Selasa, 15 Januari 2013

CERMIN DIRI ....... JOM JADI BIJAK

Menjengahnya bulan Rabiul awal ini terasa diri begitu kerdil.  Diri begitu jauh beza dengan perjalanan hidup Rasulullah SAW.  Baginda meninggalkan kita begitu jauh.  Namun kasih baginda kepada kita jelas terbayang di ruang mata.  Rentetan hidup yang dijalani, baginda hadapi dengan penuh sabar dan tabah.  

Sungguh jelas sayang baginda pada kita, hinggakan kalimat terakhir sebelum baginda meninggalkan dunia fana ini adalah menyebut kita ......ummati.... ummati.....ummati......  Begitu akhlak baginda kekasih Allah.  Tapi kita.....

Baginda pernah menyatakan bahawa orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati mati.  Justeru, mereka sentiasa membuat persediaan menuju kematian.  Dalam pada menjalani rencah kehidupan yang mesti diteruskan, ketakwaan pada Allah jangan dikesampingkan.  Tiada guna andai kata kita bijak mengurus hal  kehidupan kita di dunia tapi langsung tidak mengambil kira apa yang bakal terjadi di hari kemudian.  Kita sibuk mengambil berat akan ikrar Rukunegara, tapi kita langsung tidak memandang Rukun Islam dan Rukun Iman sebagai panduan hidup.

Berbeza dengan pandangan masyarakat kita hari ini.  Bagi sesetengah pendapat, mereka yang bijak ialah mereka yang memperoleh 'straight' A dalam peperiksaan, mereka yang ada segulung ijazah, atau PhD, atau yang bergelar Dr atau Prof.  Emm...... mungkin itu dari satu aspek!  Tapi adakah aspek lainnya mereka bijak?  

Memang tidak dinafikan bahawa dalam kalangan mereka yang bijak pandai, terdapat mereka yang bijaksana.  Bijak mengurus kehidupan dunia demi tiket menuju akhirat!  Alangkah bertuahnya mereka itu.  Bersama-samalah kita menjalani kehidupan di dunia ini selaras dengan tuntutan Islam, mengikut lunas-lunas yang digariskan.  Mudah-mudahan dunia ini menjadi tempat kita bercucuk tanam atau berladang, dan akhirat sana menjadi tempat untuk kita menuai nanti!  InsyaALLAH....

Tiada ulasan: