Khamis, 3 Januari 2013

ANUGERAH ILAHI

Perhimpunan pagi Rabu lalu masih segar di ingatan.  Bukan pada pesanan dan peringatan guru bertugas atau ungkapan ringkas tuan guru besar.  Ianya lebih kepada pandangan pertamaku terhadap anak-anak kecil yang baru menganjak ke sekolah rendah.

Pada wajah-wajah baru yang bertamu menjadi warga sekolahku, ahlan wasahlan dari kami......

Tidak seperti tahun lalu, kali ini aku menyaksikan pelbagai kategori anak murid yang begitu menggamit naluriku.   Ternyata hati ini ingin benar mengenali beberapa orang dalam kalangan mereka yang amat ketara berbeza daripada yang lain.   Anugerah Allah!  Subhanallah.....

Kebetulan pula aku diamanahkan oleh seorang jiran untuk menumpangkan anaknya waktu pulang ke rumah.  Tiada masalah untuk semua itu, malah aku berbesar hati untuk membantu.  Dan anak yang menumpang itu kelihatan istimewa di mataku.  Dia merupakan antara empat wajah yang kuamat-amati dalam perhimpunan pagi itu!

Melihatkan raut wajah dan pergerakannya ..... rasa ehsanku membuak tiba-tiba.  Sesungguhnya betapa besar ujian yang Allah beri buat ibu ayah anak istimewa itu.  Dan memang benar bahawa Allah tidak akan menguji seseorang itu dengan yang tidak mampu digalas olehnya.  Ada ketika ujian yang diberi itu kian mendekatkan diri kepada Maha Pencipta...... alangkah beruntungnya mereka! 

Mungkin aku tidak berupaya menyelami apa yang terkandung di lubuk hati seorang ibu.  Namun cukup sekadar melihat kemesraan dan kegembiraan tika mereka bertemu, melambangkan betapa kasih sayang seorang ibu tidak ternilai harganya.  Melihatkan wajah ibu dari jauhpun kelihatan dia melonjak kegembiraan.  Sejak dia mengenal dunia yang penuh fatamorgana ini..... wajah itulah yang sentiasa ada di sisinya, yang melayaninya bak seorang putera, menyantuni tiap gerak lakunya.  Barangkali mungkin tidak pernah bersangka buruk dengan Pencipta.  Malahan sentiasa bersyukur atas anugerah terindah itu.

Ya Allah kumohon padaMu agar memberi kekuatan dan ketabahan jua kesabaran buat ibu itu dalam menjaga amanah yang Kau anugerahkan kepadanya.  Hanya Engkau yang mengerti segala-galanya.  Dan berilah jua aku kesabaran dalam membantu dan membimbing anak itu serta anak-anak yang lain.  Amin.............




Tiada ulasan: