Ahad, 25 Oktober 2020

BERAKHIRNYA DEBARAN


Jam tujuh lapan minit malam, berita dari  Cikgu Nini diterima.  

"Saya dah col bilik gerakan..
 Dia cakap semua guru dan staf sk lekir 
 keputusan negatif
 Alhamdulillah " 

Kami menerima khabar gembira itu dengan penuh rasa syukur.  
Teramat-amat syukur.  Penantian penuh debar berakhir sudah.  Aku kehilangan kata-kata......

Rasa sebak menerawang ke seluruh ruang hati.  Rasa gembira berbaur sedih memenuhi suasana.  Nikmat yang tak dapat hendak didustakan.  Betapa benar kalimah itu.  

Kebimbangan itu hadir sebanyak dua kali.  Pertama kalinya ketika menanti keputusan swab yang lalu.  Ia berakhir dengan negatif.  Dan kali kedua ini pula saat menanti keputusan ujian darah.

Libang libu rasa hati jangan ditanya.  Ada khabar yang menyatakan saringan pertama boleh lepas dengan berkeputusan  negatif.  Tetapi ada yang tersangkut pada saringan ke-2.......  Allahu akbar.  Memang betul kenyataan tersebut.  Dua orang yang kukenali termasuk dalam kumpulan tersebut.

Sedikit tekanan menjentik kalbu.  Hati digayut resah.  Tambahan pula keputusan lambat diterima.  Kemungkinan besar kerana yang disaring terlalu ramai, maka petugas tak menang tangan.

Itulah sebabnya tatkala Cikgu Nini memaklumkan keputusan tersebut, berderet pujian dan tanda terima kasih kami panjatkan pada Yang Maha Esa.  Bagai terlepas dari belenggu kegelisahan.

Maghrib itu diwarnai dengan syukur yang tak terhingga......
Alhamdulillah......



2 ulasan:

Pendidikan Jasmani & Kesihatan berkata...

Alhamdulillah. Syukur.

cikgu ida berkata...

sejarah yg sukar dilupakan.....