Tengah malam itu, ketika aku sedang menjengah facebook yang lama tidak kubuka ...... tiba-tiba ada mesej yang masuk di telefon bimbitku.
"Kak Mi tak jadi pergi ke program esok. Jiran Kak Mi, Pah meninggal," Begitu bunyinya. Aku segera dapat menangkap siapa 'Pah' yang Kak Mi maksudkan.
Dua orang anaknya pernah bersekolah di tempatku mengajar. Suaminya jua kukenali. Cuma anak-anaknya yang lain hanya ku cam akan wajahnya.
Esok paginya aku mengambil kesempatan untuk segera berkunjung ke rumahnya memandangkan aku akan menghadiri program Baiti Jannati sejurus selepas itu. Tambahan pula penceramah jemputan ialah Ustazah Norhafizah Musa. Dua orang teman sudah berjanji akan menumpang keretaku.
Entah kenapa airmataku menitis tatkala memandang wajahnya. Sebelum-sebelum ini tidak pernah aku alami sedemikian. Sudah banyak kali aku menziarahi kematian, namun tidak pernah air mata ku tumpah. Entah kenapa kali ini pula.....
Tiba-tiba sahaja aku teringatkan tentang Afikah dan Hamsyar yang pernah menjadi muridku dulu. Anak-anak itu yang kini kehilangan kasih seorang ibu sedangkan aku yang berusia begini masih ada ibu yang sering mendoakanku.
Terkenang juga malaikat yang sering menjengukku malah sesiapa sahaja. Cuma Allah belum mengarahkannya mengambil nyawaku. Entah bila aku akan menyusul Kak Pah pula. Menurut Kak Mi, Kak Pah demam. Ada jangkitan virus pada paru-paru dan buah pinggangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan