Jumaat, 10 Oktober 2014

PERTEMUAN DI PEKAN SABTU

Sabtu lepas aku dan suami ke Pekan Sabtu di Batu Sepuluh.  Hajat utamaku ialah membeli ikan untuk makanan kucing-kucing di rumah.  Ikan-ikan itu biasanya kami rebus sebelum digaulkan dengan nasi.  Di samping itu, aku berkira-kira untuk membeli ikan dan sayur serta barang keperluan dapur.

Sedang asyik menemani suamiku memilih rempeyek, aku ditegur oleh seorang pemuda. Kurenung tepat ke wajahnya.  Jenuh aku mengingat sesuatu. Sayangnya aku gagal. 

"Ni Cikgu Faridatul Akmar, kan?  Pernah mengajar di Sungai Wangi...."  Aku mengiakan kata-katanya.  Sukar untukku mengingat tuan empunya diri.

"Siapa ni ya?"  soalku inginkan kepastian.

"Shafie..." ucapnya.  

Otakku berputar ligat mengimbau sekitar tahun 1992 - 1998.  Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi, tempatku bertugas suatu ketika dulu.  Si kembar itu rupanya.... Hatiku berbunga riang.  Ya Allah, dah besar pun budak itu.  Di ketika itu sukar untuk aku membezakan yang mana satu Shafie dan yang mana pula Hanafi.  

Aku segera memperkenalkan dia kepada suamiku.  Mereka bersalaman.  Dia masih mengenali suamiku walaupun sudah lama kami dipisahkan waktu.  Barangkali ingatannya cukup kuat mengingati raut wajah yang pernah ditemuinya dulu.  

Menurutnya dia mengajar di UITM Lundu, Melaka.  Masih bujang.  Mengajar Agama menurutnya.  "Ustaz Shafie" digelar di sana.  Syukur kupanjatkan kepada Allah SWT.  Menurutnya, kembarnya Hanafi pula bertugas di Jabatan Alam Sekitar di negeri Johor.  

Dalam pertemuan itu suamiku sempat mengambil nombor telefonnya.  Sebelum kami berpisah, kuucapkan terima kasih kepadanya.  Masih sudi menegurku, masih mengingatiku yang dipanggilnya "cikgu".


Tiada ulasan: