Khamis, 31 Januari 2013

DIA MASIH SEPERTI DULU.....

Untuk kesekiannya kami dipertemukan dalam majlis indah itu, majlis memperingati dan membedah semula sejarah untuk dihadam bersama.  Rentetan perjalanan ataupun riwayat hidup kekasih Allah.  Ringkasnya sirah Rasulullah SAW.  

Dulu tika di alam persekolahan, aku yang bercakap di hadapan kelas.  Memberi tunjuk ajar dalam bidangku.  Menegur mana yang silap, memperbetul mana yang salah.  Terpikat dengan sopan santunmu.  Terpesona dengan tulisan yang cantik, kemas tersusun indah.  Malah mengatasi tulisan rakan perempuan sekelas.  Memang tidak dinafikan.  Mungkin itu berkat ibu yang mendidik dan membesarkanmu.  Berkat doa ayah yang lebih awal meninggalkanmu di sisi bonda tercinta.  Jua berkat usaha tanpa jemu.

Lantaran asuhan yang mantap, jua dengan doa kudus ibu..... engkau melewati perjalanan hidupmu yang penuh liku ini dengan kesungguhan dan penuh tanggungjawab.  Barangkali bunga-bunga doa mengharum mewarnai perjalanan hidupmu sebagai seorang pelajar.  Menuntut ilmu yang ditimba dengan penuh keikhlasan.  Menyahut seruan dan pesanan Rasulullah SAW dalam menuntut ilmu.  Sanggup jatuh bangun dengan harapan untuk membahagiakan bonda tercinta.  

Masa begitu pantas berlalu.  Setelah sepi begitu lama, tiba-tiba dan secara tak sengaja aku terpandang wajahmu di kaca televisyen pada suatu ketika dalam rancangan Akademi Al-Quran.  Entah musim ke berapa........ tidak kuketahui.  Dan aku memperkenalkan siapa yang empunya diri kepada anak-anakku.  Dan bertitik tolak dari hari itu kami sering mengikuti perkembanganmu.

Sehinggalah program Imam Muda munculkan diri.  Dan kemunculan kali kedua ini membuahkan kejayaan paling ketara.  Salam tahniah dari cikgu!  Alhamdulillah ...... lebih berjaya dari diri ini.  Aku turut tumpang gembira.  

Aku beranggapan barangkali mungkin kejayaan yang begitu gemilang itu menjadikan engkau semakin jauh.  Kesibukan yang melanda mungkin kian menjarakkan kita.  Namun sangkaan itu meleset.

Jemputan turut kuterima dalam ramai peminat dan penyokong yang bertaburan seluruh tanah air.  Majlis walimahnya berlangsung penuh sederhana.  Bagai pinang dibelah dua, mudah-mudahan berbahagia hingga ke syurga!  Aku sempat berpelukan bersama bonda kesayangannya di hari bersejarah itu.  Ucapan tahniah dari kami sekeluarga.

Dan jutaan terima kasih buat bekas anak muridku ini...... kerana sudi singgah di sekolah kami yang serba kekurangan dalam memenuhi jemputan kami di awal tahun ini.  

Situasi yang berbeza dari dulu.  Datangnya kini sebagai penceramah, sebagai seorang daie.  Mengajak mengingati Allah, menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola.  Melihat kebesaran Allah, menjadikan perjalanan hidup Rasulullah SAW sebagai panduan hidup.  Mengajar erti menghargai dan menyayangi kekasih Allah.

Dari jauh didoakan mudah-mudahan Ulfah selamat melahirkan cahayamata, menjadi ibu mithali.  Jua buat IM Hassan selamat menjadi ayah mithali.  Moga Allah memberkati perjalanan hidup kalian, mengurniakan ketabahan, kekuatan dan kesabaran dalam melayari bahtera rumahtangga.


Malu rasanya menyatakan cinta
Kepada dia kekasih Allah
Kerana dia insan mulia
Sedangkan diriku insan biasa

Kupujuk jua hati dan jiwa
Meluahkan rasa cinta membara
Di dalam pujian ucapan selawat
Tanda penghargaan seorang umat

Selagi upaya kuturuti ajarannya        
Apa terdaya kuamalkan sunnahnya
Moga di dunia mendapat berkat
Di akhirat sana beroleh syafaat

Kerana peribadinya aku terpesona
Kerna budinya aku jatuh cinta
Rindu kupadanya tiada terkata
Nantikanlah daku di taman syurga

......Ya Rasul syafaatkan daku
......Ya Rasulullah kurindu padamu

Sesungguhnya apa yang kudambakan
Hanyalah dia kekasih Allah
Kerana cinta kepada Rasulullah
Bererti cinta kepada Allah






2 ulasan:

Mohd Hassan Adli Hj Yahaya berkata...

Mengalir air mata membaca bingkisan yang dikarang oleh seorang guru yang sangat kusayangi dan kuhormati. Tiada apa yang kuharapkan melainkan doa daripada guruku agar perjalanan hidup ini meraih cinta Rasul dan Allah SWT. Moga hati ini sentiasa ikhlas dalam meneruskan perjuangan Baginda SAW. Tiada apa yang kuharapkan melainkan mendapat syaaat Nabi suatu hari nanti

Aku doakan juga buat guru-guruku, begitu juga buat cikgu Faridatul Akmar yang tak luput dalam ingatan, moga cikgu sentiasa dalam keredhaan Allah, disayangi Allah dalam mendidik ahli2 syurga di sk lekir.. Terima kasih cikgu :)

cikgu ida berkata...

Syukran di atas doa itu. Teruskanlah perjuangan mengikut jejak Rasulullah SAW.