seorang lagi bekas muridku yang turut menjawat jawatan doktor yang bertugas di salah sebuah bandaraya utama.   Salam tahniah dari cikgu!!!  Sudah menimang seorang cahayamata, kini bergelar ibu dan isteri.  

SK Sungai Wangi meninggalkan kenangan manis buatku, mudah-mudahan Allah memberkati bekas-bekas anak didikku.  Selamat di dunia jua di akhirat.  Malah dapat berbakti kepada agama dan negara.